ni Cara Yang Tepat Nak Tahu Tahap Keterukan Hipertensi, Baru Boleh Rawat!
Klasifikasi hipertensi adalah pembahagian peringkat penyakit kronik ini.
Perkara ini penting bukan sahaja untuk doktor, malah pesakit untuk mengetahui tahap keterukan masalah hipertensi yang dialami.
Keadaan klinikal bagi setiap pesakit tidak sama dan tekanan darah normal berbeza mengikut keadaan semasa.
Sebagai contoh, jika anda sedang melakukan aktiviti berat, memang normal tekanan darah anda akan meningkat.
Jantung anda bekerja keras bagi memastikan setiap sel badan mendapat bekalan nutrisi yang mencukupi untuk kegunaan pada ketika itu.
Namun, jika tekanan darah tetap tinggi semasa seseorang itu sedang berehat, ia boleh jadi tanda awal kepada masalah hipertensi.
Jom kami kongsikan artikel perihal klasifikasi hipertensi.
Sistem bacaan bagi tekanan darah, nilai sistolik dan diastolik
Tekanan darah manusia diukur dalam bacaan yang melibatkan dua nilai penting.
Jika anda pernah melakukan pemeriksaan kesihatan di klinik, hospital atau rumah menggunakan alat digital, pasti anda sedar akan hal ini.
Sebagai contoh, bacaan darah anda adalah 120/80 mmHg.
Nilai pertama (120) merupakan ukuran bagi tekanan darah sistolik di dalam salur darah.
Nilai tersebut diukur ketika otot jantung mengepam darah.
Nilai kedua pula (80) merupakan ukuran bagi tekanan darah diastolik.
Ia boleh diukur semasa otot jantung berehat di antara dua degupan.
Setiap satu daripadanya (sistolik dan diastolik) mempunyai had nilai normalnya. Jika ia melebihi nilai yang ditetapkan tanpa sebarang sebab, anda berisiko untuk didiagnosis dengan masalah hipertensi.
Mengapa penulis menggunakan perkataan berisiko? Bacaan pertama yang tidak normal boleh dipengaruhi oleh pelbagai faktor.
Antara yang paling diketahui umum adalah resah apabila berjumpa dengan kakitangan kesihatan.
Oleh sebab itulah diagnosis bagi masalah hipertensi tidak boleh dibuat hanya berdasarkan kepada bacaan semata-mata.
Sejarah kesihatan dan pemeriksaan fizikal perlu dilakukan dengan terperinci.
Klasifikasi hipertensi, berapa nilai tekanan darah normal?
Tekanan darah mempunyai kaitan yang signifikan dengan masalah jantung.
Ini bermakna, semakin tinggi tekanan darah seseorang individu itu, semakin tinggilah risiko untuk mendapat masalah berkaitan kardiovaskular.
Perkara ini termasuklah sakit jantung, strok dan masalah buah pinggang.
Oleh yang demikian, klasifikasi hipertensi penting bagi membolehkan doktor untuk menyusun prioriti rawatan berdasarkan kepada keadaan klinikal semasa anda.
Secara amnya, interpretasi bagi kawalan tekanan darah boleh dibahagikan kepada 3:
- Kawalan optimum: Bacaan sistolik lebih rendah daripada 120 mmHg dan diastolik lebih rendah daripada 80 mmHg.
- Kawalan normal: Bacaan sistolik di antara nilai 120-129 mmHg dan/atau diastolik di antara 80-84 mmHg.
- Berisiko untuk dapat hipertensi (pra-hipertensi): Bacaan sistolik di antara nilai 130-139 mmHg dan/atau diastolik di antara 85-89 mmHg.
Anda mungkin berminat:
Apabila seseorang itu didiagnosis dengan masalah tekanan darah tinggi, klasifikasi hipertensi adalah seperti berikut:
- Klasifikasi hipertensi tahap 1 (Ringan): Bacaan sistolik di antara nilai 140-159 mmHg dan/atau diastolik di antara 90-99 mmHg.
- Tahap 2 (Sederhana): Bacaan sistolik di antara nilai 160-179 mmHg dan/atau diastolik di antara 100-109 mmHg.
- Tahap 3 (Teruk): Bacaan sistolik bersamaan atau lebih daripada nilai 180 mmHg dan/atau diastolik bersamaan atau lebih daripada nilai 110 mmHg.
- Masalah hipertensi sistolik terpencil (isolated systolic hypertension): Bacaan sistolik bersamaan atau lebih daripada nilai 140 mmHg namun diastolik bersamaan atau kurang daripada nilai 90 mmHg.
Setiap bacaan perlu diambil dua kali pada dua masa berbeza.
Jika nilai yang diukur lebih daripada apa yang dinyatakan sebagai normal, seseorang itu berisiko didiagnosis dengan masalah hipertensi.
Guna alat sphygmomanometer untuk kesan masalah hipertensi awal
Alatan yang boleh mengukur tekanan darah dengan tepat adalah sphygmomanometer merkuri yang sering digunakan di klinik.
Anda pasti pernah nampak, kan? Doktor membalut tangan anda dengan cuff alat tersebut, kemudian mengepam bagi menyekat aliran darah ke tangan secara manual.
Namun, alat tersebut memerlukan kecekapan dan familiariti dengan bunyi degupan bagi menentukan nilai sistolik dan diastolik.
Bagi orang awam, cukuplah untuk anda menggunakan alatan elektronik.
Ia boleh mengukur tekanan darah secara automatik dan anda hanya perlu menekan butang ‘mula’ sahaja.
Perkara yang perlu anda beri perhatian adalah saiz cuff (balutan yang disarungkan di tangan) yang digunakan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan