Jumaat, 4 September 2026

Syarah Hadis #25 (Hadis 40 Imam Nawawi) PART 2.

  TASBIH, TAKBIR, TAHMID & TAHLIL

Maka kita telah jelaskan maksud sadaqah yang sebenarnya iaitu membenarkan iman kita. Jadi ia bukanlah terhad kepada sedekah harta wang ringgit sahaja. Kerana itu kemudian Nabi kata, tasbih tu sadaqah. Ini yang memerlukan penjelasan kerana kalau faham sadaqah itu hanya beri duit sahaja, maka ini akan menyebabkan kekeliruan. Dan rasanya ramai keliru kerana tidak mahir tentang penggunaan bahasa Arab melainkan hanya pakai fahaman yang biasa dalam bahasa Melayu sahaja iaitu kalau sedekah itu mesti bab duit punya.

Sebenarnya perbuatan tasbih dan zikrullah yang lain semua membenarkan iman seseorang. Kadang-kadang seseorang melakukan zikir seorang diri sahaja di rumah, dalam kereta, bersendirian dan juga di khalayak ramai, bukan kerana apa tapi kerana hendak mengingati Allah semata-mata. Tanpa ada sesiapa pun yang memerhatikannya dan menyuruhnya melakukan perkara itu tapi dia buat kerana dia ada iman. Bukankah itu tanda dia beriman benar-benar kepada Allah?

Ibnu Qayyim menyatakan bahawa orang munafiq itu sangat jarang mengingati Allah. Beliau menyandarkan pandangan ini pada firman Allah dalam Nisa’:142

Di dalam hadis yang lain, ada disebut bilangan Tasbih, Tahmid & Takbir.


Maka, Ibnu Qayyim menjelaskan: “Sesiapa yang banyak mengingati Allah, maka dia akan terlepas daripada sifat nifaq.” Logiknya mudah: Sifat nifaq dibina di atas kelalaian kepada Allah. Apabila hati sentiasa basah dengan zikir, ruang untuk nifaq bertapak akan tertutup. Dan nifak itu lawan kepada siddiq, jujur. Nifak itu sifatnya menipu. Sebab itulah kita kata tasbih itu sadaqah yang membuktikan keimanan kita.

Dan yang dimaksudkan di sini adalah tasbih dan zikir kita seorang diri, bukannya ramai-ramai dalam majlis yang ramai orang. Itu amalan bid’ah kerana zikir bukannya dilakukan beramai-ramai dengan satu suara. Ini kita banyak bincangkan di dalam bab amalan bid’ah dan boleh rujuk perbincangan itu kerana ramai dari kalangan orang kita masih tak faham-faham lagi bab bid’ah ini. Tambahan pula zikir ini adalah untuk hati kita dan minda kita, jadi kita kena hadir hati kita semasa menyebutnya. Kalaulah kita buat berjemaah, akan hilanglah kehadiran hati ini. Anda akan lebih hendak menghabiskan zikir itu sahaja mengikut orang lain. Sedangkan kalau anda sedang zikir seorang diri dan tiba-tiba anda teringat kunci kereta entah letak di mana, anda boleh berhenti zikir cari kunci dan kemudian sambung balik. Tidaklah anda terus melayan mana kunci aku tapi mulut sebut kalimah zikir tanda hadir hati.

Salah satu kelebihan utama zikir ialah ia boleh diamalkan pada bila-bila masa dan dalam apa jua keadaan, tanpa terikat dengan waktu atau tempat tertentu. Ini berdasarkan hadis daripada Saidatina Aisyah :

Al-Qur’an juga memuji orang yang sentiasa berzikir di dalam semua keadaan di dalam Ali Imran:191

1. Tidak Terikat Waktu atau Tempat. Zikir adalah ibadah yang tidak terhad kepada waktu tertentu, kecuali beberapa zikir yang memang disyariatkan pada waktu tertentu seperti selepas solat atau waktu pagi dan petang. Namun, secara umumnya, zikir boleh dilakukan sepanjang hari dan malam. Jadi boleh dilakukan ketika bekerja, memandu, berjalan dan sebagainya. Kalau ibadah lain, ia terhad seperti solat yang ketika itu tidak boleh buat perkara lain lagi. Sedangkan semua ibadah ada elemen zikir di dalamnya. Jadi, zikir ini adalah ibadat yang Allah bagi kepada semua orang.

2. Mendekatkan Diri kepada Allah. Zikir yang berterusan menjadikan hati sentiasa dekat dengan Allah dan menenangkan jiwa seperti disebut di dalam Ra’d:28

3. Menghapuskan Dosa dan Menambah Pahala. Zikir yang dilakukan pada bila-bila masa menjadi sebab pengampunan dosa dan penambahan pahala, sebagaimana sabda Nabi ﷺ:

4. Melindungi dari Gangguan Syaitan. Orang yang sentiasa berzikir akan dijauhkan daripada gangguan syaitan dan dilindungi oleh rahmat Allah.

5. Mudah Diamalkan oleh Semua Golongan. Zikir tidak memerlukan syarat khusus seperti wuduk, tempat tertentu, atau waktu tertentu. Ia boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja, di mana-mana sahaja, dan pada bila-bila masa, kecuali di tempat yang dilarang seperti tandas.

Kenapa zikrullah ini diberikan pahala yang besar? Kerana ia tidak mudah walaupun ia tidak memerlukan modal dan boleh dilakukan bila-bila masa. Kerana susah untuk kita istiqamah untuk melakukannya. Kadangkala kita sudah belajar tentang zikir, maka kita teringin hendak memperbanyakkan sedekah. Akan tetapi syaitan akan sentiasa cucuk kepala otak dia. Jadi dia akan jadi bosan untuk meneruskan. Hari pertama dan kedua mungkin boleh buat, tapi masuk hari ketiga otak dia sudah penat. Maka bagi mereka yang istiqamah, maka pahala yang banyak akan menjadi milik mereka.

Kerana zikir ini bukan sahaja pada mulut, tapi kena hadir hati dan fikiran pun kena fikirkan bersama. Kena faham maksud zikir kita itu. Para ulama menegaskan bahawa zikir yang paling utama dan memberi kesan ialah apabila hati hadir bersama lisan. Imam al-Nawawi menyatakan: “Tujuan utama dari zikir ialah hadirnya hati, maka hendaklah itu menjadi matlamat orang yang berzikir, berusaha untuk mencapainya, dan memahami maknanya”. Zikir dengan lisan sahaja tanpa kehadiran hati adalah kurang manfaatnya, seperti disebut oleh Sheikh Saud al-Shuraim: “Zikir dengan lisan dan hati lalai adalah kurang faedahnya… dan kehadiran hati dalam zikir adalah syarat utama untuk mendapat kesan dan pahala yang sempurna”.

Sebahagian ulama seperti Ibn Hajar menyatakan bahawa zikir dengan lisan tetap mendapat pahala, tetapi jika disertai dengan kehadiran hati, pahalanya jauh lebih besar dan kesannya lebih mendalam. Zikir yang dilakukan dengan hati sahaja juga mempunyai keutamaan, terutama jika melibatkan tafakur dan penghayatan makna kebesaran Allah. Kesimpulannya, zikir yang sempurna dan paling utama ialah apabila lisan dan hati hadir bersama, memahami dan menghayati makna zikir tersebut. Zikir tanpa kehadiran hati adalah kurang sempurna dan kurang memberi kesan kepada jiwa. Ini kerana tujuan zikir itu adalah untuk melatih jiwa kita. Jadi kalau orang tarekat baca sampai beribu-ribu zikir tapi cakap dengan laju, bunyi pun sudah jadi apa pun kita tidak tahu, ia adalah sia-sia. Memang mereka berzikir banyak, tapi adakah ia memberi kesan kepada hati?

Lagi satu para ulama menegaskan bahawa zikir adalah ibadah yang bersifat tawqifi, iaitu mesti mengikut lafaz dan cara yang diajar oleh Nabi Muhammad ﷺ tanpa penambahan, pengurangan, atau perubahan. Ini kerana lafaz-lafaz zikir yang diajarkan oleh Nabi ﷺ adalah khusus dan mempunyai maksud tertentu yang dikehendaki syarak. Abdullah bin Mani’ Ruqi menyatakan: “Asal dalam zikir ialah mesti dilakukan dengan lafaznya tanpa penambahan, pengurangan atau perubahan, kerana lafaz syarak itu dimaksudkan untuk beribadah dengannya, dan ini akan hilang jika berlaku perubahan, kerana zikir adalah ibadah yang bersifat tawqifi”.

Ulama juga menegaskan bahawa mencipta zikir baru atau mengubah lafaz zikir yang diajar Nabi ﷺ adalah satu bentuk bid‘ah yang ditegah. Muhammad bin Abdullah Bajsir berkata: “Semua ibadah seperti zikir dan selainnya adalah bersifat tawqifi, tidak boleh diubah atau direka-reka, bahkan wajib berpegang dengan sunnah Nabi ﷺ, kerana baginda tidak berbicara mengikut hawa nafsu. Mengada-adakan sesuatu dalam agama adalah satu bentuk pencerobohan terhadap hak Allah dalam pensyariatan”.

Malah kita kena ikut bilangan dan waktu yang Nabi ajar zikir itu. Ada sesetengah zikir Nabi sebut bilangan dan bila dilakukan. Ada yang 33, ada yang 10, 100 dan lain-lain lagi. Ada yang dibaca pagi, ada yang petang, malam dan sebagainya. Maka kita ikutlah sebagaimana yang diajar Nabi. Kalau kita makan ubat, mesti kita ikut arahan doktor, bukan? Kerana ada ubat dimakan setiap jam, ada yang dimakan sebelum makan dan ada yang selepas makan. Kalau arahan doktor kita boleh ikut, kenapa tak boleh ikut apa yang Nabi sudah suruh kita tetapkan? Ini kerana kita tidak tahu Allah hendak kita puji Dia macam mana? Maka yang paling tahu adalah Rasulullah, maka kerana itu kita kena ikut apa yang Nabi sudah beritahu. Kalau zikir yang tak disebut bilangan, maka terpulang kepada kita untuk mengulang-ngulangnya ikut kehendak kita.

Jadi kita telah melihat kepentingan zikir dari sisi kebenaran. Dilihat pada sisi kedua pula, maksud sadaqah ialah menyampaikan kebaikan kepada orang lain. Mungkin ada yang bertanya: “Ustaz, macam mana pula orang bertasbih menyampaikan kebaikan kepada orang lain?” Jawapan: Bukankah apabila kita bertasbih, bila kita bertahmid, bila kita takbir, bila kita istighfar, bila kita sebut La ilaha illallah, maka Allah Ta’ala akan memberkati bumi ini, memberkati tempat kita berjalan, memberkati rezeki kita, dan menurunkan rezeki dengan lebih banyak, betul tak? Lihat firman Allah di dalam Nuh:10-12

Perhatikan, apabila kita zikir istighfar seperti yang diajar oleh Nabi Nuh ini, Allah akan turunkan hujan. Dan apabila hujan turun, siapa yang akan dapat kebaikan? Adakah orang itu sahaja? Tentu tidak, bukan? Kerana masyarakat sekitar pun akan dapat nikmat juga. Malah binatang pun akan dapat kebaikan itu.

Allah Ta’ala juga ada berfirman di dalam Ibrahim:7

Jadi kita bersyukur dengan mengucapkan zikir Alhamdulillah. Dan setelah kita mengucapnya dengan hati yang ikhlas, maka Allah akan tambah kebaikan. Dan tambahan kebaikan akan turun kepada negeri dia, kepada kampung dia, kepada sekalian makhluk, bukan hanya manusia dan binatang. Kemudian kita pun mungkin pernah dengar satu hadis yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Berdasarkan hadis ini, kata Ibnu Taimiyyah, selagi di muka bumi itu ada orang mengingati Allah, maka takkan berlaku hari kiamat. Bukankah itu juga sadaqah yang menyampaikan kebaikan kepada orang lain?

Cuma hadis ini memerlukan penjelasan kerana ramai yang salah faham. Majoriti ulama tafsir dan hadis menjelaskan bahawa maksud hadis ini ialah: “Tidak akan berlaku kiamat sehingga tidak ada lagi orang yang berzikir dan mengingati Allah di atas muka bumi.” Ia bukan dalil khusus yang membenarkan atau menganjurkan zikir dengan lafaz “Allah” secara tunggal, tetapi menunjukkan bahawa di akhir zaman, tiada lagi orang yang beriman dan menyebut nama Allah. Jadi jangan zikir: Allah…Allah…Allah…Allah…Allah… tapi zikirlah dengan penuh. Carilah zikir yang sahih dari Nabi, jangan ikut cakap ustaz yang tak tentu hala.

Ibn Taimiyyah dan ramai ulama menyatakan: “الذكر بالاسم المفرد مظهرا ومضمرا بدعة في الشرع، وخطأ في القول واللغة فإن الاسم المجرد ليس هو كلاما لا إيمانا ولا كفرا.” (Zikir dengan nama Allah secara tunggal adalah bid’ah dalam syariat, dan salah dalam bahasa, kerana nama tunggal bukanlah ucapan yang sempurna, bukan iman dan bukan kufur). Maknanya kalau sebut sahaja ‘Allah’ kemudian tidak disertai dengan Allah itu Maha Besar, Segala puji bagi Allah… maka ia tidak lengkap dan Nabi tidak pernah ajar zikir sebegini.

Sebahagian ulama sufi membenarkan zikir dengan lafaz “Allah” secara tunggal, dan menganggapnya sebagai zikir yang tinggi, tetapi pandangan ini tidak disokong oleh dalil yang jelas dari Nabi ﷺ atau para sahabat. Maka oleh kerana itu, pandangan mereka ini kita tolak.

Ulama’ ada berbincang, antara Tasbih (ucapan Subhanallah) dan Tahmid (ucapan Alhamdulillah), mana lagi besar? Tasbih, mensucikan Allah Ta’ala. Tahmid, memuji Allah Ta’ala. Tahmid, asasnya adalah ithbat (penetapan). Apabila kita beriman dengan Allah Subhanahu Wa Ta’ala, mesti ada dua rukun iman kepada Allah. Bila kita beriman dengan nama-nama Allah SWT, dia mesti tak akan lari daripada dua benda ini iaitu mesti ada nafi, mesti ada ithbat. Menafikan itu maksudnya menafikan segala sifat kekurangan dari Allah. Ithbat pula menetapkan segala sifat-sifat yang sempurna hanya bagi Allah. Apabila kita melakukan Tasbih, kita sebenarnya sedang melakukan perbuatan Nafi. Apabila kita melakukan Tahmid, kita sedang melakukan Ithbat. Dan kita tidak akan memuji Allah melainkan kerana Allah Ta’ala itu mempunyai sifat-sifat yang sempurna. Kemudian kita puji Allah kerana Dia ciptakan alam, Dia Maha Mendengar, Maha Melihat, Maha Indah, Maha Berkuasa, dan segala maha yang lain.

Kemudian di dalam Al-Qur’an, apabila menyebut tentang Allah, lagi banyak nafi atau lagi banyak ithbat? Menetapkan sifat Allah lagi banyak seperti disebut sifat Ar-Rahman, Ar-Rahim, Al-Malik, Al-Qudus, As-Salam, Al-Mu’min, Al-Muhaimin, Al-Aziz, Al-Hakim, Alim, Al-Halim, Halim, Al-Ghafur. Aziz, Al-Hakimah. Ayat-ayat Al-Qur’an lagi banyak menetapkan sifat-sifat Allah yang sempurna dan ithbat itu datang dalam Al-Qur’an secara mufassal (secara khusus) dan ayat-ayat penafian hanya datang kebanyakannya dalam bentuk umum sahaja. Dan kalau kita perhatikan, nas-nas penafian tidak banyak, antaranya ayat-ayat seperti, وَلَمۡ يَكُن لَّهُ ۥ ڪُفُوًا أَحَدٌ (Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya) dan seperti لَيۡسَ كَمِثۡلِهِۦ شَىۡءٌ (Tiada sesuatu pun yang sebanding denganNya).

Jadi sebenarnya tidak banyak ayat-ayat penafian melainkan secara umum sahaja. Akan tetapi ayat-ayat ithbat lebih banyak dan ia disebut secara spesifik. Oleh kerana itu ulama’ mengatakan tahmid lagi besar dan antara sebabnya adalah seperti yang telah disebut. Akan tetapi dua-dua perkara ini penting dan kerana itulah kalau kita perhatikan, dalam zikir-zikir Nabi selalunya datang dua-dua sekali, tasbih dan tahmid. Ini supaya kita ada penafian dan juga ithbat.


Amar Ma’ruf Nahi Munkar

Yang ini lagilah jelas elemen sadaqah padanya. Ini kerana dengan melakukannya kita akan menyampaikan kebaikan kepada orang lain. Amar Ma’ruf Nahi Munkar (memerintah kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran) adalah salah satu prinsip utama dalam Islam dan dianggap sebagai kewajipan bagi setiap Muslim. Terdapat banyak dalil dari Al-Qur’an dan hadis yang menegaskan kepentingan dan kewajipan ini.

Bab ini banyak dibincangkan dengan panjang lebar dalam Hadis #34.


MEMUASKAN PASANGAN

Dan setiap pada kemaluan itu juga adalah sadaqah. Ini adalah urusan menyempurnakan hak diri dan hak isteri. Ini adalah apabila kita berseronok-seronok dengan pasangan kita dan memuaskan mereka. Hubungan suami isteri yang dilakukan secara halal boleh menjadi ibadah dan mendapat pahala, bukan semata-mata kerana niat untuk mendapat anak, tetapi juga kerana niat-niat baik lain seperti menjaga kehormatan diri dan pasangan, memenuhi hak pasangan, dan menghindari maksiat. Memang tubuh kita ada hak ke atas kita seperti sabda Rasulullah, yang diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amr bin al-‘As RA: Nabi Muhammad ﷺ masuk menjumpai aku (Abdullah bin ‘Amr) lalu Baginda bersabda:

Dan kalau kita baca kitab-kitab fiqh, memang terdapat perbincangan berkenaan dengan menambahkan keseronokan ketika bersama. Cuma tidak manislah jikalau kita membincangkan secara terperinci pula bagaimana hendak menambahkan keseronokan ketika bersama. Perkara ini boleh dipelajari sendiri dan bawa berbincang dengan pasangan masing-masing, apakah yang mereka suka. Asalkan ia halal dan tidak melanggar syariat, maka dipersilakan.

Penjelasan para ulama, seperti yang disebutkan oleh Imam an-Nawawi dan Ibnu Utsaimin, hadis ini menunjukkan bahawa perbuatan mubah (seperti hubungan suami isteri) boleh menjadi ibadah dan bernilai sedekah jika diniatkan untuk menjaga diri dari yang haram, memenuhi hak isteri, atau mencari keturunan yang saleh.

Para ulama telah mengajarkan beberapa prinsip dan adab penting dalam usaha memuaskan pasangan dalam hubungan suami isteri, baik dari aspek fizikal, emosi, mahupun spiritual. Berikut adalah antara ajaran utama yang ditekankan:

1. Mengutamakan Hak dan Keseimbangan. Islam menekankan bahawa kedua-dua suami dan isteri mempunyai hak untuk dipuaskan dan diberi perhatian dalam hubungan intim. Allah berfirman di dalam Baqarah:228 ولهن مثل الذي عليهن بالمعروف (Dan bagi mereka (isteri-isteri) hak yang seimbang dengan kewajipan mereka menurut cara yang makruf”. Ulama seperti Ibn Abbas menyatakan: “Aku suka untuk berhias diri kepada isteriku sebagaimana aku suka isteriku berhias untukku”.

2. Mendahulukan Adab dan Akhlak. Hubungan suami isteri haruslah berlandaskan akhlak yang baik, kelembutan, dan saling menghormati. Dianjurkan agar suami dan isteri saling berlemah-lembut, bermesra, dan menjaga penampilan serta kebersihan diri untuk menarik hati pasangan . Rasulullah ﷺ bersabda: «استوصوا بالنساء خيرا» (“Berbuat baiklah kepada wanita”).

3. Mendahulukan Foreplay dan Memahami Keperluan Pasangan. Ulama menasihatkan agar suami tidak bersikap “kaku” atau tergesa-gesa dalam hubungan intim, tetapi perlu memulakan dengan foreplay seperti bermesra, berciuman, dan memuji pasangan agar kedua-duanya mencapai kepuasan. “Islam mengajar agar lelaki tidak menjalani hubungan seksual secara kering dan kaku, tetapi mencipta suasana yang membangkitkan keinginan dan menghormati keperluan pasangan”.

4. Tidak Mengabaikan Keperluan Emosi dan Psikologi. Memuaskan pasangan bukan hanya dari segi fizikal, tetapi juga emosi dan psikologi. Suami dan isteri dianjurkan untuk saling berkomunikasi, berkasih sayang, dan saling memahami perasaan serta keinginan masing-masing.

5. Menjaga Adab dan Privasi. Ulama menekankan agar hubungan intim dilakukan dengan menjaga privasi, tidak di hadapan orang lain, dan tidak menceritakan hal-hal yang berlaku di kamar kepada orang lain.

6. Memenuhi Kewajipan Seksual. Suami wajib memenuhi keperluan seksual isteri, dan isteri wajib memenuhi keperluan suami, kecuali ada uzur syar’i. Jika suami atau isteri mengabaikan hak ini tanpa sebab yang sah, ia dianggap berdosa.

7. Menghindari Perkara yang Dilarang. Dilarang melakukan hubungan ketika haid, nifas, atau di tempat yang tidak dibenarkan syarak (seperti dubur).

8. Berhias dan Berwangi-wangian. Disunnahkan untuk berhias dan memakai wangian sebelum bersama, sebagaimana dicontohkan oleh Rasulullah.

9. Bermesra dan Bermain-main. Dianjurkan untuk bermesra, bermain-main, dan saling memuji agar hubungan menjadi lebih mesra dan membahagiakan.

10. Berdoa dan Berniat Baik. Disarankan untuk berdoa sebelum bersama dan berniat untuk menjaga diri dan pasangan dari perkara haram serta mendapatkan keturunan yang soleh.

Ini termasuk di dalam bab “Idkhal al-Surur” (memasukkan kegembiraan) ke dalam hati orang lain. Ia dianjurkan di dalam Islam dan ini adalah sangat indah kerana ia sesuatu yang menggembirakan kita dan menggembirakan orang lain. Di dalam satu hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu Umar RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Dan memang kita tidak rugi pun apabila melakukannya, malah ia akan memberi timbal balas yang baik kepada kita. Apabila anda membantu atau menggembirakan orang lain, otak anda sebenarnya berfungsi seperti sebuah “kilang farmasi” semulajadi. Fenomena ini sering dipanggil oleh pakar psikologi sebagai “Helper’s High”. Berikut adalah 4 “bahan kimia kebahagiaan” (neurotransmitter) utama yang dirembeskan:

1. Oksitosin (Hormon Kasih Sayang)

Inilah bahan kimia yang paling utama dirembeskan semasa kita berinteraksi secara positif dengan orang lain.

  • Fungsinya: Membina rasa percaya, empati, dan mengeratkan hubungan sosial.
  • Kesan: Ia mengurangkan tahap stres dan melindungi jantung dengan melepaskan nitrik oksida yang membantu mengembangkan saluran darah (mengurangkan tekanan darah).

2. Dopamin (Hormon Ganjaran)

Apabila anda melihat reaksi gembira orang yang dibantu, otak anda melepaskan dopamin ke dalam sistem reward (ganjaran).

  • Fungsinya: Memberikan rasa kepuasan dan pencapaian.
  • Kesan: Ia membuatkan anda merasa “ketagih” untuk melakukan kebaikan lagi. Inilah yang menyebabkan perasaan euphoria selepas melakukan aktiviti sukarelawan.

3. Serotonin (Hormon Penstabil Mood)

Membantu orang lain akan meningkatkan rasa “harga diri” dan maruah diri kita.

  • Fungsinya: Mengatur mood, tidur, dan selera makan.
  • Kesan: Tahap serotonin yang tinggi membantu melawan kemurungan dan membuatkan anda merasa lebih tenang serta dihargai dalam komuniti.

4. Endorfin (Penahan Sakit Semulajadi)

Aktiviti menolong orang yang memerlukan (terutama yang melibatkan tenaga fizikal atau emosi yang mendalam) boleh merangsang pelepasan endorfin.

  • Fungsinya: Menghilangkan rasa sakit fizikal dan mengurangkan kegelisahan (anxiety).
  • Kesan: Ia memberikan perasaan tenang dan “ringan” pada badan.

Hubungan dengan Hadis “Idkhal al-Surur”: Secara sains, hadis Nabi SAW tentang menggembirakan orang lain adalah ubat yang paling mujarab untuk kesihatan mental diri kita sendiri. Apabila Nabi SAW bersabda bahawa ia adalah sedekah, secara biologinya, badan kita sedang menerima “bayaran” dalam bentuk hormon-hormon di atas yang memanjangkan umur dan menyihatkan jantung.