Ahad, 7 Januari 2024

4 Penawar Darah Tinggi

 


4 Penawar Darah Tinggi MESTI Ikut Kalau Nak Kekal Sihat!

Jika anda baru atau sudah lama didiagnosis dengan masalah hipertensi, pasti anda tercari-cari penawar darah tinggi yang berkesan bagi memastikan komplikasi masalah kronik tersebut boleh diminimumkan.

Percaya ataupun tidak, kebanyakan tip kesihatan yang sering dianggap berkesan dalam memastikan tekanan darah terkawal berbentuk perubahan gaya hidup individu.

Tanpanya, sukar untuk anda menangani masalah kronik ini dengan berkesan. Berikut adalah 4 cara untuk anda turunkan masalah darah tinggi atau hipertensi.

Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan kesihatan jantung, anda boleh klik di sini.

#1 Senaman secara berkala untuk hindarkan masalah darah tinggi

Mungkin tip pertama ini kelihatan seperti cliche namun pelbagai jenis kajian telah membuktikan keberkesanan senaman dalam mengawal tekanan darah pesakit hipertensi.

Sememangnya senaman merupakan antara aspek terpenting bagi setiap individu untuk kekal sihat. Ia merupakan penawar darah tinggi semula jadi yang sering tidak diendahkan.

Tinjauan semula terhadap 27 kajian rawak terkawal (randomized controlled trial) yang melibatkan 1,480 subjek telah mendapati bahawa purata kesan senaman terhadap penurunan tekanan darah bagi pesakit hipertensi berada pada kadar 10.8/4.7 mmHg (tekanan darah sistolik/tekanan darah diastolik).

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menyarankan pelaksanaan aktiviti fizikal berintensiti sederhana sekurang-kurangnya 150 minit seminggu.

Ada ahli akademik yang menganggap saranan durasi tersebut sebenarnya tidak mencukupi namun pokok pangkalnya, anda perlu bersenam untuk memastikan tahap kesihatan anda berada pada keadaan baik.

Jika anda jarang melakukan senaman, janganlah pula anda memulakan rutin anda dengan senaman berat.

Bagi mereka yang suka bersenam di gim, mulakan dengan pemberat yang ringan. Bagi individu yang suka bersenam di luar, anda boleh melakukan aktiviti joging, mendaki bukit dan berenang.

#2 Penawar darah tinggi – Gaya pemakanan DASH



Senaman tidak akan berkesan jika anda makan tanpa menghiraukan tentang keseimbangan nutrisi makro dan mikro pada struktur diet anda.

Antara pelan pemakanan yang telah diiktiraf sebagai penawar darah tinggi adalah diet DASH (Dietary Approach to Stop Hypertension). 

Jika dilaksanakan dengan betul, pelan pemakanan tersebut dapat membantu pesakit hipertensi menurunkan tekanan darah sistolik dan diastolik pada nilai purata 11 mmHg dan 5.5 mmHg.

Anda tidak wajib untuk melaksanakan gaya pemakanan sebegini memandangkan terdapat pelbagai jenis pelan diet yang turut berkesan dalam mengubati hipertensi.

Namun, anda perlu mengawal gaya pemakanan agar tekanan darah anda terkawal. Antara tip yang boleh diguna pakai bagi mereka yang ingin mengamalkan diet DASH adalah seperti berikut:

  • Kurangkan makanan berlemak
  • Lebihkan pengambilan bijirin, kekacang, ayam dan ikan
  • Pastikan anda mengambil hidangan sayur-sayuran dan buah-buahan pada setiap hidangan makanan. Gantikan snek anda dengan buah-buahan
  • Jika anda tidak mahu makan buah sebagai snek, ambil kekacang tanpa garam, kismis atau yogurt rendah atau tanpa lemak
  • Kurangkan pengambilan daging merah. Jika boleh, fokuskan kepada pengambilan sayur-sayuran dan protein daripada produk tenusu
  • Kurangkan pengambilan mentega, sos dan bahan perasa yang lain
  • Pastikan anda membaca label makanan sebelum membeli sesuatu produk makanan. Utamakan makanan yang rendah natrium dan kaya dengan kalium, magnesium dan kalsium

#3 Kurangkan berat anda, hilangkan masalah hipertensi



Di Asia Tenggara, Malaysia tidak asing lagi dengan masalah obesiti. Peningkatan terhadap insiden obesiti amat membimbangkan berikutan kaitannya dengan pelbagai jenis penyakit kronik termasuklah hipertensi. 

Pengurangan berat badan merupakan penawar darah tinggi yang boleh dianggap mujarab. Secara amnya, anda terlindung daripada masalah tekanan darah tinggi jika anda mampu mengurangkan 4.5 kg (10 pounds) daripada berat badan asal.

Namun, jika anda telah mengimplementasikan pelan untuk menurunkan berat badan, fokus anda seharusnya bukan pada jumlah berat badan anda.

Beri tumpuan kepada ukur lilit pinggang anda. Lapisan yang menyelaputi keliling pinggang yang dikenali sebagai lemak visera adalah masalah yang perlu ditangani.

Lemak ini kebiasaannya akan berkumpul pada organ dalaman di bahagian abdomen dan boleh menyebabkan pelbagai jenis komplikasi kesihatan termasuklah tekanan darah tinggi.

Menurut WHO, bagi populasi Asia, ukur lilit pinggang bagi lelaki dan wanita perlu kurang daripada 85 cm dan 80 cm.

Ukuran melebihi nilai tersebut boleh meningkatkan risiko anda untuk mendapat penyakit metabolik. Jika anda tercari-cari akan penawar darah tinggi yang berkesan, kurangkan berat badan anda.

#4 Kurangkan pengambilan garam antara penawar darah tinggi

penawar darah tinggi

Ramai orang tahu bahawa kalau nak kurangkan tekanan darah kena kurangkan garam dalam makanan, kan?

Garam, atau lebih spesifik lagi natrium, merupakan nutrisi mikro yang sering dikaitkan dengan risiko hipertensi.

Walaupun garis panduan pengurangan pada pengambilan makanan boleh memberikan kebaikan, namun ia boleh menjadi kontroversial.

Ini berikutan bukan semua individu akan mendapat kebaikan yang setaraf daripada gaya pemakanan rendah natrium dan jika diambil terlalu sedikit, ia turut boleh mendatangkan kemudaratan.

Sama ada ia menjadi penawar atau bukan penawar darah tinggi, ia bergantung kepada keperluan individu seharian.

Bagi mereka yang didiagnosis dengan hipertensi, Persatuan Jantung Amerika telah menyarankan kadar natrium di antara 1,500 mg hingga 2,300 mg sehari.

Dengan kata lain, jumlahnya tidak sampai satu sudu teh garam sehari. Jumlah ini tidak termasuk dengan penggunaan rempah ratus yang turut mengandungi garam campuran.

WHO telah mengeluarkan saranan yang berbeza.

Mereka menyarankan pengambilan garam tidak melebihi 5,000 mg dan saranan ini bertepatan dengan beberapa kajian yang menerangkan perihal kemudaratan apabila seseorang individu itu mengambil sumber natrium yang tidak mencukupi.

Konklusi

Tekanan darah perlu dikawal dengan betul. Jika hipertensi dibiarkan begitu sahaja tanpa rawatan, ia boleh menyebabkan kemudaratan kepada si pesakit.

Jika anda mempunyai tanda darah tinggi, dapatkan rawatan susulan, amalkan gaya hidup sihat dan ambil berat tentang tahap kesihatan mental anda. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan