Jumaat, 17 April 2026

Tafsir Surah Yunus Ayat 98 – 99 (Kisah Nabi Yunus عليه السلام)

 

Tafsir Surah Yunus Ayat 98 – 99 (Kisah Nabi Yunus عليه السلام)

Yunus Ayat 98:

فَلَولا كانَت قَريَةٌ ءآمَنَت فَنَفَعَها إيمٰنُها إِلّا قَومَ يونُسَ لَمّا ءآمَنوا كَشَفنا عَنهُم عَذابَ الخِزيِ فِي الحَيَوٰةِ الدُّنيا وَمَتَّعنٰهُم إِلىٰ حينٍ

Sahih International

Then has there not been a [single] city that believed so its faith benefited it except the people of Jonah? When they believed, We removed from them the punishment of disgrace in worldly life and gave them enjoyment for a time.

Malay

(Dengan kisah Firaun itu) maka ada baiknya kalau (penduduk) sesebuah negeri beriman (sebelum mereka ditimpa azab), supaya imannya itu mendatangkan manfaat menyelamatkannya. Hanya kaum Nabi Yunus sahaja yang telah berbuat demikian – ketika mereka beriman, Kami elakkan azab sengsara yang membawa kehinaan dalam kehidupan dunia dari menimpa mereka, dan Kami berikan mereka menikmati kesenangan sehingga ke suatu masa (yang Kami tentukan).

 

فَلَوْلَا كَانَتْ قَرْيَةٌ ءآمَنَتْ

Kenapakah tidak (penduduk) sesebuah desa beriman

Kenapakah tidak penduduk setiap negeri beriman pada masa yang sepatutnya? Kenapakah penduduk setiap negara, setiap negeri, setiap pekan tidak beriman awal-awal lagi? Kenapakah mereka nak tangguh untuk beriman? Inilah teguran Allah ﷻ kepada mereka.

 

فَنَفَعَهَا إِيمٰنُهَا

supaya imannya itu mendatangkan manfaat.

Jikalau penduduk sesebuah negeri itu beriman awal-awal lagi, maka sudah tentu iman mereka itu akan dapat memberi manfaat kepada mereka. Ini kerana bila dia telah beriman, maka imannya itu akan mendidik orang itu untuk hidup dengan cara Islam. Barulah perjalanan hidupnya menjadi mulia, jadi molek. Hanya orang yang beriman akan hidup dengan cara yang seperti yang Allah ﷻ kehendaki, yang Allah ﷻ telah susun dengan baik. Apabila ia baik, maka ia akan memberi manfaat. Bukan hanya kepada orang itu sahaja, tetapi kepada mereka yang di sekelilingnya juga.

Setiap orang hendaklah beriman sebelum nyawa mereka sampai ke halqum. Ataupun sebelum mereka dinampakkan dengan azab. Sekiranya nyawa sudah sampai ke halqum, atau telah nampak azab, dan pada waktu itu baru hendak beriman, maka iman mereka tidak akan diterima.

Itu adalah hukum yang umum. Hanya ada satu pengecualian sahaja yang Allah ﷻ telah berikan:

 

إِلَّا قَوْمَ يُونُسَ

Kecuali kaum Nabi Yunus sahaja

Iman kaum yang terbit hanya apabila telah melihat azab yang Allah ﷻ telah turunkan kepada mereka tidak akan diterima, kecuali sekali sahaja – Kaum Nabi Yunus عليه السلام. Hanya kepada mereka sahaja ada pengecualian dan tidak ada lagi sebelum dan selepas itu.

Surah ini dinamakan Surah Yunus dan nama Yunus hanya disebut dalam ayat ini sahaja. Siapakah Nabi Yunus عليه السلام? Secara ringkasnya, baginda hidup 800 tahun sebelum datangnya Nabi Isa عليه السلام. Kaum Nabi Yunus عليه السلام ini hidup di kawasan yang sekarang ini dikenali sebagai negara Iraq. Kisah baginda ada disebut dalam ayat lain.

Ahli sejarah menyebutkan bahawa Nabi Yunus عليه السلام adalah keturunan para Nabi dalam kalangan Bani Israil iaitu daripada keturunan Ya’qub bin Ishak bin Ibrahim. Akan tetapi, tidak ada keterangan yang rinci pada tahun ke-berapa. Ahli sejarah menyebutkan bahawa Nabi Yunus عليه السلام diutus kepada suatu daerah yang bernama Nainawa (Ninawa), iaitu di daerah Al-Musil (Mosul), Iraq.

Kisah baginda tidak disebut di sini tetapi disebut dalam ayat yang lain antaranya Saffat:139-149

وَإِنَّ يونُسَ لَمِنَ المُرسَلينَ
Sesungguhnya Yunus benar-benar salah seorang rasul,

Dalam ayat ini Allah ﷻ menegaskan dengan huruf Lam Taukid agar jangan sampai ada keraguan tentang Nabi Yunus عليه السلام termasuk di antara para rasul. Jangan sampai kita meragui tentang kesolehan dan juga kedudukannya di sisi Allah ﷻ.

إِذ أَبَقَ إِلَى الفُلكِ المَشحونِ
(ingatlah) ketika dia lari, ke kapal yang penuh muatan,

Allah ﷻ menggunakan lafaz أَبَقَ di mana istilah ini digunakan apabila seorang hamba lari daripada tuannya. Sehingga seakan-akan Allah ﷻ mengatakan bahawa Nabi Yunus عليه السلام seperti seorang hamba yang lari daripada tuannya, iaitu baginda pergi tanpa izin daripada Allah ﷻ.

Nabi Yunus عليه السلام mendakwahi kaumnya dalam waktu yang cukup lama, namun kaumnya tetap juga tidak mahu beriman. Kemudian, Nabi Yunus عليه السلام pun mengingatkan kaumnya tentang azab yang akan menimpa kaumnya dalam waktu tiga hari. Ternyata mereka juga tetap tidak beriman.

Akhirnya, setelah sekian lama kaumnya didakwahi dan tetap tidak beriman, Nabi Yunus عليه السلام kemudian berhenti mendakwahi mereka dan pergi meninggalkan kaumnya dalam keadaan marah. Baginda telah menaiki sebuah kapal untuk meninggalkan tempat itu. Para ulama’ menyebutkan bahawa inilah kesalahan Nabi Yunus عليه السلام iaitu meninggalkan dakwah tanpa izin daripada Allah ﷻ.

فَساهَمَ فَكانَ مِنَ المُدحَضينَ
kemudian dia ikut berundi lalu dia termasuk orang-orang yang kalah dalam undian.

Tatkala kapal tersebut berlayar, di tengah lautan terjadi ombak yang sangat dahsyat yang dapat mengakibatkan tenggelamnya kapal tersebut. Orang-orang di kapal tersebut membuang barang-barang yang ada di kapal untuk mengurangi risiko tenggelam. Namun, mereka masih lagi terancam untuk tenggelam. Ada yang mengatakan bahawa waktu itu terjadi kilat dan petir, yang menurut mereka itu adalah isyarat bahawa ada orang yang bersalah di antara penumpang kapal tersebut.

Ada pula yang mengatakan bahawa tatkala terjadi ombak yang besar dan supaya kapal tidak tenggelam, harus ada penumpang yang dikurangi untuk selamat. Tidak ada cara lain untuk menempuh pilihan kedua ini melainkan dengan cara undian.

Kemudian, para penumpang kapal tersebut melakukan undian untuk melihat siapa yang namanya keluar. Disebutkan oleh Ibnu Katsir رحمه الله dalam tafsirnya, tatkala mereka melakukan undian, nama yang keluar adalah nama Nabi Yunus bin Matta عليه السلام. Namun kerana orang-orang yang ada di kapal mengenal Nabi Yunus عليه السلام sebagai orang yang soleh, maka mereka menghalang baginda terjun daripada kapal. Akhirnya, mereka kemudian mengundi kembali untuk kedua kalinya. Ternyata nama Nabi Yunus عليه السلام sekali lagi yang keluar. Maka, mereka pun masih merasa tidak sedap hati dengan keputusan undian itu.

Mereka tidak terfikir langsung bahawa orang sesoleh Nabi Yunus عليه السلام telah melakukan kesalahan yang mengakibatkan ombak begitu besar. Akhirnya, mereka pun mengundi untuk kali ketiga. Ternyata nama Nabi Yunus عليه السلام sekali lagi juga yang keluar. Orang-orang yang berada di atas kapal masih tetap tidak mahu Nabi Yunus عليه السلام terjun ke laut. Akhirnya, Nabi Yunus عليه السلام pun menyedari bahawa namanya telah keluar sebanyak tiga kali. Maka, baginda pun berdiri dan membuka bajunya, kemudian terus terjun ke dalam laut yang begitu dalam.

فَالتَقَمَهُ الحوتُ وَهُوَ مُليمٌ
Maka dia ditelan oleh ikan besar dalam keadaan tertuduh.

Para ulama’ menyebutkan bahawa makna وَهُوَ مُلِيمٌ adalah Nabi Yunus عليه السلام telah melakukan perbuatan yang salah iaitu meninggalkan kaumnya tanpa izin daripada Allah ‎ﷻ.

فَلَولا أَنَّهُ كانَ مِنَ المُسَبِّحينَ
Maka kalau sekiranya dia tidak termasuk orang-orang yang banyak mengingat Allah,

لَلَبِثَ في بَطنِهِ إِلىٰ يَومِ يُبعَثونَ
nescaya dia akan tetap tinggal di perut ikan itu sampai hari berbangkit.

Ketika Nabi Yunus عليه السلام berada di dalam perut ikan paus, baginda sedar bahawa baginda telah melakukan kesalahan kepada Allah ﷻ. Ketika itu Nabi Yunus عليه السلام menyeru Allah ﷻ di dalam kegelapan. Para ulama’ mengatakan bahawa Nabi Yunus عليه السلام tatkala itu sedang diliputi tiga kegelapan, yang pertama adalah kegelapan lautan, kedua adalah kegelapan perut ikan paus, dan ketiga adalah kegelapan malam.

Sekiranya Nabi Yunus عليه السلام tidak berdoa dan bukan termasuk orang-orang yang soleh, maka pasti Nabi Yunus عليه السلام akan tetap berada di dalam perut ikan paus tersebut hingga hari kiamat.

فَنَبَذنٰهُ بِالعَراءِ وَهُوَ سَقيمٌ
Kemudian Kami lemparkan dia ke daerah yang tandus, sedang dia dalam keadaan sakit.

Mengenai tempoh berapa lama Nabi Yunus عليه السلام berada di dalam perut ikan paus, terdapat beberapa pendapat. Ada yang menyebutkan bahawa Nabi Yunus عليه السلام ditelan di pagi hari, kemudian di petang hari dimuntahkan oleh ikan paus. Pendapat yang lain menyebutkan bahawa Nabi Yunus عليه السلام berada di dalam perut ikan paus selama tiga hari. Sementara ada pendapat yang lain menyebutkan bahawa baginda berada di dalam perut ikan paus selama 40 hari.

Wallahu a’lam bisshawab tentang pendapat mana yang benar, akan tetapi disebutkan bahawa Nabi Yunus عليه السلام keluar daripada perut ikan paus dalam keadaan sangat sakit yang menunjukkan baginda berada di dalam perut ikan paus dalam waktu yang cukup lama.

وَأَنبَتنا عَلَيهِ شَجَرَةً مِّن يَقطينٍ
Dan Kami tumbuhkan untuk dia sebatang pohon daripada jenis labu.

Allah ﷻ menempatkan baginda pada daerah yang kosong, di mana tidak ada manusia mahupun tumbuhan. Para ulama’ menyebutkan bahawa disebabkan lamanya Nabi Yunus عليه السلام berada di dalam perut ikan paus, baginda keluar dalam keadaan sakit seperti seekor anak burung yang baru menetas daripada telurnya, iaitu sangat lemah dan sangat kurus kerana tidak makan.

Allah ﷻ kemudian menumbuhkan labu agar dapat segera dimakan oleh baginda. Disebutkan bahawa buah labu termasuk buah yang mudah dimakan dan daunnya pula lebar sehingga dapat dijadikan selimut oleh Nabi Yunus عليه السلام. Kesimpulannya, terdapat hikmah tertentu yang Allah ﷻ kehendaki dengan memberikan kepada baginda pohon labu.

وَأَرسَلنٰهُ إِلىٰ مِائَةِ أَلفٍ أَو يَزيدونَ
Dan Kami utus dia kepada seratus ribu orang atau lebih.

Terdapat perbezaan pendapat tentang berapa jumlah kaum Nabi Yunus عليه السلام secara pasti. Yang jelasnya adalah Nabi Yunus عليه السلام diutus kepada kaum yang jumlahnya lebih daripada seratus ribu orang. Tentunya, ini merupakan jumlah yang cukup banyak pada zaman tersebut. Hal ini merupakan kemuliaan yang Allah ﷻ berikan kepada baginda, iaitu diutus kepada kaum yang jumlahnya sangat banyak. Kemudian Allah ﷻ berfirman,

فَئآمَنوا فَمَتَّعنٰهُم إِلىٰ حينٍ
Lalu mereka beriman, kerana itu Kami anugerahkan kenikmatan hidup kepada mereka hingga waktu yang tertentu.

Di dalam ayat yang lain, Allah ﷻ menyebutkan bahawa tatkala Nabi Yunus عليه السلام pergi meninggalkan kaumnya setelah memberikan peringatan bahawa akan datang azab kepada mereka, kemudian mereka melihat tanda-tanda akan datangnya azab tersebut. Maka, kaumnya pun bertaubat kepada Allah ﷻ. Di antara pelajaran yang dapat diambil adalah bahawa hukum asal seseorang yang bertaubat jika dalam keadaan seperti ini, maka taubatnya tidak akan diterima tatkala tanda-tanda kematian atau azab baginya sudah di depan mata. Sebagaimana yang telah dialami oleh Firaun yang tidak diterima imannya ketika kematian telah di depan matanya.

 

لَمَّا ءآمَنُوا

ketika mereka beriman,

Hanya iman kaum Nabi Yunus عليه السلام sahaja yang diterima apabila mereka melihat azab. Apabila mereka telah melihat azab dan mereka beriman, iman mereka telah diterima. Akan tetapi kepada kaum-kaum lain yang telah diberikan azab oleh Allah ﷻ, iman mereka tidak diterima. Ini merupakan pengecualian khas yang Allah ﷻ berikan kepada kaum Nabi Yunus عليه السلام. Tidak disebutkan pengecualian kaum Nabi Yunus عليه السلام ini di atas kaum-kaum yang lain.

Apakah kamu sangka yang kaum-kaum yang ditimpakan azab itu tidak beriman apabila mereka nampak azab sampai di depan mata? Apabila mereka sudah melihat azab di depan mata mereka, tentulah mereka sudah beriman. Iman mereka pula amat ikhlas pada waktu itu. Memang mereka sungguh-sungguh beriman. Tetapi iman mereka pada waktu itu sudah tidak diterima lagi. Sama seperti iman Firaun apabila dia hampir mati.

 

كَشَفنا عَنهُم عَذابَ الخِزيِ فِي الحَيَوٰةِ الدُّنيا

Kami elakkan azab sengsara yang membawa kehinaan dari menimpa mereka dalam kehidupan dunia

Kenapakah Allah ﷻ terima iman kaum Nabi Yunus عليه السلام walaupun mereka telah melihat azab itu hampir dikenakan kepada mereka itu? Sebahagian ulama’ mengatakan antara kemungkinan hikmah daripada pengecualian tersebut adalah:

      1. Allah ﷻ mengetahui bahawa kaum Nabi Yunus عليه السلام akan beriman dengan benar jika Allah ﷻ angkat kembali azab tersebut. Sedangkan kaum yang lain Allah ﷻ mengetahui bahawa mereka akan kembali kafir setelah beriman jika azab diangkat.
      2. Kemungkinan hikmah yang lain adalah Allah ﷻ ingin menggembirakan hati Nabi Yunus عليه السلام yang tatkala meninggalkan kaumnya dalam keadaan marah kerana mereka enggan beriman. Akan tetapi, setelah pemergiannya Allah ﷻ menjadikan mereka beriman.

3. Apabila mereka tahu azab sudah datang, mereka cepat-cepat telah bertaubat kepada Allah ﷻ. Mereka telah bertaubat dan menyesali perbuatan mereka selama 40 hari. Allah ﷻ Maha Tahu bahawa mereka benar-benar bertaubat, maka kerana itulah Allah ﷻ telah menarik balik azab itu.

4. Kes kaum Nabi Yunus عليه السلام ini tidak sama dengan kes Firaun. Pertamanya, Allah ﷻ tahu yang Firaun bukan benar-benar bertaubat pun. Lihatlah penggunaan perkataan yang digunakan oleh Firaun sewaktu dia mengucapkannya (Firaun menggunakan perkataan ‘Tuhan Bani Israil’, bukan ‘Allah’).

Keduanya, Firaun hanya mengucapkan imannya apabila nyawa sudah sampai ke halqum. Sedangkan kaum Nabi Yunus عليه السلام belum lagi sampai ke tahap itu. Mereka baru nampak azab itu, tetapi azab itu belum kena kepada mereka lagi. Seumpama mereka orang yang sakit tetapi belum sakaratul maut lagi. Taubat waktu itu masih diterima lagi. Seperti sabda Nabi ﷺ:

عَنْ ابْنِ عُمَرَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ اللَّهَ يَقْبَلُ تَوْبَةَ الْعَبْدِ مَا لَمْ يُغَرْغِرْ
Daripada [Ibnu Umar رضي الله عنهما] daripada Nabi ﷺ, baginda bersabda: “Sesungguhnya Allah menerima taubat seorang hamba selama nyawanya belum sampai ke tenggorokan.”
Jami’ Tirmidzi (3460)
Status: Hasan

Akan tetapi mereka belum lagi sampai ke tahap itu. Oleh kerana mereka telah nampak azab yang telah pernah dijanjikan oleh Nabi Yunus عليه السلام itu kepada mereka, mereka pun keluar beramai-ramai bertaubat dan beriman kepada Allah ﷻ. Bilangan mereka dikatakan seramai 120,000 orang. Mereka semuanya telah diselamatkan.

5. Kerana Nabi Yunus عليه السلام telah meninggalkan kaumnya sebelum waktunya. Maka kelak nanti kaumnya mempunyai hujah di hadapan Allah ﷻ. Oleh kerana itu azab yang disediakan untuk mereka ditarik balik. Nabi Yunus عليه السلام telah berdakwah setelah sekian lama kepada kaum baginda tetapi tidak ada yang mahu beriman. Nabi Yunus عليه السلام merasakan yang mereka tidak akan beriman sampai bila-bila dan baginda tahu yang azab akan diturunkan kepada kaumnya itu.

Baginda meninggalkan kaumnya itu sebelum mendapat arahan daripada Allah ﷻ. Ini adalah kerana baginda telah merajuk. Maknanya, Nabi Yunus عليه السلام keluar tanpa perintah daripada Allah ﷻ yang mengarahkan baginda pergi. Ini menjadi salah satu dalil bahawa para Nabi itu pun manusia biasa sahaja, ada juga kesilapan yang mereka lakukan. Akan tetapi kesilapan mereka tidaklah sama dengan kita, kerana mereka itu ma’sum.

Dalam riwayat ada disebutkan bahawa baginda berpesan kepada kaumnya yang mereka akan menerima azab dalam masa tiga hari. Nabi Yunus عليه السلام meninggalkan kaumnya dalam perasaan marah sebagaimana Allah ﷻ telah berfirman di dalam Anbiya:87

وَذَا النُّونِ إِذ ذَّهَبَ مُغَاضِبًا فَظَنَّ أَن لَّن نَّقْدِرَ عَلَيْهِ فَنَادَىٰ فِي الظُّلُمَاتِ أَن لَّا إِلَٰهَ إِلَّا أَنتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنتُ مِنَ الظَّالِمِينَ
Dan (sebutkanlah peristiwa) Zun-Nun, ketika dia pergi (meninggalkan kaumnya) dalam keadaan marah, yang menyebabkan dia menyangka bahawa Kami tidak akan mengenakannya kesusahan atau cubaan; (setelah berlaku kepadanya apa yang berlaku) maka dia pun menyeru dalam keadaan yang gelap-gelita dengan berkata: “Sesungguhnya tiada Tuhan melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau ! Sesungguhnya aku adalah daripada orang-orang yang menganiaya diri sendiri”.

ذَا النُّونِ dalam ayat di atas adalah Nabi Yunus عليه السلام. Baginda digelar demikian kerana baginda telah dimasukkan ke dalam perut ikan Nun.

Azab dunia memang sudah ditetapkan untuk kaum Nabi Yunus عليه السلام itu. Selepas tiga hari Nabi Yunus عليه السلام meninggalkan mereka, mereka sudah nampak azab itu mendatang kepada mereka. Waktu itu mereka baru sedar kesalahan mereka dan mereka telah beriman dan bertaubat. Sepatutnya, iman mereka waktu itu tidak diterima lagi kerana azab sudah datang, sudah terlambat.

Namun begitu, oleh kerana Nabi Yunus عليه السلام telah meninggalkan mereka sebelum mendapat arahan daripada Allah ﷻ, maka Allah ﷻ telah menahan azab itu daripada mengenai mereka. Oleh kerana rasul mereka telah meninggalkan mereka maka hujah ke atas mereka sudah tidak lengkap lagi. Mereka boleh menggunakan hujah dengan mengatakan yang Rasul mereka telah meninggalkan mereka.

Cuma sebab ke 5 ini mendapat kritikan dan tidak semua para pentafsir bersetuju dengannya kerana pendapat itu condong untuk menyalahkan Nabi dan kita pun tahu semua Nabi adalah ma’sum. Memang para Nabi ada juga membuat kesalahan kecil akan tetapi tidak ada kesilapan dalam cara dakwah. Yang mengkritik pendapat ke 5 itu mengatakan kesilapan Nabi Yunus عليه السلام adalah kerana menaiki kapal untuk meninggalkan umatnya, bukannya kerana meninggalkan mereka selepas memberitahu tentang azab.

Kisahnya ringkasnya begini: setelah umat baginda menolak dakwah baginda, baginda telah diwahyukan yang mereka akan dikenakan dengan azab selepas tiga hari. Umat baginda berasa goyang kerana mereka tahu yang baginda tidak pernah menipu. Maka mereka berbincang sesama mereka, bersetuju untuk melihat tindakan Nabi Yunus عليه السلام. Sekiranya baginda pergi meninggalkan mereka, maka tahulah mereka yang memang baginda telah berkata benar.

Pada malam sebelum azab diturunkan, Nabi Yunus عليه السلام meninggalkan mereka. Ini tidak salah kerana azab sudah mendekat. Pada waktu itu umat baginda telah bersedia untuk bertaubat. Semasa awam hitam telah datang kepada mereka, mereka telah keluar beramai-ramai untuk bertaubat. Maka taubat mereka agak awal (tidak sama dengan taubat Firaun). Kerana itulah azab tidak diteruskan kepada mereka.

Pada masa yang sama, Nabi Yunus عليه السلام yang telah keluar dari kawasan kaumnya itu menunggu untuk memastikan azab telah turun ke atas mereka. Bila nampak tidak ada tanda-tanda begitu, maka baginda telah risau kerana seolah-olah baginda telah menipu pula. Undang-undang pada waktu itu, mereka yang menipu akan dihukum bunuh. Waktu itulah baginda mengambil keputusan untuk menaiki kapal dan meninggalkan negeri itu sedangkan baginda tidak mendapat arahan lagi daripada Allah ﷻ. Inilah kesilapan baginda iaitu meninggalkan negeri itu. Sedangkan umat baginda telah bertaubat dan memerlukan baginda untuk mengajar mereka hal agama. Sekian.

 

وَمَتَّعْنٰهُمْ إِلَىٰ حِينٍ

dan Kami berikan mereka menikmati kesenangan sehingga ke suatu masa yang telah ditetapkan.

Selepas 40 hari berada di dalam perut ikan itu, Nabi Yunus عليه السلام telah dilempar keluar ke pantai. Kaum baginda telah mencari-cari baginda dan akhirnya menjumpai baginda di tepi pantai itu. Mereka pun telah meminta Nabi Yunus عليه السلام untuk kembali dan mengajar agama kepada mereka.

Oleh kerana mereka telah beriman, maka Allah ﷻ telah melimpahkan rahmat-Nya kepada mereka. Mereka telah menikmati kehidupan yang senang sehinggalah sampai ajal mereka yang telah ditetapkan oleh Allah ﷻ. Mereka hidup dalam iman.

Begitulah kisah Nabi Yunus عليه السلام yang mengandungi banyak pelajaran bagi kita. Namun jangan kita merendahkan kedudukan baginda di dalam hal ini sampaikan pernah Nabi ﷺ bersabda,

مَا يَنْبَغِي لِعَبْدٍ أَنْ يَقُولَ إِنِّي خَيْرٌ مِنْ يُونُسَ بْنِ مَتَّى وَنَسَبَهُ إِلَى أَبِيهِ
“Tidak patut bagi seorang hamba berkata bahawa aku (Muhammad ﷺ) lebih baik daripada Yunus bin Matta عليه السلام. Baginda menisbatkan pada bapanya.”
(Sahih Bukhari (3413))

Para ulama’ menyebutkan bahawa alasan Nabi Muhammad ﷺ mengkhususkan Nabi Yunus عليه السلام, adalah kerana ada kemungkinan seseorang yang berdakwah akan berprasangka buruk terhadap sikap Nabi Yunus عليه السلام yang meninggalkan dakwah kepada kaumnya. Sedangkan dia pula mungkin seorang yang bertahan dalam berdakwah. Ini tidak patut berlaku kerana kita tidak pernah tahu bagaimana keadaan kaum yang diutus oleh Allah ﷻ kepada Nabi Yunus عليه السلام yang membuatkan baginda lari daripada mereka. Intinya adalah Nabi Yunus عليه السلام adalah seorang Nabi yang mulia.

Apakah antara pengajaran yang kita boleh dapat daripada kisah Nabi Yunus عليه السلام ini?

1. Wajib berdakwah. Tugas dakwah Tauhid bukan sahaja tugas Nabi tapi tugas kita semua sebagai umat Islam.

2. Jangan lelah dalam berdakwah. Jangan merajuk dalam berdakwah. Lihatlah bagaimana Nabi Yunus عليه السلام dihukum kerana merajuk dalam dakwah. Itu baginda sudah dakwah, kalau kita yang tidak berdakwah langsung, bagaimana? Cuma memanglah hukuman kepada baginda itu sangat berat kerana kedudukan baginda sebagai seorang Nabi. Ini sesuai seperti sabda Rasulullah ﷺ:

عَنْ مُصْعَبِ بْنِ سَعْدٍ عَنْ أَبِيهِ سَعْدِ بْنِ أَبِي وَقَّاصٍ قَالَ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيُّ النَّاسِ أَشَدُّ بَلَاءً قَالَ الْأَنْبِيَاءُ ثُمَّ الْأَمْثَلُ فَالْأَمْثَلُ يُبْتَلَى الْعَبْدُ عَلَى حَسَبِ دِينِهِ فَإِنْ كَانَ فِي دِينِهِ صُلْبًا اشْتَدَّ بَلَاؤُهُ وَإِنْ كَانَ فِي دِينِهِ رِقَّةٌ ابْتُلِيَ عَلَى حَسَبِ دِينِهِ فَمَا يَبْرَحُ الْبَلَاءُ بِالْعَبْدِ حَتَّى يَتْرُكَهُ يَمْشِي عَلَى الْأَرْضِ وَمَا عَلَيْهِ مِنْ خَطِيئَةٍ
Mus’ab bin Sa’ad meriwayatkan daripada bapanya yang berkata: “Aku bertanya: “Wahai Rasulullah, siapakah manusia yang paling berat mendapat ujian? Baginda menjawab: “Para nabi, kemudian orang-orang yang selanjutnya yang lebih utama dan selanjutnya. Seseorang hamba itu diuji menurut kadar agamanya (keimanannya). Sekiranya semakin kuat keimanannya, maka semakin berat ujiannya. Sekiranya semakin lemah keimanannya, maka dia diuji menurut kadar kesesuaian agamanya. Lalu, ujian itu akan berterusan menimpa seorang hamba sehinggalah dia akan berjalan di atas muka bumi dalam keadaan suci daripada dosa.
(Riwayat Ibn Majah (4203))
Status: Hasan

3. Baginda diselamatkan kerana baginda selalu solat dan bertasbih sebelum baginda merajuk dan meninggalkan kaumnya itu. Maka ini mengajar kita yang zikir dan ibadah dapat menyelamatkan kita. Allah ﷻ telah terima doa pengampunan baginda di dalam Anbiya’:88

فَاستَجَبنا لَهُ وَنَجَّينٰهُ مِنَ الغَمِّ ۚ وَكَذٰلِكَ نُنجِي المُؤمِنينَ
Maka Kami telah memperkenankan doanya dan menyelamatkannya daripada kedukaan. Dan demikianlah Kami selamatkan orang-orang yang beriman.

4. Lihat cara Nabi Yunus عليه السلام meminta ampun. Baginda tidak sebut pun meminta ampun, tapi baginda mengaku yang baginda bersalah. Kalimat yang digunakan adalah لَا إِلَٰهَ إِلَّا أَنتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي  كُنتُ مِنَ الظَّالِمِينَ (Sesungguhnya tiada Tuhan melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau! Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri). Maknanya kita kena selalu mengaku dosa sendiri.

Inilah juga cara doa yang pernah diajar oleh Rasulullah ﷺ kepada Abu Bakr رضي الله عنه.

Abu Bakar As-Siddiq ‎رضي الله عنه, dia berkata kepada Rasulullah ﷺ, “Ajarkanlah aku suatu doa yang boleh aku berdoa dengannya ketika solat!” Maka baginda pun bersabda: “Bacalah,
اللَّهُمَّ إِنِّي ظَلَمْتُ نَفْسِي ظُلْمًا كَثِيرًا وَلَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ فَاغْفِرْ لِي مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ وَارْحَمْنِي إِنَّك أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ
Ya Allah, sungguh aku telah menzalimi diriku sendiri dengan kezaliman yang banyak, sedangkan tidak ada yang dapat mengampuni dosa-dosa kecuali Engkau. Maka itu ampunilah aku dengan suatu pengampunan dari sisi-Mu, dan rahmatilah aku. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang’.”
(Al-Bukhari 6326, Muslim 2705 – Mutafaqun ‘Alaih)


 

KEPERCAYAAN BUKAN PAKSAAN

Yunus Ayat 99: Ayat ini memberitahu kita bahawa Allah ﷻ boleh sahaja hendak menjadikan semua makhluk-Nya beriman. Namun Allah ﷻ tidak mahu buat begitu. Allah ﷻ telah memberi pilihan kepada manusia sama ada hendak beriman atau tidak.

وَلَو شاءَ رَبُّكَ لَآمَنَ مَن فِي الأَرضِ كُلُّهُم جَميعًا ۚ أَفَأَنتَ تُكرِهُ النّاسَ حَتّىٰ يَكونوا مُؤمِنينَ

Sahih International

And had your Lord willed, those on earth would have believed – all of them entirely. Then, [O Muhammad], would you compel the people in order that they become believers?

Malay

Dan (bukanlah tanggungjawabmu wahai Muhammad menjadikan seluruh umat manusia beriman), jika Tuhanmu menghendaki nescaya berimanlah sekalian manusia yang ada di bumi. (Janganlah engkau bersedih hati tentang kedegilan orang-orang yang ingkar itu; kalau Tuhan tidak menghendaki) maka patutkah engkau pula hendak memaksa manusia supaya mereka menjadi orang-orang yang beriman?

 

وَلَوْ شَاءَ رَبُّكَ

Dan jika Tuhanmu menghendaki

Allah ﷻ boleh buat apa sahaja yang dikehendaki-Nya, tidak ada yang boleh menghalang. Sebenarnya ayat ini Allah ﷻ menegur Rasulullah ﷺ kerana baginda teringin sangat dan berharap sangat supaya seluruh umat baginda beriman. Allah ﷻ beritahu yang bukan Dia tidak boleh jadikan itu realiti, tetapi bukan itu cara-Nya.

Namun memang begitulah sifat Nabi ﷺ yang terlalu sayangkan umatnya seperti disebut dalam Tawbah:128

لَقَد جاءَكُم رَسولٌ مِن أَنفُسِكُم عَزيزٌ عَلَيهِ ما عَنِتُّم حَريصٌ عَلَيكُم بِالمُؤمِنينَ رَءوفٌ رَحيمٌ
Sungguh telah datang kepadamu seorang Rasul daripada kaummu sendiri, berat terasa olehnya penderitaanmu, sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, amat belas kasihan lagi penyayang terhadap orang-orang mukmin.

Ia sampaikan membahayakan diri baginda seperti disebut dalam Shu’araa’:3

لَعَلَّكَ بٰخِعٌ نَّفسَكَ أَلّا يَكونوا مُؤمِنينَ
Boleh jadi kamu (Muhammad) akan membinasakan dirimu, kerana mereka tidak beriman.

Maka Allah ﷻ beri nasihat dan teguran kepada baginda. Teguran pun teguran mesra, teguran sayang, kerana Allah ﷻ tidak mahu baginda terlalu bersedih, sesak, membinasakan diri baginda sehingga jatuh sakit disebabkan terlalu memikirkan umat baginda yang degil.

 

لَآمَنَ مَن فِي الْأَرْضِ كُلُّهُمْ جَمِيعًا

nescaya berimanlah sekalian manusia yang ada di bumi.

Allah ﷻ boleh sahaja hendak menjadikan SEMUA makhluk di bumi beriman. Apabila Allah ﷻ tambah di sini dengan kalimah جَمِيعًا, ia bermaksud bukan sahaja semua beriman, tetapi sekaligus pun boleh. Allah ﷻ boleh buat daripada qudrat-Nya supaya tidak ada seorang pun makhluk-Nya yang kufur. Allah ﷻ boleh jadikan semua makhluk-Nya itu taat dan baik-baik belaka. Mudah sahaja bagi Allah ﷻ untuk melakukan demikian. Lihatlah Allah ﷻ boleh sahaja menjadikan para malaikat-Nya taat dan patuh kepada-Nya sahaja.

Namun dari segi kebijaksanaan, Allah ﷻ tidak mahu memaksa manusia untuk beriman kerana kehidupan dunia ini adalah ujian. Jika makhluk itu dipaksa untuk beriman, maka di manakah ujiannya? Kerana kalau seseorang itu dipaksa untuk melakukan sesuatu itu, adakah dia benar-benar hendak melakukannya? Iman dalam paksaan bukanlah iman yang sebenarnya.

Ayat ini memberitahu kepada kita bahawa Allah ﷻ mampu memaksa semua manusia dan jin untuk semuanya beriman. Allah ﷻ berkemampuan buat begitu, tetapi adakah Nabi ﷺ mampu berbuat begitu?

 

أَفَأَنتَ تُكْرِهُ النَّاسَ

Adakah engkau hendak memaksa manusia

Sedangkan Allah ﷻ sendiripun tidak memaksa manusia untuk beriman, adakah Nabi Muhammad ﷺ boleh memaksa? Adakah kita layak untuk memaksa orang lain beriman? Kita tidak boleh memaksa sesiapa pun untuk beriman. Ingatlah bahawa tidak ada paksaan dalam agama, seperti yang disebut dalam Baqarah:256

لَا إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ
Tidak ada paksaan dalam ugama

Oleh itu jelas sekali bahawa kita tidak boleh memaksa manusia untuk beriman. Apa yang kita boleh lakukan hanyalah berdakwah kepada mereka dan memberi peringatan kepada mereka.

 

حَتَّىٰ يَكُونُوا مُؤْمِنِينَ

sehingga mereka menjadi orang-orang yang beriman?

Jika kita hendak memaksa sesiapa untuk beriman, kita tidak akan berjaya. Bayangkan, anak kita sendiri pun kita tidak boleh paksa, apatah lagi orang lain? Memanglah kita mahu dan berharap sangat orang yang rapat dengan kita beriman, bukan? Begitulah juga Rasulullah ﷺ amat berharap yang bapa saudara kesayangannya, Abu Thalib pun beriman juga. Akan tetapi Allah ﷻ sebut dalam Qasas:56 yang ia bukan di tangan baginda.

إِنَّكَ لا تَهدي مَن أَحبَبتَ وَلٰكِنَّ اللهَ يَهدي مَن يَشاءُ
Sesungguhnya kamu tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang yang kamu kasihi, tetapi Allah memberi petunjuk kepada orang yang dikehendaki-Nya

 

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Moga selesai dengan selamat, urusanku pada hari ini Aamiin...

 

Sunday, 30 June 2024

Moga selesai dengan selamat, urusanku pada hari ini Aamiin...




 Assalamualaikum...

Moga daku selamat dalam urusanku hari ini doakan aku...Aamiin.


Rabbi adkhilni mudkhalasidqin waahrijji mukhrajasidqin waj alni minladunka sultoo nan nasiiro.


Ya Rabb, masukkankanlah aku pada tempat masuk yang benar dan keluarkan daku pada tempat keluar yang benar dan bagilah daku  disisiMu kekuasaan yang memenangkan.

 

Tafsir Surah Fatihah Ayat 1 (Kehebatan Basmallah)

 

Tafsir Surah Fatihah Ayat 1 (Kehebatan Basmallah)

Pengenalan Surah al-Fatihah

Surah Fatihah diturunkan di Mekah dan Madinah. Riwayat mengatakan bahawa ia diturunkan sebanyak dua kali. Ia adalah surah yang teragung di dalam Al-Qur’an.

Keseluruhan isi kandungan Al-Qur’an secara ringkas berada di dalam Surah Al-Fatihah ini. Kerana itulah ia dinamakan Ummul Qur’an. Maksud/Dakwa Surah Al-Fatihah ini terdapat di dalam ayat: إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ. Melalui sebuah Hadith Qudsi, ringkasnya ayat-ayat di dalam keseluruhan Al-Fatihah ini adalah:

Ayat 1 – 3: Pujian-pujian kepada Allah ﷻ.

Ayat 4: Antara kita dengan Allah ﷻ

Ayat 5 – 7: Untuk kita sahaja.

Surah ini dinamakan Al-Fatihah kerana ia adalah pembukaan kitab secara tertulis. Dengan al-Fatihah itu juga dibukakan bacaan di dalam solat.

Ia juga disebut Ummul Kitab, As-Sab’ul Mathani (tujuh ayat yang dibaca berulang-ulang) dan Al-Qur-anul Azhim.

Ia juga dipanggil dengan sebutan al-Hamdu kerana Nabi ﷺ ada meriwayatkan firman Allah ‎ﷻ dalam Hadith Qudsi: “Aku membahagikan solat antara diri-Ku dan hamba-Ku menjadi dua bahagian. Jika seorang hamba mengucapkan: ‘Alhamdulillahi rabbil alamin, maka Allah ‎ﷻ berfirman; Aku telah dipuji oleh hamba-Ku.”

Surah ini juga dipanggil As-Solah, kerana al-Fatihah itu sebagai syarat sahnya solat.

Ia juga disebut dengan nama Asy-Syifa’ kerana ada diriwayatkan satu hadith: “Fatihatul kitab itu merupakan syifa’ (penyembuh) dari setiap racun.”

Ia juga disebut ar-Ruqyah kerana ada satu hadith yang meriwayatkan sahabat telah menjampi (ruqyah) seseorang yang terkena sengatan, maka Nabi ﷺ bersabda: “Dari mana engkau mengetahui bahawa al-Fatihah itu adalah ruqyah?”

Abu Hurairah رضي الله عنه pernah meriwayatkan sebuah hadith daripada Nabi ﷺ: “Barangsiapa yang mengerjakan solat tanpa membaca Ummul Qur’an, maka solatnya itu tidak sempurna, tidak sempurna, tidak sempurna.”

Berikut merupakan Hadith Qudsi yang telah disebut sebelum ini:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ صَلَّى صَلَاةً لَمْ يَقْرَأْ فِيهَا بِأُمِّ الْقُرْآنِ فَهِيَ خِدَاجٌ ثَلَاثًا غَيْرُ تَمَامٍ فَقِيلَ لِأَبِي هُرَيْرَةَ إِنَّا نَكُونُ وَرَاءَ الْإِمَامِ فَقَالَ اقْرَأْ بِهَا فِي نَفْسِكَ فَإِنِّي سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ قَالَ اللَّهُ تَعَالَى قَسَمْتُ الصَّلَاةَ بَيْنِي وَبَيْنَ عَبْدِي نِصْفَيْنِ وَلِعَبْدِي مَا سَأَلَ فَإِذَا قَالَ الْعَبْدُ { الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ } قَالَ اللَّهُ تَعَالَى حَمِدَنِي عَبْدِي وَإِذَا قَالَ { الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ } قَالَ اللَّهُ تَعَالَى أَثْنَى عَلَيَّ عَبْدِي وَإِذَا قَالَ { مَالِكِ يَوْمِ الدِّينِ } قَالَ مَجَّدَنِي عَبْدِي وَقَالَ مَرَّةً فَوَّضَ إِلَيَّ عَبْدِي فَإِذَا قَالَ { إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ } قَالَ هَذَا بَيْنِي وَبَيْنَ عَبْدِي وَلِعَبْدِي مَا سَأَلَ فَإِذَا قَالَ { اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلَا الضَّالِّينَ } قَالَ هَذَا لِعَبْدِي وَلِعَبْدِي مَا سَأَلَ
Daripada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ daripada Nabi ﷺ, baginda bersabda, “Barangsiapa yang mengerjakan solat tanpa membaca Ummul Qur’an di dalamnya, maka solatnya masih mempunyai hutang, tidak sempurna” Tiga kali. Ditanyakan kepada Abu Hurairah رَضِيَ اللّٰهُ عَنْهُ,” Kami berada di belakang imam?” Maka dia menjawab, “Bacalah Ummul Qur’an dalam dirimu, kerana aku mendengar Rasulullah ﷺ bersabda, ‘Allah berfirman, ‘Aku membahagi solat antara Aku dengan hamba-Ku, dan hambaku mendapatkan sesuatu yang dia minta. Apabila seorang hamba berkata, ‘Segala puji bagi Allah Rabb semesta alam.’ Maka Allah berkata, ‘Hamba-Ku memuji-Ku.’ Apabila hamba tersebut mengucapkan, ‘Yang Maha pengasih lagi Maha Penyayang.’ Allah berkata, ‘Hamba-Ku memuji-Ku.’ Apabila hamba tersebut mengucapkan, ‘Pemilik hari kiamat.’ Allah berkata, ‘Hamba-Ku memujiku.’ Selanjutnya Dia berkata, ‘Hamba-Ku menyerahkan urusannya kepada-Ku.’ Apabila hamba tersebut mengucapkan, ‘Hanya kepada-Mulah aku menyembah dan hanya kepadaMulah aku memohon pertolongan.’ Allah berkata, ‘Ini adalah antara Aku dengan hamba-Ku. Dan hamba-Ku mendapatkan sesuatu yang dia minta’. Apabila hamba tersebut mengucapkan, ‘Berilah kami petunjuk jalan yang lurus, iaitu jalan orang-orang yang Engkau beri nikmat atas mereka, bukan jalan orang-orang yang Engkau murkai dan bukan pula orang-orang yang sesat.’ Allah berkata, ‘Ini untuk hamba-Ku, dan hamba-Ku mendapatkan sesuatu yang dia minta’.
(Sahih Muslim (5362))


Fatihah Ayat 1:

بِسمِ اللهِ الرَّحمٰنِ الرَّحيمِ

(SAHIH INTERNATIONAL)
In the name of Allah Most Gracious Most Merciful.

(MALAY)
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani

Kata basmallah ini adalah satu lafaz yang amat hebat. Ia tidak diberikan kepada agama-agama lain. Tidak diberikan kepada orang Yahudi dan tidak diberikan kepada agama Kristian.

بِسْمِ اللهِ

Dengan Nama Allah;

Apabila kita kata ‘dengan’, sepatutnya ada ayat sebelum itu. Ada ulama’ yang berkata ayat sebelum itu adalah “Aku mula membaca Al-Qur’an ini adalah….” disambung: ‘dengan nama Allah yang bersifat Rahman dan Rahim’.

Namun yang mengajar kita menyebut kalimat بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ ini adalah Tuhan sendiri. Maka adakah Tuhan menyuruh kita baca atau Tuhan yang baca? Jawapannya adalah: Tuhan menyuruh kita baca.

Oleh itu, ayat yang penuh adalah: “Katakanlah, aku membaca surah ini dengan menyebut nama bagi Allah.”

Huruf بِ ‘ba’ dalam بِسْمِ itu adalah sesuatu yang menjadi perbincangan ulama’. Apakah yang dimaksudkan olehnya? Huruf ‘ba’ itu mempunyai banyak kegunaan dalam bahasa Arab. Ulama’ mengatakan terdapat 20 makna yang boleh diambil apabila ada penggunaan ‘ba’ itu.

Perbincangan ulama’ mengatakan bahawa ‘ba’ dalam basmallah ini membawa dua maksud: ba’ musaahabah dan ba’ istiaanah.

Ba’ musaahabah bermaksud mendekatkan diri dengan Allah ‎ﷻ. Bermaksud kita hendak mendekatkan diri ‘dengan’ Allah ‎ﷻ supaya perbuatan yang kita buat itu mendapat keberkatan daripada Allah ﷻ apabila kita membaca basmallah. Ini kerana segala usaha tidak akan membuahkan hasil jika Allah ‎ﷻ tidak mengizinkannya.

Hanya apabila Allah ‎ﷻ mengizinkannya barulah perkara tersebut berlaku. Kalau Allah ‎ﷻ tidak mengizinkan kita makan, maka kita tidak dapat hendak menyuapkan makanan ke dalam mulut pun.

Kita mengharapkan keberkatan daripada bacaan basmallah sampai kepada usaha kita itu. Dengan berkat Allah ‎ﷻ, perkara yang sedikit boleh menjadi banyak. Sebagai contoh, kalau Allah ‎ﷻ memberi berkat kepada makanan itu, walaupun ia sedikit sahaja, tetapi kita akan kenyang dengan makanan yang sedikit itu dan ia akan memberi tenaga yang banyak kepada kita.

Ba’ istiaanah pula bermaksud kita mengharapkan pertolongan daripada Allah ‎ﷻ. Semoga dengan izin dan pertolongan Allah ‎ﷻ, usaha kita itu akan berjaya. Kita sebagai manusia yang hina, memang amat mengharapkan pertolongan dari Allah ‎ﷻ. Tidak akan berjaya sesuatu usaha itu tanpa ada pertolongan daripada Allah ‎ﷻ.

Daripada dua makna itu, dapat kita zahirkan di dalam diri kita bahawa Allah ‎ﷻlah sumber barakah dan pertolongan, semenjak mula lagi sebelum kita dapat memulakan usaha tersebut pun.

Nama dzat: Allah. Kata ini adalah nama untuk Rabb. Dikatakan bahawa Allah ‎ﷻ adalah al-ismul a’zham (nama yang paling agung) kerana nama itu menyandang segala bentuk sifat.

Kalau kita sebut ar-Rahman, itu hanyalah merujuk kepada sifat Pemurah Allah ‎ﷻ sahaja. Kalau kita sebut ar-Razzaq, itu hanyalah menyentuh tentang sifat Allah ‎ﷻ memberi rezeki sahaja. Akan tetapi apabila kita gunakan nama Allah ‎ﷻ – ia merangkumi semua sifat-sifat Allah ‎ﷻ itu.

Nama Allah merupakan nama yang tidak diberikan kepada sesiapa pun selain diri-Nya, yang Maha Suci dan Maha Tinggi. Oleh kerana itu, dalam bahasa Arab tidak diketahui daripada kata apakah nama itu berasal. Maka di antara para ahli nahu mengatakan bahawa nama Allah ‎ﷻ itu adalah ismun jamid, iaitu nama yang tidak mempunyai kata dasar.

Nama sifat: ar-Rahman (Maha Pengasih) dan ar-Rahim (Maha Penyayang). Dua-dua nama ini berasal daripada kata dasar – ar-Rahmah.

الرَّحْمَٰنِ

yang Maha Pemurah

Kalimah ar-Rahman diibaratkan seperti kasih sayang seorang ayah terhadap anaknya. Seorang ayah sanggup memukul anaknya jikalau anaknya nakal, contohnya jika anak itu tidak mahu pergi ke sekolah.

Ayah itu sanggup melakukan pelbagai cara untuk mendisiplinkan anaknya itu supaya anaknya itu menjadi seperti apa yang dia cita-citakan. Seorang ayah sanggup melihat anaknya yang nakal dimasukkan ke dalam penjara hanya kerana menginginkan yang terbaik untuk anak itu dengan harapan semoga dalam penjara dapat mengubah sikap anaknya itu.

Sifat Rahman Allah ‎ﷻ itu sanggup melihat hamba-Nya bersusah payah di dalam ibadat. Contohnya, kita diwajibkan solat lima waktu setiap hari. Kita di Malaysia tidak perlu menghadapi masalah yang besar untuk mengerjakan solat pada bila-bila masa pun.

Namun cuba bayangkan di negara-negara yang beriklim sejuk. Mereka terpaksa bersusah payah untuk mengambil wudhu’ dan sebagainya. Bayangkan mereka yang perlu berpuasa di kutub utara di dalam kesejukan dan masa yang sangat panjang kerana tempoh masa waktu siang mereka yang panjang. Ia seolah-olah nampak seperti mereka terseksa di dalam melakukan ibadat.

Allah ‎ﷻ sanggup melihat penyampai agama (pendakwah) bersusah payah di dalam menyampaikan agama-Nya. Sehinggakan ada yang dicerca, diejek malah ada yang dibunuh. Mereka hanya menghadapi dugaan ini semasa di dunia sahaja.

Namun kepada mereka di akhirat kelak, lain pula keadaan mereka nanti. Mereka akan dibalas dengan usaha dan kesusahan yang telah mereka alami semasa menjalankan ibadat-ibadat dan dakwah mereka kepada manusia.

Sifat Rahman Allah ‎ﷻ ini diberikan kepada seluruh makhluk-Nya, walaupun yang mukmin ataupun tidak. Lihatlah bagaimana Allah ‎ﷻ telah memberikan segala nikmat-Nya kepada penduduk dunia. Tidak kira sama ada mereka kafir atau tidak.

الرَّحِيمِ

yang Maha Mengasihani

Kalimah ar-Raheem diibaratkan seperti kasih sayang seorang ibu yang tidak sanggup melihat anaknya susah. Walaupun anaknya itu adalah seorang penagih dadah. Si ibu tidak akan sanggup melihat anaknya dimasukkan ke dalam penjara. Dia sanggup berbuat apa sahaja supaya anaknya tidak diazab.

Kalau di dunia, sifat Rahman Allah ‎ﷻ sanggup melihat hamba-Nya kepayahan dalam menjaga agama, tetapi apabila di akhirat nanti, Allah ‎ﷻ yang bersifat Raheem tidak sanggup melihat hamba-Nya yang Dia sayang itu mendapat penyeksaan.

Apabila Dia sudah mengampuni dosa-dosa hamba-Nya, Dia tidak akan bertanya lagi akan kesalahan dan dosa yang pernah mereka telah lakukan. Semuanya akan diampunkan dan dimasukkan hamba itu ke dalam syurga.

Amat berbeza sekali dengan kita sebagai manusia, walaupun kita sudah memaafkan seseorang, namun masih lagi ada tersisa rasa terkilan kita itu. Kita masih ingat lagi kesalahan yang dia telah lakukan terhadap kita. Namun Allah ‎ﷻ tidak begitu. Tidak sama kasih kita dengan kasihnya Allah ‎ﷻ.

Sifat Raheem ini dikatakan oleh ulama’ dikhususkan kepada orang mukmin sahaja. Tidak diberikan kepada selainnya. Kalau kita bukan seorang yang mukmin, kita tidak dapat merasa nikmat Raheem Allah ‎ﷻ ini.

Kalau kita lihat susunan basmallah ini, kita boleh melihat bagaimana Allah ‎ﷻ memulakan penggunaan nama-Nya daripada bentuk umum (nama Allah) kepada bentuk yang spesifik (ar-Raheem). Basmallah bermula dengan nama Allah – yang merangkumi seluruh sifat-sifat-Nya.

Kemudian nama ar-Rahman – iaitu sifat Pemurah Allah ‎ﷻ yang diberikan kepada seluruh makhluknya (mukmin ataupun tidak). Kemudian lebih spesifik lagi adalah nama ar-Raheem – sifat pemurah Allah ‎ﷻ yang hanya diberikan kepada orang mukmin sahaja. Begitu hebat sekali susunan Allah ‎ﷻ ini.

Para ulama telah sepakat bahawa kalimah basmalah seperti yang terdapat dalam salah satu ayat dalam Surah An-Naml (Ayat 30: اِنَّهٗ مِنْ سُلَيْمٰنَ وَاِنَّهٗ بِسْمِ اللّٰهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ) adalah termasuk sebagai sebahagian daripada surah itu. Namun, mereka berbeza pendapat sama ada basmalah yang tertulis di awal setiap surah itu dianggap sebagai sebahagian daripada ayat-ayat setiap surah atau sekadar kalimah yang berdiri sendiri, bertindak sebagai pemisah di antara satu surah dengan surah yang lain.

Di antara ulama’ yang mengatakan bahawa basmalah adalah ayat daripada setiap surat adalah Ibnu Abbas, Ibnu Umar, Ibnu Az-Zubair, Abu Hurairah dan Ali. Sedangkan Imam Malik dan Abu Hanifah berpendapat bahawa basmalah itu bukan termasuk Surah Al-Fatihah dan tidak juga surah-surah lainnya.

Bagi mereka yang mengatakan bahawa basmalah bukan sebahagian daripada Surah Al-Fatihah, maka mereka tidak membacanya secara jahr (kuat) di dalam solat. Memang ada juga hadith yang mengatakan bahawa Nabi ﷺ tidak membaca basmallah di awal surah.

Namun tidaklah terjadi perbezaan pendapat kerana semua ulama’ telah sepakat bahawa solat orang yang membaca basmallah dengan kuat atau dengan perlahan adalah sah. Maka boleh pilih sama ada hendak membaca basmallah dengan jahr atau sirr, atau tidak dibaca langsung. Boleh buat kajian dan pilih mana pendapat yang dirasakan paling kuat.

Bacaan basmallah dianjurkan untuk dibaca dalam setiap perbuatan kita. Salah satu kehebatan basmallah adalah: ia adalah satu perkataan yang tidak lengkap. Bagaimana pula satu perkara yang tidak lengkap adalah satu kebaikan? Apakah yang dimaksudkan ia tidak lengkap?

Ayat yang lengkap sepatutnya ada subjek dan predikat. Sebagai contoh, apabila ayat berbunyi “saya mahu pergi…”, ia adalah tidak lengkap kerana timbul persoalan, pergi ke mana? Maka susunan basmallah tidak lengkap. Apabila kita sebut “dengan nama Allah”, ia seperti tergantung.

Itu adalah supaya ia boleh digunakan dalam semua keadaan. Sebagai contoh, “dengan nama Allah, aku hendak makan”, “dengan nama Allah, aku hendak memulakan solat ini”, “dengan nama Allah, aku hendak memulakan membaca Qur’an ini” dan sebagainya. Itulah kehebatan basmallah.

Juga, apabila kita menyebut basmallah sebelum memulakan sesuatu, ia adalah seperti pernyataan daripada kita bahawa kita berbuat sesuatu itu *hanya* dengan nama Allah ‎ﷻ. Tidak ada nama tuhan yang lain. Tidak dengan nama entiti yang lain.

Oleh kerana itu, terdapat elemen ikhlas di situ, di mana kita hanya menggunakan nama Allah ‎ﷻ sahaja. Ini melatih diri kita untuk keluar daripada syirik.  Ini kerana kalau kita merasakan perbuatan kita itu ditolong atau dibantu oleh entiti lain, itu adalah satu perbuatan yang syirik.

Oleh itu, janganlah kita menggunakan perkataan-perkataan yang lain. Jangan kita katakan, sebagai contoh, “demi rakyat, kita melakukan ini dan itu”, atau kita kata, “dengan berkat tok syeikh ini dan itu, kita berjaya sampai ke sini dan sebagainya”. Itu adalah kata-kata yang salah.

Begitu juga, kalau kita faham makna basmalah ini, kita akan sedar bahawa setiap kali kita sebut basmallah ketika ingin memulakan sesuatu, kita sebenarnya berdoa kepada Allah ‎ﷻ. Maka, ia adalah satu perkara ibadat kerana doa adalah ibadat.

Ia adalah juga satu bentuk zikir kerana kita sentiasa ingat Allah ‎ﷻ dalam kita memulakan sesuatu. Walaupun pada zahirnya, perbuatan yang kita lakukan itu bukanlah satu bentuk ibadat yang khusus. Kalau solat, sememangnya ia adalah ibadah yang khusus. Namun bagaimana dengan makan, naik kenderaan, keluar rumah dan sebagainya?

Dengan menyebut basmallah, kita telah memasukkan elemen zikir ke dalam amalan kita. Dengan sentiasa menyebut basmallah, kita telah melakukan zikir kepada Allah ‎ﷻ kerana kita ingat kepada Allah ‎ﷻ pada waktu itu. Oleh itu, semasa kita menyebutkan basmallah, hendaklah kita lahirkan dalam hati kita dan sepenuh pemahaman bahawa kita sedang menyebut nama Allah ‎ﷻ di situ.

Apabila kita sedar tentang perkara ini, secara automatik kita akan menilai sama ada perbuatan yang kita hampiri itu adakah halal ataupun tidak. Sebagai contoh, tidak ada orang yang memulakan menghisap rokok dengan basmalah. Tidak ada orang yang menyebut basmallah sebelum berzina.

Mereka sendiri mengetahui bahawa perbuatan-perbuatan tidak bermoral itu bukanlah perbuatan yang mulia atau baik, maka mereka tidak menyebut basmalah sebelum memulakannya.

Maka, sepatutnya, apabila kita sudah selalu menyebut bismillah dalam setiap perbuatan kita, kita akan rasa canggung apabila tidak dapat menyebut basmallah dalam perbuatan kita yang lain. Maka, sekurang-kurangnya itu dapat menghindari diri kita daripada melakukan perbuatan maksiat.

Dengan sentiasa menyebut basmallah, akan timbul perasaan yang semakin sayang kepada Allah ‎ﷻ kerana kita sedar bahawa hanya dengan pertolongan Allah ‎ﷻ lah segala usaha kita akan membuahkan hasil.

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Tafsir Surah Fatihah Ayat 5 [Bahagian 1] Salah faham bab perantaraan

 

Tafsir Surah Fatihah Ayat 5 [Bahagian 1] Salah faham bab perantaraan

Fatihah Ayat 5: Ayat ini adalah intisari Surah Al-Fatihah. Kita telah sebutkan sebelum ini yang pembahagian tiga ayat sebelum ini adalah untuk Allah ﷻ. Ayat 5 ini pula Allah ﷻ kata Dia kongsi dengan kita.

إِيّاكَ نَعبُدُ وَإِيّاكَ نَستَعينُ

(SAHIH INTERNATIONAL)
Thee do we worship, and Thine aid we seek. (5) Show us the straight way.

(MALAY)
Hanya kepada Engkau Kami menghambakan diri dan Hanya kepada Engkau kami berdoa

إِيَّاكَ نَعْبُدُ

Hanya kepada Kamu sahaja yang kami sembah;

Tafsir ayat ini adalah Surah Zumar (surah ke 39). Kepada Allah ﷻlah sahaja tempat kita sembah. Inilah intisari keseluruhan Al-Qur’an. Iaitu ibadat hanya kepada Allah ﷻ dan minta tolong hanya kepada Allah ﷻ.

Dalam Surah Zumar, terdapat maksud surah iaitu pada ayat kedua:

إِنّا أَنزَلنا إِلَيكَ الكِتابَ بِالحَقِّ فَاعبُدِ اللهَ مُخلِصًا لَهُ الدّينَ
Sesungguhnya Kami menurunkan Kitab (Al-Qur’an) kepadamu (Muhammad) dengan (membawa) kebenaran. Maka sembahlah Allah sahaja dengan tulus ikhlas beragama kepada-Nya.

Iaitu pada ayat فَاعْبُدِ اللَّهَ مُخْلِصًا لَهُ الدِّينَ yang bermaksud: Hendaklah kamu sembah Allah sahaja tulus ikhlas kepada-Nya dalam penyembahan;

Mesti kata ‘sahaja’ kerana ada juga benda lain yang kita sembah, seperti sultan contohnya. Maknanya, kalau sembah sultan, itu adalah syirik. Kena faham apakah yang dimaksudkan dengan مُخْلِصًا (tulus ikhlas) dalam ayat ini. Ia bermakna ‘ikhlas’.

Contohnya, kita ambil ibadat sembahyang. Tiada siapa yang suruh kita sembahyang, maka itu adalah satu peringkat ikhlas. Akan tetapi penganut Hindu pergi beribadat ke kuil pun adalah ikhlas juga. Sebab tidak ada orang yang suruh dia pergi. Dia juga berdoa kepada berhala dia sampai menitik air mata. Maka, adakah sama ikhlas kita dan dia? Ikhlas yang mana yang Allah ﷻ terima?

Maksud ‘ikhlas’ adalah tulen asli tidak bercampur dengan benda lain. Ikhlas boleh berada di dalam hati dan boleh juga dizahirkan dari segi perbuatan. Ikhlas dalam hati bermaksud tidak bercampur untuk Allah ﷻ dan untuk selain-Nya. Manakala perbuatan ikhlas dapat dilihat dari luaran. Contohnya dalam setiap pergerakan dalam solat kita. Perbuatan yang ikhlas dalam ibadah adalah benar-benar tulen mengikut cara solat Nabi ﷺ tanpa dicampur aduk sedikitpun dengan ajaran tok guru kita. Contohnya dalam salam selepas solat. Kebanyakan kita ada diajar untuk dibaca doa tertentu setiap kali selepas salam dan untuk beralih daripada salam kanan ke kiri pula mesti dianggukkan sedikit kepala.

Perbuatan salam seperti ini tidak pernah diajar oleh Nabi ﷺ. Maka solat kita akan dianggap sebagai tidak ikhlas dan tidak sempurna di sisi Allah ﷻ. Disebabkan itulah kita amat digalakkan untuk melakukan solat-solat sunat rawatib selepas dan sebelum solat yang dapat menampung mana-mana yang kekurangan dan tidak sempurna.

Selain itu, jangan kita sangka bahawa cukup dengan ikhlas sahaja Allah ﷻ akan terima. Belum lagi sebenarnya. Kalau setakat sama dengan apa yang tok guru kita ajar, belum tentu diterima. Yang sebenarnya amalan ibadat kita kena sama dengan amalan Nabi ﷺ dan para sahabat. Kalau tok guru ajar sesuatu ibadat, dia mesti bawakan dalil perbuatan itu ada dilakukan oleh Nabi ﷺ dan sahabat.

Namun malangnya banyak amalan ibadat masyarakat kita yang ditambah-tambah. Sebagai contoh: Yang banyak dibuat oleh orang kita tanpa dalil adalah menyapu muka selepas solat. Itu tidak ada dalam mana-mana hadith kecuali ada hadith Nabi ﷺ sapu dahi baginda selepas solat sebab baginda solat atas pasir dan pasir itu melekat pada wajahnya. Maknanya, baginda sapu/raup mukanya dengan bersebab.

Akan tetapi kebanyakan orang kita raup muka itu tanpa bersebab (melainkan hanya ikut sahaja apa yang orang lain buat). Pada mereka kalau tidak buat, bagaikan tidak selesai lagi solatnya. Padahal itu bukanlah perbuatan rukun solat ataupun syarat solat. Tidak ada dalil mengatakan ia adalah perbuatan sunat. Lebih buruk lagi, ada yang tambah dengan reka bacaan-bacaan tertentu semasa meraup muka itu. Ini adalah perbuatan yang amat teruk sekali kerana memandai-mandai menambah amalan dalam amal ibadat. Maka berhentilah kita daripada menyapu muka selepas solat.

Ingatlah bahawa segala perbuatan dalam ibadat kita kena ada dalil. Janganlah pula kita memegang hadith yang dhaif atau palsu dalam perkara ibadah. Kena pastikan dari mana hadith itu datang dan kena pastikan sama ada ia adalah sahih ataupun tidak. Malangnya yang jahil dalam agama akan bertanya kita semula kalau kita tegur mereka: “Ada tak Nabi larang?”. Memanglah tidak ada, sebab ia tidak pernah dibuat pada zaman Nabi….ia hanya rekaan zaman sekarang sahaja.

Mohonlah keampunan daripada Allah ﷻ atas semua sekali kesalahan-kesalahan yang kita telah buat atas kejahilan kita. Janganlah hendak melawan dan beri hujah lemah untuk menegakkan benang yang basah. Kalau sudah salah, terima sahajalah dan bertaubatlah. Mungkin kita telah terikut-ikut dengan perbuatan orang lain sebab kita jahil, tidak tahu.

Maka hendaklah kita minta ampun kepada Allah ﷻ atas kesalahan kita selepas kita sudah belajar ini. Jangan kita berputus asa dalam berdoa, jangan kita sangka Allah ﷻ tidak mahu mengampunkan kesalahan kita itu. Allah ﷻ mampu mengampunkan semua sekali dosa yang kita telah lakukan. Ini adalah kerana Dia mempunyai sifat Maha Pengampun dan Belas Kasihan kepada manusia.

Ingatlah, apabila kita bertemu Allah ﷻ nanti, yang kita risaukan adalah dosa-dosa kita selama kita di dunia. Oleh itu, janganlah kita lupa untuk sentiasa memohon ampun kepada Allah ﷻ setiap hari. Kerana kalau semua dosa kita Allah ﷻ ampunkan, kita akan terus masuk syurga. Sebagaimana Ahli Sihir yang beriman dengan Nabi Musa عليه السلام, mereka telah beriman, tanpa mereka sempat membuat apa-apa amal ibadat pun kerana mereka telah dibunuh selepas mereka menyatakan keimanan mereka.

Akan tetapi, ada syaratnya. Syaratnya adalah kita tidak melakukan syirik kepada Allah ﷻ. Kerana Allah ﷻ telah berfirman dalam Al-Qur’an bahawa Dia tidak akan mengampunkan dosa syirik yang dilakukan manusia.

Oleh sebab itu, maksud ‘ikhlas’ itu bukannya hanya dalam hati sahaja, tetapi kena ‘ikhlas’ dalam amalan juga. Jangan amalkan amalan yang tidak ada diajar oleh Rasulullah ﷺ dan para sahabat. Dalam ayat seterusnya dalam Zumar: 3, Allah ﷻ berfirman:

أَلَا ِلِلهِ الدِّينُ الْخَالِصُ
Ketahuilah, milik Allah lah agama yang tulus ikhlas.

Jelas lah di sini bahawa amalan agama hendaklah yang ikhlas sepertimana yang Nabi ﷺ ajar. Agama yang lurus. Yang tulen. Kalau agama yang direka atau ditambah, itu bukanlah daripada Allah ﷻ.

Daripada penggunaan bahasa, penggunaan kata إِيَّاكَ sebelum نَعْبُدُ menunjukkan bahawa *hanya* kepada Allah ﷻ sahaja kita sembah. Dalam bahasa Arab, boleh juga diletakkan perkataan إِيَّاكَ selepas نَعْبُدُ tetapi itu tidak membawa maksud eksklusif. Maknanya, kalau ayat seperti itu, boleh lagi dikatakan menyembah entiti yang lain. Akan tetapi makna ayat dalam Surah Al-Fatihah ini, cara susunannya, menunjukkan kita tidak akan sembah entiti lain. Tidak ada tuhan selain Allah ﷻ.

Oleh itu, rumusannya, ibadat mesti ikhlas. Dan ikhlas itu mestilah dengan cara yang Allah ﷻ dan Nabi-Nya telah ajar.

Dalam ayat ini, terjadi perubahan bentuk daripada gha’ib (orang ketiga) kepada mukhathab (orang kedua, lawan bicara). Ini seperti kita sedang bercakap dengan orang di hadapan kita. Ini adalah kerana ketika seorang hamba memuji kepada Allah ﷻ, maka seolah-olah dia merasa dekat dan hadir di hadapan-Nya.

Kalimah إِيَّاكَ نَعۡبُدُ didahulukan daripada إِيَّاكَ نَسۡتَعِينُ kerana ibadah kepada-Nya merupakan tujuan yang paling penting, sedangkan permohonan pertolongan merupakan saranan untuk beribadah. Maka yang lebih penting didahulukan daripada yang kurang penting. Allah ﷻ sebut yang lebih utama dahulu.

Kenapakah ayat ini menggunakan perkataan ‘kami’, sedangkan yang mengucapkannya adalah seorang sahaja? Ini adalah kerana kita semua adalah hamba-Nya dan kita adalah salah seorang daripad mereka yang sedang melakukan solat kepada-Nya. Tambahan pula jikalau kita melakukannya secara berjemaah.

Terdapat dua makna perkataan ‘na’budu’ itu:

    1. pengabdian
    2. penyembahan

Ada orang yang memang menyembah Allah ﷻ, namun mereka tidak bertindak sebagai ‘hamba’ kepada Allah ﷻ. Sedangkan seorang hamba mestilah menerima kata-kata tuannya. Malang sekali kerana kadang-kadang ada umat Islam buat tidak kisah kepada ajaran yang Allah ﷻ sampaikan dalam Al-Qur’an. Kita tidak terima bulat-bulat apa yang disampaikan dalam wahyu.

Sedangkan sepatutnya sebagai hamba, kita kena fahamkan dan kena terima. Maka, ayat ini adalah sebagai satu penyaksian daripada kita bahawa kita ini adalah ‘hamba’ kepada Allahﷻ. Barulah kita boleh melepaskan diri daripada segala macam pengabdian kepada yang lain: seperti budaya, kawan-kawan yang kita ikut sahaja, fesyen dan sebagainya.

Sekian bahagian pertama ayat 5. Sekarang kita masuk ke bahagian kedua ayat ini:

وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ

Hanya kepada Engkaulah sahaja kami minta pertolongan;

Tafsir ayat ini dalam surah-surah Ha Mim tujuh, iaitu dalam Surah Ghafir, Fussilat, Syura, Zukhruf, Dukhan dan Jaasiah.

Surah Hamim 7 tauhid dalam berdoa
Tujuh surah ini menafikan syirik dalam berdoa. Berdoa hendaklah terus kepada Allah ﷻ tanpa perantara atau menyeru roh nabi dan wali-wali.

Sebelum kita pergi lebih lanjut, kita kena faham yang permohonan pertolongan itu adalah kerana salah satu daripada dua perkara:

    1. Ada terlalu banyak perkara yang kita hendak seperti harta, isteri, kesihatan, dan banyak lagi . Tidak terkira banyaknya perkara yang kita inginkan. Maka kita akan minta kepada Allah ﷻ.
    2. Ada sesetengah perkara yang kita memang perlukan bantuan daripada Allah ﷻ untuk selesaikan. Sebagai contohnya tentang masalah yang kita hadapi, kesakitan, kehilangan punca pendapatan dan sebagainya. Kita sebagai manusia biasa yang lemah sentiasa menghadapi masalah sebegini setiap hari. Hanya Allah ﷻ yang dapat membantu kita menyelesaikan masalah tersebut. Maka, bermohonlah dan berharaplah hanya kepada-Nya.

Tafsir kalimat إِيَّاكَ نَسۡتَعِينُ ini terdapat dalam Surah Ha Mim Ghafir (dinamakan juga Ha Mim Mukmin) – surah ke 40. Maksud bagi surah itu adalah dalam ayat ke 14:

فَادعُوا اللهَ مُخلِصينَ لَهُ الدّينَ وَلَو كَرِهَ الكافِرونَ
Oleh itu maka sembahlah (dalam bentuk doa) kamu akan Allah dengan mengikhlaskan ibadat (doa) kepada-Nya (dan menjauhi bawaan syirik), sekalipun orang-orang kafir tidak menyukai (amalan kamu yang demikian).

Apabila Allah ﷻ berfirman: وَلَوْ كَرِهَ الْكَافِرُونَ (walaupun orang kafir tidak suka), ini bermakna doa kita ini kebanyakannya seperti orang doa orang kafir. Doa yang tidak sama dengan cara mereka, mereka tidak suka. Apakah cara doa mereka? Mereka menggunakan perantaraan dalam doa mereka, iaitu tidak terus doa kepada Allah ﷻ.

Seperti orang Kristian, mereka minta melalui Nabi Isa/Jesus. Mereka berharap supaya Nabi Isa عليه السلام memohon kepada Tuhan Bapa bagi pihak mereka. Itu pun melalui paderi mereka.

Hindu pula berjumpa Sami mereka, kemudian Sami pula mengangkat doa kepada Dewa agar Dewa mohonkan kepada tuhan. Orang Buddha pula berjumpa kepada Tok Cha, supaya Tok Cha beritahu kepada Buddha supaya Buddha meminta tolong kepada tuhan.

Mereka yang meminta tolong kepada paderi, Sami dan Tok Cha itu selalunya ada bersama-bersama dalam majlis itu. Kemudian setelah paderi, sami dan tok cha itu mengangkat doa bagi pihak mereka yang meminta, mereka akan beri wang kepada mereka sebagai imbuhan.

Agama Cina pula meminta pertolongan kepada tok nenek mereka yang telah meninggal dunia kerana mereka sangka dalam ramai-ramai tok nenek mereka, tentulah ada yang baik dan dapat tinggal dalam syurga dalam istana tuhan. Mereka mengibaratkan kerajaan akhirat sama seperti kerajaan dunia. Mereka mengajukan doa kepada tok nenek mereka dengan harapan tok nenek itu akan menyampaikan permintaan mereka kepada tuhan.

Begitulah pemahaman mereka dalam berdoa. Pada mereka, doa itu mesti ada wasilah, perantaraan, broker, penyampai doa itu. Kalau kita menganggap itu adalah cara doa yang benar, maka kita sudah syirik kepada Allah ﷻ. Ingatlah bahawa Allah ﷻ tidak memerlukan perantaraan dalam doa. Perbuatan menggunakan perantaraan ini dinamakan tawassul.

Jesus, Dewa dan Buddha bukanlah tuhan yang sebenarnya. Para penganut agama kafir itu pun tahu bahawa entiti-entiti itu bukanlah tuhan yang sebenarnya. Kalau ditanya kepada mereka, siapakah tuhan yang sebenarnya, mereka akan jawab bahawa Tuhan adalah ‘tuhan yang satu’ yang menjadikan alam ini. Cuma mereka sudah tidak tahu nama tuhan itu.

Masyarakat Muslim kita pula bagaimana? Katakanlah kita ada hajat yang besar, kita beritahu kepada ustaz kita. Ustaz itu yang mengangkat doa untuk pihak kita malah ada juga mengadakan majlis doa selamat dan sebagainya bagi meraikan acara meminta pertolongan kepada Allah ﷻ. Di akhir majlis selepas dihidangkan makanan kita selalunya akan beri wang kepada ustaz itu sebagai imbuhan dan penghargaan. Itu juga dinamakan perantaraan. Lebih malang lagi kadang-kadang ustaz yang berdoa itu pula menggunakan perantaraan, seperti Nabi Muhammad ﷺ contohnya.

Mereka pun tidak terus berdoa kepada Allah ﷻ. Maka sama sahaja perbuatan doa kita dengan orang kafir sebenarnya, tanpa kita sedari. Hanya ajaran agama Islam yang lurus sahaja (yang berasaskan kepada wahyu Al-Qur’an dan hadit yang sahih) yang minta terus kepada Allah ﷻ tanpa perantaraan.

Agama lain dalam dunia ini semuanya menggunakan perantaraan dalam berdoa. Kebanyakan kekafiran yang berlaku itu adalah dalam kesalahan berdoa menggunakan perantaraan. Itulah punca kesesatan kepada agama lain dan punca kesesatan kepada orang kita yang mengaku Islam.

Kenapakah ramai yang tidak mahu berdoa terus kepada Allah ﷻ sahaja? Kalau ditanya kepada orang kafir soalan yang sama, mereka akan jawab: kerana mereka adalah orang yang tidak baik, banyak buat dosa. Mereka sangka bahawa tuhan hanya mendengar doa orang-orang yang baik sahaja, seperti paderi, sami dan tok cha.

Kebanyakan dalam kalangan masyarakat Muslim kita pun mempunyai pandangan yang sama. Mereka tahu mereka banyak dosa, jahil agama, maka mereka rasa Tuhan tidak mendengar doa mereka, tetapi hanya akan mendengar doa orang-orang yang baik tidak banyak dosa seperti ustaz-ustaz sahaja. Maknanya fahaman mereka tentang Tuhan sama sahaja dengan fahaman orang kafir tentang tuhan mereka.

Perbuatan sebegini dinamakan ‘buruk sangka’ dengan Allah ﷻ. Iaitu sangkaan yang Allah ﷻ tidak mahu dengar doa kita. Padahal Allah ﷻ telah berfirman dalam Al-Qur’an dalam Ghafir: 60

وَقالَ رَبُّكُمُ ادعوني أَستَجِب لَكُم ۚ إِنَّ الَّذينَ يَستَكبِرونَ عَن عِبادَتي سَيَدخُلونَ جَهَنَّمَ داخِرينَ
Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepada-Ku, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.

Mereka ‘yang sombong’ itu adalah mereka yang buat juga ibadat berdoa, tetapi menggunakan perantaraan/tawasul dalam berdoa itu. Allah ﷻ sudah ajar supaya doa sendiri secara terus, tetapi umat kita masih mahu menggunakan perantaraan juga. Untuk lebih memahami perkara ini lagi, bayangkan kalau seorang lelaki yang kaya telah berkata kepada masyarakat setempatnya: sesiapa yang datang ke rumahnya, dia akan beri sedekah wang.

Maka orang ramai datang sendiri-sendiri untuk mengambil sedekah itu. Tetapi ada seorang yang segan untuk pergi sendiri. Dia minta orang lain wakil mintakan untuk dirinya. Orang kaya itu akan kata: “Sombongnya dia, nak datang ambil sendiri pun tak mahu”.

Beginilah yang dibuat oleh masyarakat kita. Selalunya akan meminta orang lain doakan, mereka tidak doa sendiri. Ini termasuklah mereka yang selalu buat solat hajat. Dipanggil imam tertentu untuk mendoakan di majlis Solat Hajat itu kerana pada mereka, doa lebih makbul kalau dibuat begitu. Itu pun dikira menggunakan perantaraan. Kerana mereka rasa kalau solat sendiri, berdoa sendiri, Allah ﷻ tidak terima, tetapi kalau doa beramai-ramai, ada pula ustaz yang terkenal, barulah Allah ﷻ terima.

Sedikit saya hendak sentuh tentang Solat Hajat berjemaah. Zaman sekarang, banyak sekali amalan orang kita buat Solat Hajat. Boleh dikatakan dalam setiap hajat besar akan diadakan Majlis Solat Hajat. Sikit-sikit mereka akan buat Solat Hajat. Contohnya hendak buat umrah, haji, anak bakal menduduki peperiksaan besar dan sebagainya. Lebih gah lagi ia diadakan secara besar-besaran sehinga dinamakan Majlis Solat Hajat Perdana. Ia diadakan di segenap peringkat dari peringkat sekolah sehingga lah ke peringkat kebangsaan. Adakah amalan ini sunnah dan pernah diamalkan oleh Nabi ﷺ dan para sahabat?

Jika dilihat sirah Nabi ﷺ, semasa hendak pergi umrah, iaitu ketika hendak masuk ke tempat bangsa yang hendak membunuh mereka, tidak pula Nabi ﷺ buat Solat Hajat berjemaah dahulu untuk minta Allah ﷻ beri keselamatan mereka. Ketika Nabi ﷺ hendak mengerjakan Haji Wada’ pun tidak ada dibuat Solat Hajat berjemaah. Semasa tinggal di Mekah, iaitu ketika seksa semua penganut Islam diseksa, tidak juga Nabi ﷺ buat solat Hajat berjemaahuntuk melembutkan hati puak Quraish.

Ketika hendak keluar Hijrah pun Nabi ﷺ tidak buat Solat Hajat berjemaah. Apabila Nabi ﷺ tiba di Quba’ dan bina masjid di situ, tiada juga baginda dan para sahabat mula solat di situ dengan Solat Hajat. Sebelum dan selepas membina Masjid Nabawi pun tidak ada. Dan bayangkan, sebelum Perang Badr melawan orang kafir, tidak juga dilakukan oleh baginda dan para sahabat. Perang Uhud, tidak juga. Padahal itu semua perkara besar yang melibatkan kematian nyawa. Bukan itu sahaja peperangan yang ada, ada lagi seperti Perang Khandak, perang itu dan ini, tidak pernah kita dengar Nabi ﷺ buat Solat Hajat berjemaah. Maka amalan ini datang dari mana? Yang rajin sangat buat Solat Hajat berjemaah ini ikut ajaran siapa?

Para sahabat yang meneruskan perjuangan Nabi ﷺ juga tidak pernah kedengaran kepada kita bahawa mereka ada buat Solat Hajat berjemaah ramai-ramai. Mereka lebih banyak berperang dan meluaskan dakwah Islam. Itu semua benda-benda penting yang mereka lakukan, tetapi tidak pernah ada dalil menunjukkan mereka mengadakan Solat Hajat berjemaah.

Namun bagaimana dengan kita pula? Hendak bina rumah, anak bakal menduduki peperiksaan, hendak bertanding pilihanraya dan sebagainya, semua orang kita akan mengadakan majlis Solat Hajat berjemaah. Ini semua adalah kerana sangka buruk kepada Allah ﷻ. Mereka rasa kalau mereka doa sendiri, Allah ﷻ tidak terima, tetapi kalau doa beramai-ramai, baru Tuhan akan terima. Itu adalah cara yang diajar oleh syaitan-syaitan.

Kepada mereka yang buat begitu, menggunakan perantaraan dalam doa, Allah ﷻ akan memasukkan mereka ke dalam neraka dan mereka kekal di dalamnya. Sekiranya kita sudah buat salah, maka kembalilah ke jalan Allah ﷻ. Kalau hendak kembali, cara untuk kembali ada diceritakan dalam Ghafir: 13

هُوَ الَّذي يُريكُم آياتِهِ وَيُنَزِّلُ لَكُم مِنَ السَّماءِ رِزقًا ۚ وَما يَتَذَكَّرُ إِلّا مَن يُنيبُ
Dialah Tuhan yang memperlihatkan kepada kamu tanda-tanda keesaan-Nya dan kekuasaan-Nya (untuk kehidupan rohani kamu), dan yang menurunkan (untuk jasmani kamu) sebab-sebab rezeki dari langit. Dan tiadalah yang ingat serta mengambil pelajaran (daripada yang demikian) melainkan orang yang hendak kembali (kepada Allah).

Apakah dimaksudkan dengan ‘hendak kembali’? Iaitu orang-orang yang mempunyai inaabah. Maksudnya, mereka yang hendak kembali itu ada terdapat dalam Surah Al-Fatihah yang seterusnya yang akan dibincangkan nanti.

Permintaan pertolongan kepada Allah ﷻ ini bukanlah permintaan pertolongan yang biasa. Dari segi bahasa, ia adalah pertolongan yang kita perlukan di saat kita memerlukannya. Ada masanya, kita boleh buat sesuatu tanpa pertolongan, tetapi kita minta tolong orang juga.

Contohnya, kita boleh ambil barang dari satu tempat, tetapi kita minta tolong orang lain juga untuk membawa barang itu ke tempat lain. Akan tetapi makna ‘نَسۡتَعِينُ‘ adalah pertolongan yang kita tidak mampu buat sendiri. Ia memerlukan pertolongan daripada yang lain. Ia adalah jenis pertolongan yang kita sudah ikhtiar daripada pihak kita, tetapi kita memerlukan Allah ﷻ untuk menyelesaikannya. Bukannya hanya minta pertolongan sahaja, tanpa berbuat apa-apa.

Contohnya, apabila kita memohon supaya Allah ﷻ tambahkan ilmu kita, kita mestilah berusaha dahulu untuk mendapatkan ilmu. Kita kenalah belajar. Seperti juga umat Islam dalam Perang Badr yang pergi berjuang di medan perang, dan dalam masa yang sama meminta pertolongan Allah ﷻ. Maka Allah ﷻ telah bantu mereka dengan diturunkan malaikat. Sebaliknya jika kita meminta pertolongan kepada Allah ﷻ, tetapi tanpa kita berusaha dalam masa yang sama, maka itu adalah permintaan yang tidak betul.

Allahu a’lam. Sambung ke bahagian yang seterusnya.

Kemaskini: 10 Oktober 2019

 

Tuesday, 25 June 2024

YA RABB...SABARKAN AKU NORAINIMU DENGAN SABAR YANG CANTIK,