PERKARA ADAT BOLEH DAPAT PAHALA
Para sahabat kepelikan, bagaimana mereka bersedap-sedapan dengan para isteri mereka boleh dapat pahala pula? Jadi, mereka bertanya, “Ya Rasulullah, masakan dikatakan berpahala seorang itu orang yang menyalurkan syahawatnya.” Jadi, para sahabat faham bahawa menyalurkan syahawat ini asalnya perkara yang harus. Maknanya mereka faham yang ianya boleh dilakukan, akan tetapi, mereka sangka ia suatu kebenaran untuk melampiaskan nafsu sahaja. Mereka tidak langsung sangka yang ia ada ganjaran. Maka Rasulullah menjelaskan yang kerana mereka melakukannya pada tempat yang halal, maka mereka akan dapat pahala.
Maka di sini, kita dapat satu kaedah dalam agama iaitu perkara adat (yang dilakukan setiap hari di dalam kehidupan manusia) ini hukumnya harus. Tetapi, jika seseorang itu menjalankan adat kehidupan itu menurut perintah syarak, dia akan mendapat pahala.
Sebagai contoh, kita lihat satu perkara yang kita lakukan setiap hari iaitu makan. Ia adalah perkara yang harus di dalam syarak. Tetapi, kalau dia makan dengan ikut cara syarak, sebagai contoh dia berusaha mencari makanan yang halal, maka dia akan mendapat pahala. Ini kerana mencari makanan yang halal itu adalah ibadah dan kerana ia dikira sebagai ibadah, maka ia akan diberikan pahala. Dan apabila dia makan dengan tangan kanan kerana mengikut perintah Nabi, maka itu pun akan diberikan dengan pahala. Kemudian, dia memulakan memakan itu dengan baca bismillah, ini dapat pahala lagi. Kemudian, setelah selesai makan dia pun mengucapkan Alhamdulillah, dapat pahala lagi.
KELEBIHAN ORANG KAYA YANG BERAMAL
Hadis ni, Kalau kita tengok riwayat lain ada sambungannya. Selepas para sahabat yang miskin itu mendapat ajaran dari Rasulullah ini maka mereka pun beramallah dengannya. Kemudian, rupa-rupanya hadis ini pun sampai juga kepada golongan orang kaya, yang dikatakan banyak sedekah itu. Lalu mereka pun memperbanyakkan tasbih, tahmid, tahlil, dan takbir. Lalu golongan sahabat yang miskin itu datang sekali jumpa Rasulullah dan mengadu: “Wahai Rasulullah, saudara-saudara kami yang kaya itu mendengar apa yang kami buat (zikir tersebut), lalu mereka pun buat perkara yang sama!” Maka Nabi SAW bersabda:
ذَلِكَ فَضْلُ اللَّهِ يُؤْتِيهِ مَنْ يَشَاءُ
“Itulah kurniaan Allah yang diberikan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.”
Al-Imam Ibn Qayyim berkata, daripada kisah ini, ulama’ bincang lagi mana lagi bagus, Al-Faqir Al-Sabir (Orang fakir yang bersabar) atau Al-Ghani Al-Muhtasib (orang yang kaya dan mengharapkan ganjaran dengan amalan solehnya)? Kita pun pernah dengar hadis yang menyebut orang kaya masuk syurga lewat 500 tahun, bukan? Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
“Orang-orang fakir dalam kalangan orang beriman akan masuk ke syurga sebelum orang-orang kaya (dalam kalangan mereka) dengan tempoh lima ratus tahun, iaitu menyamai separuh hari (di akhirat).”
(Riwayat al-Tirmidzi, no. 2354. Beliau mengklasifikasikannya sebagai Hadis Sahih)
Al-Imam Ibn Qayyim sebut pertama sekali bukan ukuran sama ada kaya atau miskin. Ukuran pertama sekali adalah siapa yang lebih bertakwa. Kalau orang yang kaya itu lebih bertakwa, maka dia lagi afdhal lagi dari orang yang miskin itu. Sekarang katakanlah ketakwaan mereka sama, sesetengah ulama’ yang kaya lagi afdhal berdasarkan berapa hadith. Yang pertama hadith yang kita baca sekarang inilah. Yang kedua adalah hadith,
إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْعَبْدَ التَّقِيَّ الْغَنِيَّ الْخَفِيَّ
“Sesungguhnya Allah mencintai hamba yang Bertaqwa (Al-Taqi), yang Kaya (Al-Ghani), dan yang Tersembunyi (Al-Khafi).”
(Riwayat Muslim, no. 2965)
Maksud Setiap Sifat:
- Al-Taqi (Bertaqwa): Seseorang yang menjaga hubungannya dengan Allah, melaksanakan perintah dan menjauhi larangan. Ini adalah tunjang utama.
- Al-Ghani (Kaya): Para ulama (seperti Imam Al-Nawawi) menjelaskan bahawa “Kaya” di sini mempunyai dua maksud:
- Kaya Jiwa (Ghaniyyun Nafsi): Merasa cukup dengan apa yang ada (qana’ah) dan tidak meminta-minta kepada manusia.
- Kaya Harta: Mempunyai harta yang halal dan digunakan untuk mencukupkan keperluan keluarga serta membantu orang lain (sedekah).
- Al-Khafi (Tersembunyi): Seseorang yang tidak suka menunjuk-nunjuk (ikhlas). Dia melakukan kebaikan tanpa mahu dikenali atau dipuji oleh manusia.
Yang ketiga, kerana berdasarkan apa yang ada pada sahabat-sahabat yang agung, seperti Abu Bakr as-Siddiq, dia seorang peniaga; begitu juga Uthman bin Affan, Abdur Rahman bin Auf, Az-Zubair bin Al-Awwam, Talhah bin Ubaidillah, Sa’ad bin Abi Waqqas dan seumpama dengannya. Mereka ini adalah sebahagian daripada Al-Asyara al-Mubasysyaruna bil Jannah (10 Sahabat yang Dijanjikan Syurga). Maknanya kalau mereka itu kebanyakannya orang yang berharta, berniaga, itu menunjukkan bahawa kekayaan itu tidak menjatuhkan kehidupan dia.
Habis itu macam mana pula dengan hadith yang 500 tahun lewat masuk syurga itu? Kata Ibn Qayyim lebih lambat masuknya mereka itu ke dalam syurga, bukanlah bermaksud mereka lebih rendah kedudukannya di dalam syurga. Keadaan orang miskin itu lebih cepat masuk ke syurga, tidaklah menunjukkan bahawa mereka itu lebih tinggi kedudukannya di dalam syurga. Yang jadi lambat kerana audit dia lambat sikit. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Abu Barzah Al-Aslami RA, Rasulullah ﷺ bersabda:
لَا تَزُولُ قَدَمَا عَبْدٍ يَوْمَ الْقِيَامَةِ حَتَّى يُسْأَلَ عَنْ عُمُرِهِ فِيمَا أَفْنَاهُ، وَعَنْ عِلْمِهِ فِيمَا فَعَلَ، وَعَنْ مَالِهِ مِنْ أَيْنَ اكْتَسَبَهُ وَفِيمَا أَنْفَقَهُ، وَعَنْ جِسْمِهِ فِيمَا أَبْلَاهُ
“Tidak akan berganjak kedua kaki seorang hamba pada hari kiamat sehingga dia ditanya tentang: umurnya untuk apa dihabiskan, tentang ilmunya apa yang telah diamalkan, tentang hartanya dari mana dia perolehi dan ke mana dia belanjakan, dan tentang tubuh badannya untuk apa dia gunakan.”
(Riwayat al-Tirmidzi, no. 2417. Beliau mengatakan hadis ini Hasan Sahih)
Bagaimana pula dengan hadis yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik RA, bahawa Rasulullah SAW berdoa:
اللَّهُمَّ أَحْيِنِي مِسْكِينًا، وَأَمِتْنِي مِسْكِينًا، وَاحْشُرْنِي فِي زُمْرَةِ الْمَسَاكِينِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ
“Ya Allah, hidupkanlah aku dalam keadaan miskin, matikanlah aku dalam keadaan miskin, dan kumpulkanlah aku bersama golongan orang miskin pada hari kiamat.”
(Riwayat al-Tirmidzi, no. 2352. Beliau mengklasifikasikannya sebagai Hadis Hasan)
Adakah hadis ini bermaksud Nabi minta jadi miskin? Jawapannya tidak. Maksud hadith itu Nabi bukanlah minta jadi miskin kerana tiada harta tetapi baginda minta hidup seperti kehidupannya orang miskin. Nabi SAW banyak harta tetapi Nabi memilih untuk hidup sebagai orang yang sederhana. Para ulama (seperti Imam Ibn al-Athir dan Imam al-Munawi) menjelaskan maksud “Miskin” di sini:
Miskin Hati (Tawadhu’): Bukanlah bermaksud fakir harta yang meminta-minta, tetapi jiwa yang sentiasa merasa rendah diri, tidak sombong, dan sentiasa merasa berhajat kepada Allah.
Menghindari Kesombongan Orang Kaya: Orang yang kaya sering terdedah kepada sifat thughyan (melampaui batas). Nabi SAW memohon agar baginda dijauhkan daripada gaya hidup mewah yang boleh melalaikan hati.
Kepantasan di Akhirat: Seperti yang kita bincangkan tadi (hadis masuk syurga awal 500 tahun), Nabi SAW ingin dikumpulkan bersama golongan miskin supaya proses “audit” (hisab) menjadi ringan dan pantas.
Mungkin ramai yang sangka Nabi Muhammad seorang yang miskin. Pada peringkat awal Islam, memang begitu, akan tetapi kemudian baginda mempunyai banyak harta, kalau baginda mahu. Buktinya kita boleh lihat kepada kejadian setelah Perang Hunain yang berlaku pada Tahun 8 Hijrah, setelah Pembukaan Kota Mekah. Seorang sahabat telah meminta kambing daripada Rasulullah. Daripada Anas bin Malik RA, beliau menceritakan:
أَنَّ رَجُلًا سَأَلَ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ غَنَمًا بَيْنَ جَبَلَيْنِ فَأَعْطَاهُ إِيَّاهُ، فَأَتَى قَوْمَهُ فَقَالَ: أَيْ قَوْمِ أَسْلِمُوا، فَإِنَّ مُحَمَّدًا يُعْطِي عَطَاءً مَا يَخْشَى الْفَاقَةَ
“Bahawa seorang lelaki (Safwan bin Umayyah/Uyainah) meminta kepada Nabi ﷺ kambing yang memenuhi lembah di antara dua gunung, lalu baginda pun memberikannya kepada lelaki itu. Maka lelaki itu kembali kepada kaumnya dan berkata: ‘Wahai kaumku, peluklah Islam! Sesungguhnya Muhammad memberi pemberian seperti orang yang tidak takut akan kemiskinan’.”
(Riwayat Muslim, no. 2312)
Sekarang fikirkan, macam mana Nabi boleh sedekah sebanyak itu kalau Nabi tak ada duit? Bukankah 1/5 daripada harta rampasan perang itu diberikan kepada Rasulullah? Cuma Nabi sahaja yang banyak berikan kepada orang sampaikan tidak ada bekas pada baginda. Ini seperti disebut di dalam banyak hadis, antaranya,
أن ناسا من الأنصار سألوا رسول الله ﷺ فأعطاهم، ثم سألوه فأعطاهم، حتى نفد ما عنده، فقال لهم حين أنفق كل شيء بيديه: ما يكون عندي من خير فلن أدخره عنكم
“Sesungguhnya beberapa orang daripada kalangan kaum Ansar telah meminta (harta) kepada Rasulullah ﷺ, lalu Baginda memberi mereka. Kemudian mereka meminta lagi, lalu Baginda memberi lagi kepada mereka, sehinggalah habis apa yang ada di sisi Baginda. Lalu Baginda bersabda kepada mereka ketika Baginda telah menginfakkan (membahagi-bahagikan) segala sesuatu yang ada di tangannya: ‘Apa sahaja kebaikan (harta) yang ada padaku, aku tidak akan sesekali menyembunyikannya (menyimpannya) daripada kalian.”
Sahih Bukhari (1469); Sahih Muslim (1053)
Nabi ﷺ menerima harta dari rampasan perang dan negeri-negeri yang ditakluki, seperti harta Bani Nadhir, Khaybar, dan Fadak. Harta ini adalah milik khusus baginda, dan digunakan untuk keperluan keluarga serta keperluan umat Islam. Umar bin al-Khattab berkata: “Sesungguhnya harta Bani Nadhir adalah harta yang Allah berikan khusus kepada Rasulullah ﷺ, yang tidak diperoleh kaum Muslimin dengan kuda dan unta. Maka ia adalah milik Rasulullah ﷺ, baginda menggunakannya untuk keperluan keluarga selama setahun, dan selebihnya digunakan untuk kuda dan senjata…”
Jadi sebenarnya kalau baginda hendak jadi kaya, baginda sangat kaya sebenarnya. Akan tetapi Nabi memilih untuk hidup sederhana dan sentiasa memberi apa yang baginda ada. Jadi kesimpulan yang kita hendak buat adalah, bukan maksudnya miskin lagi afdhal atau kaya lagi afdhal. Miskin dan kaya ini Allah Ta’ala beri kepada sesiapa yang Allah kehendaki. Yang lebih utama adalah ketaqwaan. Allah berfirman di dalam Hujurat:13
إِنَّ أَكرَمَكُم عِندَ اللهِ أَتقٰكُم
Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling takwa diantara kamu
Cuma jikalau kita kaya dan dapat jaga ketaqwaan, ini lebih baik. Kerana kita dapat memberi kepada orang yang memerlukan. Islam tidak menggalakkan kemiskinan atau memuji seseorang hanya kerana dia miskin. Sebaliknya, Islam memuji orang yang bersabar jika diuji dengan kemiskinan dan memuji orang yang bersyukur jika dikurniakan kekayaan. Hadis Nabi ﷺ:
ليس الغنى عن كثرة العرض ولكن الغنى غنى النفس
“Bukanlah kekayaan itu dengan banyaknya harta benda, tetapi kekayaan itu adalah kekayaan jiwa.”
Sahih Bukhari (6446); Sahih Muslim (1051)
Nabi Muhammad ﷺ sendiri sering berdoa agar dijauhkan daripada kefakiran dan kemiskinan, dan mengajarkan umatnya untuk berusaha keluar dari kemiskinan. Dalam wasiatnya, baginda bersabda:
إنك أن تذر ورثتك أغنياء خير من أن تذرهم عالة يتكففون الناس
“Sesungguhnya engkau meninggalkan warismu dalam keadaan kaya adalah lebih baik daripada engkau meninggalkan mereka dalam keadaan miskin meminta-minta kepada orang lain.”
Sahih Bukhari (1295); Sahih Muslim (1628)
Nabi Muhammad juga pernah mengajar kita dengan doa,
اللَّهُمَّ اكْفِنِي بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنِي بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ
“Ya Allah, cukupkanlah aku dengan yang halal daripada-Mu (sehingga aku terhindar) daripada yang haram, dan kayakanlah aku dengan karunia-Mu (sehingga aku tidak bergantung) kepada selain daripada-Mu.”
Sunan al-Tirmidzi: No. Hadis 3563. (Hadis ini dinilai Hasan oleh Imam al-Tirmidzi).

Faedah Hadis
Pertama: Para sahabat memiliki sifat saling berlumba dalam kebaikan.
Kedua: Para sahabat menggunakan harta mereka dalam hal kebaikan di dunia dan di akhirat, iaitu dengan bersedekah.
Ketiga: Dalam amal badaniyyah (yang dilakukan anggota tubuh), baik yang kaya mahupun yang miskin sama-sama boleh melakukannya seperti pada amalan salat dan puasa. Kadang yang miskin melakukan ibadah lebih bagus dan sempurna daripada yang kaya.
Keempat: Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam telah membuka pintu kebaikan bagi orang-orang fakir. Pintu kebaikan tersebut selain dengan salat dan puasa adalah dengan zikir, amar makruf nahi mungkar, hingga hubungan intim dengan pasangan yang halal.
Kelima: Boleh pembicara mengajukan yang tidak mungkin diingkari seperti dalam ucapan Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam, “Bukankah Allah telah menjadikan bagi kalian jalan untuk bersedekah?”. Sebab dengan mengajukan pertanyaan semacam ini sudah menjadi pertanyaan yang tak boleh dibantah.
Keenam: Semua amalan yang disebutkan dalam hadits iaitu zikir, amar makruf nahi mungkar, hingga hubungan intim termasuk sedekah. Akan tetapi sedekah di sini ada yang bernilai wajib dan ada yang bernilai sunnah. Sedekah tersebut ada yang bernilai manfaat kepada orang banyak (muta’addi) dan ada yang kemanfaatannya hanya pada diri sendiri (qashir). Contoh yang bernilai qashir, bacaan tasbih (subhanallah), tahmid (alhamdulillah), takbir (Allahu akbar), tahlil (laa ilaha illallah). Bacaan zikir ini ada yang wajib dan ada yang sunnah. Contoh ada bacaan takbir yang wajib iaitu bacaan takbiratul ihram “Allahu Akbar”. Sedangkan zikir tasbih, tahmid, dan takbir pada zikir ba’da salat dihukumi sunnah. Contoh amalan yang muta’addi adalah amar makruf nahi mungkar.
Ketujuh: dekah tidak terhad kepada pemberian harta atau wang ringgit sahaja, malah merangkumi segala bentuk amalan kebaikan (ma’ruf) seperti berzikir (tasbih, tahmid, tahlil, takbir), amar makruf nahi munkar, malah hubungan intim yang halal antara suami isteri.
Kelapan: Kekuatan Niat (The Power of Intent): Niat yang benar dan ikhlas membolehkan seseorang yang tidak memiliki harta mendapat pahala yang sama dengan orang kaya yang bersedekah,. Sebaliknya, niat yang buruk untuk melakukan maksiat juga boleh mendatangkan dosa.
Kesembilan: Perbezaan Antara Hasad dan Ghibtah: Umat Islam dilarang bersifat hasad (dengki negatif), iaitu mengharapkan hilangnya nikmat daripada orang lain. Namun, ghibtah (cemburu positif) dibenarkan, iaitu keinginan untuk menjadi seperti orang lain dalam urusan kebaikan, seperti cemburu kepada orang kaya yang dermawan atau orang yang beramal dengan ilmunya.
Kesepuluh: Sedekah Sebagai Bukti Keimanan: Perkataan sedekah berasal daripada kata dasar yang bermaksud “membenarkan” atau “jujur”. Melakukan sedekah, sama ada melalui harta atau zikir, adalah bukti nyata bahawa seseorang itu benar-benar beriman kepada janji Allah.
Kesebelas: Menukar Adat Menjadi Ibadah: Perkara rutin atau adat harian (seperti makan, minum, dan melayani pasangan) boleh bertukar menjadi ibadah yang berpahala jika dilakukan dengan niat kerana Allah dan mengikut tatacara yang disyariatkan.
Kedua Belas: Kepentingan Menghadirkan Hati dalam Zikir: Zikir yang paling utama dan memberi kesan mendalam kepada jiwa adalah apabila lisan dan hati hadir bersama untuk memahami serta menghayati maknanya, bukan sekadar sebutan laju di mulut sahaja.
Ketiga Belas: Takwa Sebagai Ukuran Kemuliaan: Kemuliaan seseorang di sisi Allah tidak diukur melalui kekayaan atau kemiskinan, tetapi melalui tahap takwa. Orang kaya yang bertakwa mempunyai kelebihan kerana dapat menggunakan hartanya untuk kebaikan, manakala orang miskin yang bersabar juga dipuji dalam Islam.
Keempat Belas: Sifat Bakhil Membinasakan: Sifat bakhil (kedekut yang tamak) adalah fitrah yang perlu dilawan kerana ia boleh membawa kepada kerosakan masyarakat, memutuskan silaturahim, malah mendorong kepada jenayah dan pembunuhan.
Kelima Belas: Tanggungjawab Menggembirakan Orang Lain: Memberi keseronokan atau kegembiraan kepada orang lain (Idkhal al-Surur), termasuk kepada pasangan dan kawan-kawan, adalah amalan yang sangat dicintai Allah dan secara saintifiknya turut memberikan kesan positif kepada kesihatan mental serta fizikal pelakunya.
Secara ringkasnya, amalan kebaikan adalah seperti pelaburan tanpa modal; walaupun anda tidak memiliki harta, anda masih boleh mengumpul kekayaan pahala melalui zikir, senyuman, dan niat yang tulus.

Semoga Allah memberi kefahaman kepada kita akan hadis #25 (Hadis 40) ini.
Rujukan: