Selasa, 14 April 2026

TAZKIRAH : Sifat Yang Menjadi Perhiasan Seseorang Manusia - Ustaz Shamsuri Ahmad

 



Nabi suka manusia yang lemah lembut ,bertolak ansur, mudah berkira,..Manusia yang suka bertolerensi, manusia yang jenis macam ini maka  sifat  itu  menjadi perhiasan baginya.  Tidaklah manusia yang Allah cabut sifat itu daripadanya, manusia yang ada sifat rifk,  manusia yang tidak lemah lembut, manusia yang tidak bertolak ansur, tak boleh bertolerensi, manusia yang jenis keras, manusia yg jenis garang(perongoih),  manusia yang macam ni adalah manusia yg Allah cabut sifat  rifk...nabi kata melainkan yang tinggal kat dia adalah buruk, keji, dan yg tidak baik.

Satu hari kata Ibn Umar..Abdullah bin Umar bin al khattab...mereka dalam musafir dgn Umar...dia naik anak unta liar.  dia tak boleh nak kontrok...anak unta ini kontrol aku.  dia potong kumpulan musafir.  dia potong kumpulan termasuk unta Rasullullah. 
Umar bila tengopk macam dia tangkap tali unta kebelakang dan ..
Bila Saidina Umar tarik sentap dan tarik balik ke belakang balik.  
Nabi tak boleh tengok kekalutan (dia rimas). Rupa2nya sifat ini dahulu pon ada...keaadaan itu mengganggu nabi.

 Umar jual pada akulah unta liar ini.  
"   Ambillah ...bagi engkau ya Rasulullah anak unta ini.  Nabi tetap kata jual padaku.  Nabi yg jenis tak ambil kesempatan.  Saidina Umar pon jaul anak unta itu kpd Nabi.  Nabi ambil anak unta itu .  Nabi kata ... kepada Abdullah bin Umar, "Kau ambillah anak unta ini ...naiklah pi mana2 pon"  Nabi tak suka kepada kekalutan.
Nabi suka ketenangan...



13 April 2026 “BAHRUL MADZI”Ustaz Muhammad Abdul Kadir



 

 


Sendiri Lagi

 

Ahad, 20 Oktober 2024

Sendiri Lagi


Kau tetap sahabatku dunia dan akhirat...

SUDIRMAN, HUJAN

 

Tuesday, 19 August 2025

SUDIRMAN, HUJAN

Jumaat, 26 Julai 2024

Tafsir Surah Fatihah Ayat 3 (Sifat Pengasih Allah ﷻ)

 

Tafsir Surah Fatihah Ayat 3 (Sifat Pengasih Allah ﷻ)

Ayat 3: Selepas Allah ﷻ mengatakan bahawa Diri-Nya adalah Tuan, maka sekarang Allah ﷻ menyebutkan dua sifat-Nya.

الرَّحمٰنِ الرَّحيمِ

(SAHIH INTERNATIONAL)
The Entirely Merciful, the Especially Merciful,

(MALAY)
Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

Allah yang suruh kita bacakan ayat ini. Ada perkataan yang tidak dimasukkan, iaitu: “Katakanlah”.

Dalam ayat sebelum ini, kita telah belajar yang Allah ﷻ adalah Tuhan sekalian alam. Allah ﷻ amat berkuasa untuk melakukan segala-galanya. Sekarang, kalau kita lihat keadaan dunia sekarang, apakah sifat mereka yang berkuasa? Mereka ada yang sombong, kejam, ada yang menyalahgunakan kuasa, mereka bersifat keras dan sebagainya.

Dalam ayat ini, Allah ﷻ memberi kelegaan kepada kita. Walaupun Allah ﷻ amat berkuasa, tetapi sifat Allah ﷻ itu adalah Maha Pemurah dan Maha Penyayang. Kekuasaan yang Allah ﷻ tunjukkan adalah kekuasaan yang bersifat rahmah.

Allah ﷻ telah menjadikan alam semesta ini untuk menzahirkan rahmat-Nya. Terlalu banyak rahmah-Nya telah diberikan kepada kita. Tidak terkira banyaknya. Kalau kita hendak cuba kira pun tidak boleh, sebab sangat banyak.

Allah ﷻ mengingatkan perkara ini dalam Surah Al-Fatihah. Lebih banyak maklumat lagi disebut dalam Surah Ar-Rahman.

الرَّحْمَٰنِ

Tuhan yang mempunyai sifat Maha Pemurah;

Allah ﷻ kasih kepada semua makhluk. Termasuk manusia yang Islam ataupun kafir. Tidak kira bangsa apa. Allah ﷻ memberi rezeki kepada semua sekali. Kerana sayangnya Allah ﷻ terhadap makhluk-Nya.

Sifat pemurah ini adalah kepada semua makhluk semasa di dunia.

Seperti yang telah ditafsirkan dalam ayat 1, ia adalah umpama kasih seorang ayah di mana Dia sanggup melihat anaknya menderita asalkan anaknya itu sedar kesalahannya dan menjadi baik. Contohnya, kalau anak itu ada membuat kesalahan sehingga dihukum penjara. Maka dia sanggup membiarkan anaknya itu merengkok dalam penjara untuk tempoh beberapa waktu supaya anaknya itu belajar erti penyesalan dan sedar kesalahannya. Semoga dia akan berubah menjadi baik selepas itu kerana takut dipenjara lagi dan tidak berani lagi untuk mengulang kesalahan yang sama.

Kata dasar Ar-Rahman dan juga Ar-Rahim diambil daripada kata dasar yang sama – rahmah. Maka kenapa dua nama ini diletakkan bersama dalam satu ayat? Kalau ia sama sahaja, maka tidak perlu diletakkan berasingan.

Ini menunjukkan, ada perbezaan antara dua nama itu. Begitulah konsep yang kita kena faham: kalau diletakkan bersebelahan dalam Al-Qur’an, maka tentu ada perbezaan antara keduanya. Dua-dua membawa maksud yang berbeza, walaupun ada persamaan. Kita kena faham makna dua-dua perkataan ini sebaik mungkin supaya kita dapat lebih mengenali Allah ﷻ.

Tentulah kita tidak akan dapat faham sepenuhnya, kerana akal kita terhad. Namun mari kita lihat apakah persamaan dan apakah perbezaan antara dua nama ini. Kerana apabila dua nama itu diletakkan bersebelahan, apa yang kita boleh faham adalah dua nama ini ada perbezaannya.

Makna ar-Rahman ada tiga kualiti:

1. Ia adalah sesuatu yang “extreme” (berlebihan, melampau). Oleh kerana ada pertambahan ‘an’ dihujung nama itu. Ini membawa maksud Allah ﷻ amat-amat pemurah, tidak dapat dibayangkan, tidak dapat dijelaskan lagi.

2. Dari segi nahu yang digunakan, kita dapat tahu bahawa Allah ﷻ sedang melakukan perbuatan ‘pemurah’ sekarang. Apakah maksudnya? Sebagai contoh, kita ada kawan, dia memang seorang pemurah. Namun tidak semestinya dia sedang memberi. Sebagai contoh, kalau dia tidur, dia bukanlah sedang memberi.  Tidaklah dia sentiasa dalam keadaan pemurah tetapi sifat itu memang ada pada dirinya.

Oleh itu, daripada makna ar-Rahman ini sahaja, kita dapat tahu bahawa sifat itu tidak ‘sentiasa’. Kadang-kadang ada, kadang-kadang tidak. Mari kita lihat lagi kriteria yang seterusnya:

3. Dari segi nahu yang digunakan, kita boleh tahu bahawa sifat Rahman Allah ﷻ itu bermasa di mana ia tidak berterusan. Seperti juga perasaan yang kita ada seperti lapar, tidak semestinya kita sentiasa lapar. Apabila kita makan, kita tidak lagi lapar. Atau perasaan marah, tidak semestinya kita sentiasa marah, kalau kita tidur, kita tidak marah. Atau punca kemarahan itu telah hilang, maka kita tidak marah lagi.

Oleh itu, daripada makna ini, kita dapat faham bahawa Allah ﷻ tidak akan sentiasa jadi pemurah. Memang di dunia ini Allah ﷻ bersifat pemurah kepada semua makhluk, tetapi bagaimana di akhirat nanti? Adakah sifat itu berterusan? Mungkin ada sesuatu yang kita lakukan yang boleh menyebabkan Allah ﷻ tidak bersifat Rahmaan dengan kita iaitu apabila kita sengaja melanggar perintah-Nya. Ini adalah sesuatu yang sepatutnya menakutkan kita.

Allah ﷻ memberikan rahmat dan pemberian-Nya kepada orang Muslim dan juga orang kafir. Walaupun orang kafir itu telah menolak Allah ﷻ tetapi Allah ﷻ masih memberi rahmat lagi kepada mereka. Namun lihatlah apa yang mereka balas kepada Allah ﷻ? Mereka tidak terima apa yang Allah ﷻ suruh mereka buat. Mereka puja tuhan sembahan yang lain. Mereka kata macam-macam tentang Allah ﷻ.

Namun Allah ﷻ maha penyabar. Allah ﷻ tidaklah terus membalas perbuatan ingkar mereka semasa di dunia ini. Allah ﷻ biarkan sahaja. Allah ﷻ tetap beri makan, beri minum dan beri keperluan hidup kepada mereka.

Allah ﷻ mempunyai 100 rahmat dan Allah ﷻ hanya memberikan 1 sahaja kepada dunia yang dikongsi oleh semua makhluk. Dengan 1 rahmat itulah seorang ibu sayangkan anaknya, dengan rahmat itu jugalah kita kasihan dan sayang kepada insan dan makhluk yang lain.

Kita telah lihat kriteria yang kita boleh ambil daripada makna ar-Rahmaan sebelum ini. Apakah pula kriteria sifat ar-Rahim pula?

الرَّحِيمِ

Yang Maha Pengasih;

Sayang Allah ﷻ di akhirat nanti hanyalah khas untuk orang mukmin sahaja. Yang tidak beriman, Allah ﷻ akan murka kepada mereka. Allah ﷻ akan memasukkan orang beriman ke dalam syurga dan mereka akan tinggal di situ selama-lamanya. Tidak ada ibadat apa pun lagi yang kena buat. Mereka hanya duduk di dalam syurga untuk menikmati kehidupan sahaja.

Pemurahnya Allah ﷻ, sampaikan ada makhluk yang masuk dalam syurga tanpa buat apa-apa ibadat pun. Seperti ahli-ahli sihir yang berlawan dengan Nabi Musa عليه السلام ketika zaman Firaun. Apabila mereka akhirnya kalah dengan Nabi Musa عليه السلام dan beriman dengannya, mereka terus dibunuh oleh Firaun. Allah ﷻ terus memasukkan mereka ke dalam syurga. Tidak sempat pun mereka buat apa-apa ibadat. Ada juga sahabat yang telah mengucap dua kalimah syahadah, terus pergi berperang dan mati syahid, tanpa sempat solat walau satu waktu pun.

Seperti yang telah ditafsirkan dalam ayat 1, sifat ar-Rahim ini boleh diumpamakan seumpama kasih seorang ibu. Dia tidak sanggup melihat anaknya menderita. Walaupun dia tahu anaknya jahat, sampai ditangkap polis dan dimasukkan penjara, tetapi dia akan merayu-rayu supaya anaknya dilepaskan. Ini berbeza dengan sifat Rahmaan yang sanggup melihat anaknya menderita supaya anaknya itu dapat belajar erti kesilapan.

Kita telah tahu kriteria sifat ar-Rahmaan dari segi bahasa. Bagaimana pula dengan ar-Rahim?

    1. Makna rahim membawa maksud ‘sentiasa’. Allah ﷻ sentiasa pemurah. Sifat itu berterusan. Ia tidak akan berhenti. Ia sentiasa ada.
    2. Sifat pemurah itu tidak semestinya terjadi sekarang. Sifat itu tetap ada, tetapi ia tidaklah berlaku sekarang. Sebagai contoh, seorang itu bersifat pemarah, tetapi tidaklah dia marah sekarang dalam keadaan biasa. Cuma sifat itu ada dalam dirinya.

Oleh itu, apabila dua-dua sifat Rahmaan dan Rahim ini digabungkan dalam satu ayat, Allah ﷻ hendak memberitahu sifat penyayang-Nya yang lengkap. Iaitu sifat sayang Allah ﷻ itu adalah teramat sangat (maksud sifat Rahmaan), dan sifat itu berterusan (maksud sifat Rahim), tetapi walaupun sifat itu akan sentiasa ada, ia tidak semestinya diberikan kepada kita sekarang (maksud sifat Rahim) dan mungkin akan ditarik balik mengikut kehendak-Nya (maksud sifat Rahim).

Ulama’ tafsir membincangkan apakah gabungan maksud sifat ar-Rahman dan ar-Rahim ini. Mereka mengatakan bahawa ayat ini hendak menceritakan tentang hubungan Allah ﷻ dan makhluk-Nya. Bayangkan betapa sayangnya Allah ﷻ kepada kita. Allah ﷻ tahu segala-galanya tentang kita, tetapi Allah ﷻ masih beri rahmat kepada kita.

Perkara yang Allah ﷻ tahu tentang kita itu, kalaulah emak ayah kita tahu, mereka tentu tidak mengaku kita anak mereka. Kalau suami atau isteri kita tahu, mereka akan ceraikan kita. Kalau kawan kita tahu semuanya tentang kita, mereka pun tidak mahu berkawan dengan kita lagi. Tetapi lihat, walaupun Allah ﷻ tahu segala-galanya tentang kita, namun Allah ﷻ masih lagi memberikan rahmat-Nya kepada kita.

Apabila dikatakan Allah ﷻ bersifat penuh rahmah, ada pula yang berkata: “Kalau begitu sifat rahmat Allah, kenapa ada “suffering” (kesengsaraan) dalam dunia?” Kita selalu dengar hujah yang macam ini, tetapi kita tidak tahu menjawabnya, bukan? Hujah sebegini sering disebut oleh orang kafir, tetapi malangnya orang Islam pun ada sebut juga. Apabila mereka ditimpa kemalangan dan musibah, mereka ada yang berkata: “Kenapa Allah turunkan bala ini kepada aku, adakah Allah tidak sayang kepada aku?” Maka mari kita cuba jelaskan.

Pertama, hujah-hujah yang mereka katakan itu hanya tentang dunia sahaja. Hendaklah kita yakin bahawa Allah ﷻ tidak zalim kepada makhluk-Nya. Dan kita kena terima yang kehidupan ini bukan hanya di dunia sahaja, mahu tidak mahu, kita semua akan menuju kepada kehidupan akhirat. Mungkin Allah ﷻ beri kesusahan kepada seseorang semasa dia di dunia, tetapi Allah ﷻ akan membalas dengan kebaikan apabila dia mati kelak.

Bagi seorang yang paling celaka, bernasib paling malang dalam dunia, dan ketika dia diberikan rahmat di akhirat kelak, dia menjadi tidak ingat langsung segala kesusahan, kecelakaan yang telah dialaminya semasa di dunia dulu. Semuanya hilang daripad ingatannya. Seolah-olah tidak ada langsung kesusahan dulu yang dialaminya. Maknanya, kesusahan di dunia ini tidak kekal. Tidak ada makna kesusahan di dunia itu apabila kita akhirnya dimasukkan ke dalam syurga. Yang kekal adalah kehidupan di akhirat. Kenikmatan di akhirat yang kita lebih perlukan.

Kita juga jangan melihat dunia dengan mata kasar sahaja. Apa yang kita rasakan sebagai musibah mungkin ada kebaikannya. Kita sahaja yang tidak tahu dan tidak nampak dengan akal kita yang cetek. Tidaklah sentiasa Allah ﷻ berikan nikmat sahaja tanpa sekali-sekala diberikan musibah kepada makhluk. Sekiranya seorang manusia hanya menerima nikmat sahaja, ia sebenarnya adalah tidak baik untuk dirinya.

Sebagai contoh, kalau ibubapa berikan segala ikut kehendak anaknya, itu pun tidak baik. Akhirnya dia tidak akan kenal erti kesusahan. Dia akan menjadi manusia yang tiada empati dan simpati kerana tidak dapat merasai kesusahan orang lain. Atau dia akan menjadi sombong, riak, tidak bersyukur dan sebagainya. Dia juga akan lupa bahawa apa yang dia sedang terima itu adalah nikmat.

Dia tidak perasan bahawa Allah ﷻ telah memberinya dengan kebaikan yang banyak. Kerana dia asyik dapat yang baik-baik sahaja. Kalau seorang anak itu hanya makan makanan yang sedap-sedap sahaja, apabila dia diberi makanan yang kurang sedap, mungkin dia marah dan tidak berpuas hati sambil mempersoalkan kenapa dia dapat makanan tidak sedap pula kerana dia sangka dia hanya layak mendapat makanan yang sedap sahaja.

Ini juga sebagaimana seperti orang sakit yang hanya dapat mengenali dan menghargai nikmat kesihatan. Ramai tidak sedar bahawa kesakitan pun rahmah daripada Allah ﷻ juga sebenarnya. Kerana kalau kita tidak merasa sakit, ia akan memudaratkan kita juga. Sebagai contoh ada sejenis kondisi dikenali sebagai CIPA – di mana seseorang itu mempunyai deria rasa yang tidak bertindak balas (kesakitan atau suhu). Dia tidak akan berasa sakit langsung. Kalau luka pun, dia tidak dapat rasa. Maka, dia tidak tahu pun tentang kesan benda-benda bahaya dan dapat memudaratkan dirinya. Disebabkan dia tidak rasa panas, dia mungkin meletakkan tangan dia pada api sampai terbakar rosak tangan dia. Atau, dia terpotong terus tangan dia kerana dia tidak rasa sakit apabila ia mula terhiris. Oleh itu, kita kena ingat, kesakitan itu menolong kita dalam kehidupan sebenarnya.

Kesusahan juga dapat mengingatkan kita untuk memperbetulkan perbuatan kita yang salah dan silap semasa di dunia. Ia akan mengingatkan kita kepada neraka yang lebih teruk. Kerana kesusahan dunia ini akan mengingatkan kita tentang kesusahan yang kekal abadi di akhirat kelak kalau kita tidak mengikut arahan Allah ﷻ. Kalau susah yang sedikit di dunia pun kita sudah tidak tahan, apatah lagi kalau di akhirat kelak?

Kalau kita sudah rasa susah sikit sahaja di dunia, maka kita kena betulkan apa-apa yang kita sedang buat supaya kita tidak susah di akhirat kelak. Kalau kita berpanas sekejap sahaja di tengahari sudah rimas, bagaimana pula kalau kita dimasukkan ke dalam neraka yang kepanasannya berjuta-juta darjah?

Untuk tahu itu, kenalah belajar tentang akhirat. Tentang Mahsyar, tentang syurga dan neraka. Kena tahu bagaimana kehidupan neraka itu adalah satu kehidupan yang amat amat seksa.

Musibah yang Allah ﷻ berikan kepada kita juga dapat menghapuskan dosa kita yang banyak. Entah berapa banyak dosa yang kita lakukan sepanjang kita hidup ini. Sama ada kita sedar atau tidak, memang ada banyak dosa kita. Dengan musibah, Allah ﷻ akan hilangkan dosa itu daripada kita (asalkan kita redha). Oleh itu, jangan gelisah sangat kalau kita sakit. Kesakitan itu dapat menghapuskan dosa kita.

Tiada apa pun yang sia-sia dilakukan oleh Allah ﷻ. Semuanya mempunyai tujuan dan fungsinya walaupun dengan penciptaan syaitan. Ada gunanya juga syaitan ini. Kita beribadat kerana hendak melindungi diri kita daripada syaitan dengan itu kita dapat mendekatkan diri dengan Allah ﷻ. Iblis juga boleh dijadikan contoh sempadan yang tidak boleh diikuti. Jangan kita mencontohi segala kesalahan yang telah dia lakukan. Janganlah kita mengikuti segala sifat tercelanya seperti sombong, takkabur, suka memungkiri janji, penuh tipu daya serta suka menghasut.

Kalau tidak ada keburukan, kita tidak nampak keindahan. Kalau tidak ada gelap, kita tidak tahu tentang bezanya dengan cahaya. Kalau tidak ada malam, kita tidak tahu adanya siang.

Sifat rahman dan rahim ini juga mengajar kita supaya jangan kita putus harap dengan rahmat Allah ﷻ. Putus harap dengan Allah ﷻ adalah kufur. Allah ﷻ telah sebut perkara ini dalam Az-Zumar: 53. Tidak ada yang putus harap dengan rahmat Allah ﷻ melainkan orang kafir sahaja.

قُلْ يَا عِبَادِيَ الَّذِينَ أَسْرَفُوا عَلَىٰ أَنْفُسِهِمْ لَا تَقْنَطُوا مِنْ رَحْمَةِ اللهِ ۚ إِنَّ اللهَ يَغْفِرُ الذُّنُوبَ جَمِيعًا ۚ إِنَّهُ هُوَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ
Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Sifat rahmah Allah ﷻ ini juga mengajar kita bahawa kita pun kena bersifat rahmah dengan makhluk. Nabi ﷺ pernah bersabda: من لا يرحم لا يرحم (sesiapa yang tidak bersifat rahmah, tidak akan dirahmati). Maka, hendaklah kita bersifat baik dengan orang lain. Layan mereka dengan baik. Tegur mereka dengan baik. Jangan sombong dengan mereka. Jangan meninggi diri dengan mereka. Jangan marah tidak tentu pasal dan sebagainya.

852928508_943511660490793.jpg

Bagaimana pula dengan orang-orang yang bukan Islam? Adakah kita perlu bersifat rahmah juga kepada mereka? Perbincangan ulama’ panjang lebar dalam hal ini. Secara dasarnya, ada perbezaan antara layanan kita kepada orang Islam dan kepada orang bukan Islam.

Tentunya ada perbezaan kerana kita dan Muslim yang lain adalah bersaudara. Namun tidaklah ini sampai mengatakan kita boleh bertindak tidak baik dengan orang bukan Islam. Sepertimana juga Nabi Muhammad ﷺ itu adalah sebagai rahmat kepada ‘sekalian alam’, kita juga perlu bersifat demikian.

Yang paling penting adalah, kita mahukan mereka juga menerima Islam kerana Islam adalah rahmat yang paling besar. Kita hendaklah menyampaikan dakwah kepada mereka supaya mereka juga mendapat rahmat Islam seperti yang kita dapat. Bukankah kalau kita mendapat sesuatu kebaikan, kita juga mahu orang lain pun mendapat kebaikan yang sama juga?

Sebagai contoh, kita menemui sebuah restoran yang menghidangkan makanan yang sedap, bukankah kita juga mahu berkongsi restoran itu dengan orang lain? Kita beritahu mereka, kita ajak mereka makan sekali dan sebagainya, kerana kita suka sangat dengan makanan dan servis restoran itu. Rasa seakan mahu berkongsi satu dunia. Dengan sesiapa sahaja, tidak kira lah orang itu berlainan bangsa ataupun agama. Mahu orang lain mendapat nikmat dan keseronokan yang sama. Disebabkan itulah wujudnya pelbagai perkongsian reviu berleluasa di media sosial sekarang ini. Ini baru nikmat makanan. Apakah yang lebih baik lagi daripada nikmat iman dan Islam? Maka kenalah kita berbuat baik dengan mereka yang belum Islam ini, kerana kita hendak berdakwah kepada mereka.

Kunci untuk mendapat rahmah yang diberikan khas kepada mukmin adalah dengan mengikut arahan-Nya. Oleh itu, ayat 3 ini juga adalah dalil yang Allah ﷻ menurunkan syariat kepada kita. Jika Allah ﷻ berikan segalanya kepada kita, mana mungkin Allah ﷻ tidak berikan syariat untuk kita gunakan sebagai panduan hidup? Takkan apabila Allah ﷻ sudah jadikan kita, Dia biarkan kita begitu sahaja?

Maka hukum hakam yang Allah ﷻ berikan kepada kita juga adalah rahmat sebenarnya. Dengannya, kita dapat menjalani kehidupan kita dengan baik dan aman sentosa. Kalau Allah ﷻ tidak beri hukum itu, kita akan hidup seperti binatang sahaja, buat apa yang kita mahu sahaja.

Kita sepatutnya bersyukur kerana kita mungkin sudah dapat menghargai sifat Allah ﷻ yang maha pengasih ini kerana kita telah dilahirkan sebagai Muslim dan kita telah diajar bahawa Allah ﷻ bersifat begitu. Kita juga hanya kenal satu Tuhan sahaja, iaitu Allah ﷻ. Kita tidak kenal tuhan-tuhan sembahan manusia yang lain.

Ini sebaliknya berlaku kepada mereka yang tidak kenal Allah ﷻ. Mereka percaya bahawa adanya tuhan-tuhan mereka yang bersikap pemarah. Kalau buat silap dengan tuhan mereka, tuhan mereka akan murka dan akan musnahkan mereka. Kalau kita baca, sudah macam budak-budak kecil pula tuhan mereka itu. Kalau budak kecil marah, bukankah mereka akan merampus dan baling barang ke sana sini?

Allahu a’lam. Sambung ke ayat yang seterusnya.

Kemaskini: 9 Oktober 2019


Rujukan: 

Nouman Ali Khan

Jamal Zarabozo

 

Tafsir Surah Fatihah Ayat 4 [Bahagian 1] (Raja sebenar raja)

Fatihah Ayat 4:

مٰلِكِ يَومِ الدّينِ

Sahih International

Sovereign of the Day of Recompense.

Malay

Yang Menguasai pemerintahan hari Pembalasan (hari Akhirat).

مٰلِكِ

Allah ﷻ suruh kita bacakan ayat ini. Ada perkataan yang tidak dimasukkan, iaitu: “Katakanlah”. Iaitu, katakanlah مَـٰلِكِ يَوۡمِ ٱلدِّينِ. Apabila kita membaca ayat ini, kita mengaku bahawa Allah ﷻ maha menguasai hari pembalasan.

Kita boleh memiliki macam-macam benda seperti kereta, tanah dan sebagainya, akan tetapi kita tidak boleh memiliki masa. Namun Allah ﷻ boleh memiliki atau menguasai masa. Masa yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah Hari Pembalasan, Hari Kiamat, Mahsyar itu. Yang kita semua akan menghadapinya.

Maka, ini adalah salah satu nama (asma’) Allah: ‘Yang Memiliki Hari Pembalasan‘.

Seperti yang kita mungkin tahu, terdapat Qiraat lain bagi ayat ini. Ada qiraat membacanya seperti yang kita tahu di Malaysia ini: مَـٰلِكِ يَوۡمِ ٱلدِّينِ (yang memiliki Hari Pembalasan) dan ada juga qiraat yang memendekkan ‘ma’: مَلِكِ يَوۡمِ ٱلدِّينِ (Raja Hari Pembalasan). Ini adalah kerana Allah ﷻ telah menurunkan Al-Qur’an dalam beberapa qiraat.

Kedua-duanya apabila dikaji, menguatkan makna yang hendak disampaikan dalam ayat ini. Kita seeloknya terima dua-dua bacaan itu. Walaupun terdapat perbincangan ulama’ tentang mana satukah bacaan yang lebih tepat tetapi kita tidak mahu pergi ke situ. Kita hendak menggunakan pembacaan kedua-duanya. Kerana, apabila kita mengambil maksud kedua-dua makna itu, ia memberikan pemahaman yang lebih lagi tentang maksud ayat ini.

Qiraat pertama: Maalik. Ia bermaksud ‘mempunyai’ atau kita kata: memiliki. Dan apabila kita ‘mempunyai’, memiliki sesuatu benda, kita boleh buat apa sahaja kita mahu dengan benda itu. Sebab ia adalah hak kita, bukan? Namun, kadangkala, kalau kita memiliki sesuatu pun, tidak semestinya kita boleh berbuat dengannya sesuka hati kita. Ada halangan dalam kita menggunakannya.

Contohnya, ada larangan undang-undang seperti kalau kita mahu mengubahsuai rumah kita, kita kena dapatkan permit. Atau kalau kita ada pistol, bukanlah kita boleh tembak sesuka hati kita. Kita juga tidak boleh mengarahkan benda yang kita miliki itu untuk buat apa yang kita hendak. Walaupun kita ada kereta dan kita boleh menggunakan kereta itu, tetapi ada masanya ia rosak dan kita tidak boleh menggunakannya lagi. Akan tetapi apabila dikatakan Allah ﷻ ‘memiliki’, maka maksudnya Allah ﷻ memiliki segalanya. Tidak sama pemilikan Allah ﷻ dengan manusia. Pemilikan Allah ﷻ itu adalah mutlak dan sepenuh kepunyaan-Nya semata.

Qiraat 2: Malik: bermaksud ‘raja’. Raja adalah seseorang yang berkuasa di sesuatu negeri itu dan apabila dia memerintahkan sesuatu perkara, rakyat di bawahnya mesti patuh. Namun begitu, untuk seorang manusia yang bergelar raja, ada sahaja cara untuk rakyatnya tidak mematuhi dan taat kepada perintahnya. Lihatlah sahaja di dunia ini, di negara-negara yang ada raja, ada sahaja cara yang mereka boleh elak daripada mengikut arahan dan undang-undang raja mereka dan raja itu tidaklah mampu mengetahui segala tindak tanduk rakyatnya itu. Namun sebaliknya dengan raja sebenar iaitu Allah ﷻ. Kita tidak boleh lari. Allah ﷻ tahu segalanya yang kita buat.

Mana satukah daripada qiraat itu yang lebih kuat? Bukanlah kita di sini hendak menolak mana-mana qiraat itu kerana kedua-dua sama kuat pada pandangan kita. Allah ﷻ adalah seorang raja yang mutlak dan Allah ﷻ juga memiliki.

Kalau kita rasa kita ada kuasa, ia masih tertakluk kepada Allah ﷻ. Kita bukan pemilik sebenar. Kita tidak mempunyai kuasa mutlak. Kita umpama penyewa rumah sahaja. Walaupun kita membayar sewa, kita tiada hak untuk sesuka hati berbuat apa sahaja ke atas rumah tersebut. Kalau kita ingin mengubahsuai rumah itu, kita mestilah meminta izin daripada tuan rumah terlebih dahulu.

Sebagai raja, memang ada undang-undang yang dikenakan olehnya. Begitu juga Allah ﷻ (Raja segala raja) juga telah memberikan undang-undang-Nya yang perlu kita patuhi. Oleh itu, kita yang duduk ‘menyewa’ di bumi Allah ﷻ ini hendaklah mematuhi dan taat undang-undang yang telah diberikan oleh Allah ﷻ. Sepertimana kalau kita duduk di mana-mana tempat, kenalah ikut undang-undang pemerintahnya.

Al-Malik adalah salah satu daripada nama Allah ﷻ. Segala penyebutan malik yang bermaksud ‘raja’ hanyalah secara kiasan sahaja. Kerana memang ada raja-raja di dunia ini. Nampak macam mereka ada kuasa juga, boleh buat undang-undang, boleh arah itu dan ini, namun kekuasaan mereka tidaklah mutlak sepertimana kekuasaan Allah ﷻ.

يَومِ

Maksud ‘يَوۡمِ‘ adalah satu jangkamasa. Secara literal, ia bermaksud ‘hari’. Namun sebenarnya, ia bukan hanya bermaksud ‘hari’. Dalam penggunaan biasa, selalunya ‘yaum’ ini bermaksud ‘satu hari’. Akan tetapi dalam penggunaan yang lebih luas, ia adalah lebih lagi. Ia merangkumi masa dari sesaat sehinggalah beribu tahun.

Apabila Allah ﷻ berkata bahawa Dia memiliki Hari Pembalasan, bukanlah ini menyatakan Dia hanya berkuasa pada hari itu sahaja. Jangan kita salah faham pula. Memang ada yang salah faham apabila membaca ayat ini. Allah ﷻ maha berkuasa pada waktu-waktu lain juga, termasuklah hari dunia sekarang. Kerana banyak disebut dalam ayat-ayat yang lain, bahawa Allah ﷻ berkuasa ke atas keseluruhan alam sepanjang masa.

Akan tetapi pada ayat ini, diberikan penekanan kepada kekuasaan Allah ﷻ pada Hari Pembalasan ini, kerana pada waktu itu tidak ada seorang pun yang dapat mengatakan sesuatu apa pun dan tidak juga dapat berbicara kecuali dengan izin-Nya. Bermaksud, pada hari itu, amat jelas kepada semua makhluk bahawa yang maha berkuasa pada hari itu hanyalah Allah ﷻ sahaja. Tidak ada lagi sesiapa pun yang perasan mereka berkuasa. Semua akan tunduk kepada kuasa Allah ﷻ pada hari itu.

Hari pembalasan bererti hari perhitungan bagi semua makhluk. Mereka diberi balasan sesuai dengan amal perbuatan mereka semasa di dunia. Jika amalnya baik maka balasannya pun baik. Jika amalnya buruk, maka balasannya pun buruk kecuali bagi orang yang diampuni.

الدّينِ

Perkataan ‘ٱلدِّينِ‘ dalam ayat ini boleh menjadi banyak makna. Antara maknanya: agama, doa dan beberapa lagi. Di sini, kita tafsirkan sebagai ‘hari pembalasan’. Allah  ﷻ sahaja yang menguasai Hari Pembalasan – Hari Kiamat. Tidak ada sesiapa lagi yang boleh berkuasa pada hari itu. Termasuk Nabi Muhammad ﷺ, walaupun untuk memberi syafaat.

Akan tetapi Allah ﷻ telah kata bahawasanya Nabi Muhammad ﷺ akan memberi syafaat dengan izin-Nya. Maknanya, Nabi ﷺ boleh memberikan syafaat dalam had yang ditentukan. Tidak boleh baginda hendak beri mengikut suka hati baginda. Kerana itulah baginda tidak boleh memberikan syafaat dan pertolongan kepada bapa saudaranya kesayangannya sendiri iaitu Abu Talib.

Ini adalah kerana hak syafaat bukan kepunyaan baginda. Hanya sesiapa yang Allah ﷻ beri izin sahaja yang boleh diberikan syafaat. Iaitu mereka yang tidak melakukan syirik kepada Allah ﷻ. Sesiapa yang syirik kepada Allah ﷻ, tidak akan ada peluang untuk mendapat syafaat.

Seperti yang kita telah sebut, ada banyak maksud bagi kalimah ٱلدِّينِ. Jangan sangka ada satu makna sahaja (seperti yang disalahfahami oleh sesetengah orang). Kerana tidak fahamlah, maka sesetengah yang menterjemahkan يَوۡمِ ٱلدِّينِ sebagai ‘Hari Agama’. Ini adalah kerana mereka tahu satu maksud sahaja. Sedangkan ia adalah satu perkataan yang menyeluruh. Merangkumi makna:

    • Kekuasaan.
    • Ketaatan.
    • Cara hidup.
    • Hukuman.

Maka apabila Allah ﷻ berkuasa penuh, Allah ﷻ boleh berbuat apa sahaja. Allah ﷻ boleh memberikan nikmat dan Allah ﷻ boleh sahaja menarik balik semula nikmat itu. Semuanya itu berlaku dengan hikmah-Nya dan ilmu-Nya. Kita sahaja yang tidak tahu mengapa Allah ﷻ melakukan satu-satu perkara itu kerana akal kita tidak sampai untuk memahaminya. Namun kita hendaklah tahu bahawa apa sahaja yang Allah ﷻ lakukan adalah perkara yang baik. Mesti terdapat kebaikan di sebalik apa sahaja yang Allah ﷻ lakukan.

Daripada makna مَـٰلِكِ يَوۡمِ ٱلدِّينِ ini, kita diingatkan tentang kekuasaan Allah ﷻ setiap kali kita membaca ayat ini, lebih-lebih lagi dalam solat. Oleh itu, terbaik sekali jika kita memberi perhatian semasa membaca ayat ini. Apabila kita faham maksud ayat ini, maka ia akan memberi kesan yang mendalam ke dalam hati kita

Pada hari itu, kita amat memerlukan syafaat. Syafaat itu adalah ‘pertolongan’. Syafaat ini ada yang dapat semasa di Mahsyar dan ada yang dapat selepas mereka telah masuk ke dalam neraka. Namun, tentunya kita tidak mahu langsung masuk dalam neraka. Kita tidak mahu hanya diselamatkan selepas kita dimasukkan ke dalam neraka kerana amat dahsyatnya neraka itu. Kita tidak mahu dengar, lihat dan hidu apatah merasa azab sedikit pun neraka itu.

Walau bagaimanapun, sekiranya timbangan dosa kita melebihi pahala, maka kita akan dimasukkan ke dalam neraka untuk ‘membersihkan’ dosa kita itu. Oleh itu, sebelum tidur tiap-tiap malam, kita minta Allah ﷻ ampunkan semua sekali dosa kita. Supaya kalau kita mati, harapnya dosa kita telah terampun semuanya sekali dan tidak perlu kita dimasukkan ke dalam neraka. Juga minta ampun sekali dosa ibubapa kita dan orang-orang Islam yang lain.

Dan ingatlah, untuk masuk syurga, kita memerlukan rahmat Allah ﷻ. Kita bukan masuk syurga disebabkan oleh banyaknya pahala kita. Ini kerana sememangnya tidak akan cukup amalan ibadat kita dibandingkan dengan segala nikmat yang kita telah dapat daripada Allah ﷻ (tak cukup tambang). Kita sebenarnya dapat masuk Syurga hanya kerana rahmat Allah ﷻ. Bukanlah kerana banyaknya pahala kita.

Kalau hanya berharap kepada pahala kita, memang tidak ada peluang kita untuk masuk Syurga. Maka, janganlah kita berbangga diri kalau kita rasa kita orang yang kuat ibadah. Jangan rasa itu kita sudah tentunya masuk syurga, kerana tidak pasti kita akan masuk syurga nanti di atas usaha amal ibadat kita itu. Kita sebenarnya buat amal ibadat itu kerana kita mengharapkan rahmat Allah ﷻ. Semoga Allah ﷻ redha dengan amalan kita dan akan memberikan rahmat-Nya kepada kita.

Dalam ayat ini, Allah ﷻ memberitahu kepada kita bahawa Dia memiliki Hari ‘Deen’. Apakah ‘Hari Deen itu’? Deen boleh juga ditafsirkan sebagai apa-apa syariat yang disampaikan oleh Allah ﷻ. Allah ﷻ menyampaikan syariat melalui Nabi-nabi-Nya. Bukanlah Nabi-nabi itu mencipta syariat mereka sendiri.

Oleh itu, untuk tahu syariat kenalah belajar bermula dengan tafsir Al-Qur’an. Kerana itulah sumber yang utama dan yang terpenting. Sepatutnya kita semua belajar tafsir Al-Qur’an. Malangnya, bukan sahaja di antara manusia tidak mahu belajar, malah ada usaha untuk menghalang manusia untuk belajar tafsir Al-Qur’an. Janganlah dihalang umat belajar tafsir Al-Qur’an. Sampai ada negeri di Malaysia ini yang pernah mengeluarkan pekeliling supaya tidak diajar tafsir Al-Qur’an.

Ini kerana mereka kata kalau belajar tafsir akan menyebabkan perpecahan dalam masyarakat. Mereka hanya membenarkan mengajar kitab jawi yang lama. Padahal itu semua adalah kitab karangan manusia. Memanglah akan ada pendapat yang berlainan apabila ada yang belajar tafsir Al-Qur’an kerana Al-Qur’an mengajar manusia perkara yang benar. Dan apa yang diamalkan masyarakat sekarang ini ada yang tidak benar dan tidak bertepatan dengan sunnah. Dengan belajar tafsir Al-Qur’an, kita akan dapat bezakan mana yang benar dan mana yang salah.

Kekeliruan yang banyak sekarang adalah kerana jahil kepada apa yang hendak disampaikan oleh Al-Qur’an. Apabila yang sudah belajar dan tahu dan ada yang tidak tahu, maka tentulah akan ada perbezaan pendapat. Ini kerana yang sudah tahu akan cuba memberitahu kepada yang tidak tahu perkara yang sebenarnya.

Malangnya ada mereka yang jahil tidak dapat menerima dan masih berpegang kuat dengan amalan mereka yang salah. Dari situ akan berlaku perbezaan pendapat. Perkara itu tidak dapat dielakkan. Hanya apabila semua orang berpegang kepada satu sumber yang sahih sahaja, iaitu Al-Qur’an, barulah akan ada perpaduan dalam masyarakat.

Ayat ini menyentuh tentang Hari Kiamat tetapi tidak disebutkan dengan panjang lebar. Semua kita tahu secara kasar tentang apakah yang akan berlaku pada hari itu. Tafsir bagi ayat ini ada pada keseluruhan Juzu’ 30. Juz 30 itu banyak menceritakan tentang hari Kiamat itu nanti. Tentang bagaimanakah keadaannya, apa yang akan terjadi, siapa yang selamat dan siapa yang tidak dan banyak lagi.

Maka, ayat مَـٰلِكِ يَوۡمِ ٱلدِّينِ ini menyebut tentang hari itu, tetapi untuk mendapatkan maklumat yang lebih lagi, kenalah dirujuk kepada ayat-ayat yang lain. Ayat-ayat dalam Surah Al-Fatihah ini adalah seperti ‘isi kandungan’ keseluruhan untuk sesebuah buku. Bukankah selalu dalam sesebuah buku, di helaian-helaian terawal, ditulis isi kandungan buku itu?

Daripada makna مَـٰلِكِ يَوۡمِ ٱلدِّينِ ini, kita diingatkan tentang kekuasaan Allah ﷻ setiap kali kita membaca ayat ini, lebih-lebih lagi dalam solat. Oleh itu, terbaik sekali jika kita memberi perhatian semasa membaca ayat ini. Apabila kita faham maksud ayat ini, maka ia akan memberi kesan yang mendalam ke dalam hati kita.

Surah Al-Fatihah ini memang satu surah yang amat hebat. Nabi Muhammad ﷺ pernah menyampaikan sebuah hadith Qudsi berkenaan Surah Al-Fatihah di mana disebutkan bagaimana apabila kita membaca Surah Al-Fatihah ini, Allah ﷻ akan menjawab bacaan kita itu. Kita sudah membaca sehingga ayat ketiga Surah Al-Fatihah ini. Dalam hadith tersebut, Allah ﷻ mengatakan bahawa tiga ayat pertama ini adalah untuk Allah ﷻ.

Inilah hadith itu secara lengkap:

قَالَ اللَّهُ تَعَالَى قَسَمْتُ الصَّلَاةَ بَيْنِي وَبَيْنَ عَبْدِي نِصْفَيْنِ وَلِعَبْدِي مَا سَأَلَ فَإِذَا قَالَ الْعَبْدُ { الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ } قَالَ اللَّهُ تَعَالَى حَمِدَنِي عَبْدِي وَإِذَا قَالَ { الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ } قَالَ اللَّهُ تَعَالَى أَثْنَى عَلَيَّ عَبْدِي وَإِذَا قَالَ { مَالِكِ يَوْمِ الدِّينِ } قَالَ مَجَّدَنِي عَبْدِي وَقَالَ مَرَّةً فَوَّضَ إِلَيَّ عَبْدِي فَإِذَا قَالَ { إِيَّاكَ نَعْبُدُ وَإِيَّاكَ نَسْتَعِينُ } قَالَ هَذَا بَيْنِي وَبَيْنَ عَبْدِي وَلِعَبْدِي مَا سَأَلَ فَإِذَا قَالَ { اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ صِرَاطَ الَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ غَيْرِ الْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلَا الضَّالِّينَ } قَالَ هَذَا لِعَبْدِي وَلِعَبْدِي مَا سَأَلَ
Allah berfirman, ‘Aku telah membahagikan solat antara-Ku dan hamba-Ku kepada dua bahagian, dan hamba-Ku akan mendapat apa yang dia minta. Apabila hamba itu berkata, “Segala puji bagi Allah Tuhan semesta alam.” Allah berkata, ‘Hamba-Ku memuji-Ku. “Ketika hamba itu berkata: “Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.” Allah berkata, “Hamba-Ku memuji-Ku.” Ketika hamba itu berkata: “pemilik hari kiamat.” Allah berfirman, ‘Hamba-Ku telah mengagungkan-Ku.” Apabila hamba itu berkata,’ Hanya kepada-Mulah kami sembah dan hanya kepada-Mulah kami mohon bantuan.” Allah berkata, ‘Ini adalah antara Aku dengan hamba-Ku. Dan hamba-Ku akan mendapat apa yang dia minta’. Apabila hamba itu berkata, ‘Beri kami petunjuk jalan yang lurus, jalan orang-orang yang Engkau telah beri nikmat atas mereka, bukan jalan orang-orang yang dimurkai mahupun orang-orang yang tersesat. ” Tuhan berkata, ‘Ini untuk hamba-Ku, dan hamba-Ku akan mendapat apa yang dia inginkan. “
(HR. Muslim No. 598)

 

Allah ﷻ menekankan yang Dia berkuasa pada Hari Pembalasan nanti. Akan tetapi kenapa Allah ﷻ hanya sebut Dia berkuasa pada Hari Pembalasan sahaja dalam ayat ini? Adakah Allah ﷻ tidak berkuasa pada waktu dunia ini? Ini perlu dijelaskan kerana ada yang ada sangkaan sebegitu.

Dalam ayat pertama Allah ﷻ sudah bercakap tentang dunia. Dalam ayat ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَـٰلَمِينَ sudah disebut bahawa Allah ﷻ adalah Rabb alam ini. Itu sudah membawa maksud Allah ﷻ berkuasa penuh dalam alam ini juga. Maka ayat مَـٰلِكِ يَوۡمِ ٱلدِّينِ ini adalah penekanan kepada kekuasaan Allah ﷻ pada hari kiamat. Kenapa kena ada penekanan?

Dalam dunia ada manusia yang mempunyai sedikit kuasa. Mereka boleh memiliki sesuatu. Juga ada yang menjadi raja, presiden, pemimpin. Maknanya nampak yang mereka itu boleh ada kuasa. Bukan kuasa mutlak pun, tetapi pada kita, nampak seperti ada kuasa. Namun nanti mereka langsung tidak ada kuasa di Mahsyar nanti. Waktu itu tidak ada sesiapa pun yang akan ada kuasa.

Semua akan nampak dengan jelas bahawa mereka sebenarnya tidak ada kuasa langsung. Semua akan mengaku bahawa kuasa penuh hanya ada pada Allah ﷻ sahaja. Seperti disebut dalam Infithar: 17-19.

Penekanan hari kiamat ini adalah kerana pada waktu itu, *semua* makhluk akan menerima hakikat bahawa Allah ﷻ memang berkuasa penuh. Tidak ada yang berkecuali lagi. Kalau dalam dunia sekarang, ada yang tidak kenal Allah ﷻ, tidak terima Allah ﷻ sebagai Tuhan, sebagai pemilik yang hak alam ni, tetapi di akhirat nanti, mereka tidak ada pilihan lain lagi. Waktu itu memang jelas kekuasaan Allah ﷻ sejelas-jelasnya. Tidak ada yang boleh menolak lagi.

Waktu itu tidak ada lagi yang berkuasa. Sediikit pun tidak ada. Mungkin ada yang sangka ada yang boleh tolong mereka. Kalau agama lain, mereka sangka tuhan mereka seperti Buddha, Vishnu, Jesus akan tolong mereka mereka nanti apabila mereka sudah mati. Manakala ada antara penganut dalam agama Islam ini, yang sangka pujaan-pujaan mereka seperti Sheikh Abdul Qadir, Nabi itu dan ini, guru mereka yang mereka anggap wali dan sebagainya akan membantu mereka.

Itulah pemahaman syafaat bagi mereka. Mereka sangka mereka akan mendapat syafaat. Namun bagaimana mereka boleh menolong, sedangkan mereka yang diharap itu sendiri tidak ada kuasa waktu itu. Mereka juga kena duduk di hadapan Allah ﷻ dan dinilai perbuatan-perbuatan mereka. Mereka juga ada masalah mereka masing-masing. Mereka juga akan risaukan nasib mereka sendiri.

Tidak ada yang berkuasa pada hari itu melainkan Allah ﷻ sahaja. Maka, janganlah kita tertipu dengan ajaran-ajaran yang mengatakan kalau ikut ini, ikut orang itu akan selamat. Tidak sama sekali. Tidak ada sesiapa yang dapat menolong kita pada waktu itu melainkan amalan kita semasa di dunia sahaja.

Hari Kiamat adalah satu elemen yang amat penting dalam Islam. Sampaikan, banyak kali disebut dalam Al-Qur’an, selepas disebut tentang beriman kepada Allah ﷻ, kemudiannya terus disebut beriman kepada hari akhirat. Oleh itu, kita kena tahu apakah yang terjadi dalam hari kiamat. Banyak disebut tentang kejadian hari itu dalam Al-Qur’an.

Begitu juga ada banyak disebut dalam hadith. Terlalu panjang kalau hendak disebut di sini. Kena belajar tafsir tentang ayat-ayat berkenaan syurga dan neraka. Yang paling banyak ada dalam juzuk 30. Dan banyak diselitkan dalam surah-surah yang lain. Allah ﷻ akan sentiasa mengingatkan tentang hari Kiamat dalam semua surah.

Allahu a’lam. Sambung ke bahagian kedua.

Kemaskini: 10 Oktober 2019


Rujukan: 

Nouman Ali Khan

Jamal Zarabozo

Apa. Khabar..