Isnin, 27 Januari 2025

Anjuran Memberi Nama yang Baik kepada Anak,

 Anjuran Memberi Nama yang Baik kepada Anak

Dalam Islam, tatkala anak dilahirkan, ibu bapa hendaklah menamakan anaknya dengan nama yang baik dan bukannya nama yang buruk mahupun mengandungi unsur syirik. Bahkan menamakan dengan nama yang baik adalah digalakkan kerana ia merupakan doa dan akan diseru pada Hari Kiamat kelak.

Terdapat satu riwayat daripada Abu al-Darda’ R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّكُمْ تُدْعَوْنَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِأَسْمَائِكُمْ وَأَسْمَاءِ آبَائِكُمْ فَأَحْسِنُوا أَسْمَاءَكُمْ

Maksudnya:  “Sesungguhnya kamu semua akan diseru pada hari kiamat kelak dengan nama kamu dan nama bapa-bapa kamu. Maka perelokkanlah nama kamu.”

Riwayat Abu Daud (4948)

Justeru, hendaklah memilih nama yang diredhai dan disukai oleh Allah. Itulah yang sepatutnya

Sabda Rasulullah SAW:

تَسَمَّوْا بأسماءِ الأنبياءِ، وأَحَبُّ الأسماءِ إلى اللهِ تعالى عبدُ اللهِ وعبدُ الرحمنِ، وأَصْدَقُها حارثٌ وهَمّامٌ، وأَقْبَحُها حَرْبٌ ومُرَّةٌ.

Maksudnya: Namakan anak-anakmu dengan nama para Nabi dan nama yang paling disukai Allah ialah Abdullah dan Abdul Rahman. Dan nama yang paling benar ialah Haris dan Hammam. Dan nama yang paling buruk Harb dan Murrah.”

Riwayat Abu Daud (4950) dan al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad (814)

Terdapat persoalan di mana adakah kita boleh menamakan anak dengan nama Allah? Berkenaan isu ini, Syeikh Zakaria al-Ansari menjelaskan bahawa diharuskan menggunakan nama-nama yang tidak menjadi kekhususan kepada Allah SWT. Beliau menyebutkan bahawa harus menamakan dengan nama-nama Allah SWT yang tidak dikhususkan dengannya (kepada Allah). Adapun nama-nama yang terkhusus kepada Allah SWT sahaja, maka ia adalah haram. Inilah sepertimana dijelaskan oleh Imam al-Nawawi dalam kitab Syarh Muslim. ( Lihat Asna al-Matalib Syarh Raudh al-Talib, 4/243)

Hal ini juga sepertimana dinyatakan oleh sebahagian fuqaha dalam kalangan mazhab Hanafi yang menyebut bahawa penamaan dengan nama Allah yang terdapat di dalam kitab-Nya seperti al-‘Ali, al-Kabir, al-Rasyid, al-Badi‘ adalah harus kerana ia adalah daripada nama-nama yang bersekutu (pada maksudnya). Dimaksudkan dengannya adalah pada hak seorang manusia, dan bukan dimaksudkan pada hak Allah SWT. (Lihat al-Buraiqah al-Mahmudiyyah, 3/234)

Ibn Qayyim pula menjelaskan isu ini dengan memberikan beberapa contoh nama Allah yang khusus bagi Allah SWT dan dilarang digunakan oleh makhluk. Beliau berkata: Antara yang dilarang dalam penamaan seorang manusia dengannya ialah nama-nama Allah SWT. Tidak boleh menamakan seseorang dengan al-Ahad, al-Samad, al-Khaliq, al-Razzaq dan sekalian nama-nama yang terkhusus pada Allah SWT.  (Lihat Tuhfah al-Maudud, 1/125)

Justeru, jika nama-nama itu menjadi kekhususan bagi Allah SWT seperti al-Ahad, al-Samad, al-Khaliq dan seumpamanya, maka ia dilarang dan tidak boleh sama sekali menamakan seseorang dengannya. Namun, jika nama itu tidak terkhusus bagi Allah SWT dan maknanya turut dimiliki oleh makhluk, maka tidak mengapa menamakan seseorang dengannya. Lebih-lebih lagi jika nama itu memiliki makna yang baik.

Nabi SAW Menukar Nama Sahabat

Dalam sebuah hadis daripada Ibn al-Musayyib, daripada bapanya, katanya:

أَنَّ أَبَاهُ جَاءَ إِلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ: «مَا اسْمُكَ» قَالَ: حَزْنٌ، قَالَ: «أَنْتَ سَهْلٌ» قَالَ: لاَ أُغَيِّرُ اسْمًا سَمَّانِيهِ أَبِي قَالَ ابْنُ المُسَيِّبِ: «فَمَا زَالَتِ الحُزُونَةُ فِينَا بَعْدُ»

Maksudnya: Bahawa  bapanya (yakni datuk kepada Sa‘id bin al-Musayyib) datang kepada Nabi SAW, lalu Baginda berkata: “Siapa namamu?” Dia menjawab: “Hazn.” Baginda bersabda: “Engkau Sahl (senang).” Dia berkata: “Aku tidak akan mengubah nama yang telah diberikan ayahku.” Ibn al-Musayyib berkata: “Maka kekasaran terus berlaku pada diri kami selepas itu.”

Riwayat al-Bukhari (6190)

Dalam menjelaskan hadis ini, al-Qastalani berkata: Kata Ibn al-Musayyib, ‘فَمَا زَالَتْ فِينَا الْحُزُونَة’ (Maka kekasaran terus berlangsung pada kami), yakni kesukaran. (Lihat Irsyad al-Sari, 9/111)

Al-‘Aini pula menukilkan bahawa Ibn al-Tin berkata: Makna perkataan Ibn al-Musayyib, ‘فَمَا زَالَتْ فِينَا الْحُزُونَة’ (Maka kekasaran terus berlangsung pada kami), yakni tidak adanya kemudahan pada apa yang mereka inginkan. (Lihat ‘Umdah al-Qari, 22/208; Lihat Fath al-Bari, 17/391)

Begitu juga, Syeikh Syams al-Haq al-‘Azim Abadi turut menjelaskan bahawa lafaz ‘حزونة’ di sini bermaksud kekasaran dalam akhlak dan peribadi, sepertimana disebut oleh al-Suyuti. (Lihat ‘Aun al-Ma’bud, 13/203)

Al-Hafiz Ibn Hajar menukilkan daripada Ibn Battal, katanya: “Di sini terdapat keterangan bahawa perintah memperelokkan nama dan mengubah kepada yang lebih baik tidaklah wajib.”

Turut dinukilkan daripada al-Dawudi, katanya: “Maksudnya adalah kekasaran dalam akhlak mereka.” Ulama’ selainnya pula berkata: Dia mengisyaratkan sikap kasar yang terus ada dalam akhlak mereka.” Para ahli nasab menyebut bahawa pada anaknya terdapat akhlak yang kurang elok dan hal ini sangat dikenali dan hampir-hampir tidak pernah hilang daripada mereka. (Lihat Fath al-Bari, 17/391)

Justeru, berdasarkan hal ini, dapat difahami bahawa terdapat perkaitan antara nama yang diberi dengan peribadi seseorang.

Perkaitan antara Nama dan Keperibadian

Sebahagian para ulama menjelaskan bahawa terdapat kaitan yang ketara di antara nama dengan seseorang yang dinamakan dengan nama tersebut.

Antaranya adalah sebagaimana yang disebutkan oleh Imam Ibnul Qayyim dengan katanya: “Secara kesimpulannya, akhlak serta perbuatan-perbuatan yang buruk itu ada hubungkaitnya dengan nama. Demikianlah nama-nama yang baik akan mendorong kepada akhlak dan perbuatan yang baik. Dan tidaklah Rasulullah SAW itu dinamakan dengan Muhammad melainkan kerana banyaknya ciri-ciri dan sifat terpuji pada diri baginda SAW. Dan sesungguhnya pemilik nama yang baik kadangkala malu dengan namanya, dan kadangkala disebabkan namanya itulah yang mendorong seseorang melakukan perbuatan yang sesuai dengan namanya serta meninggalkan apa yang bercanggahan dengannya.” (Lihat Tuhfah al-Maudud, hlm. 250)

Disebabkan perkaitan inilah para ulama’ membahaskan hukum menukar nama, perinciannya dibahaskan oleh imam Ibnul Qayyim di dalam fasal ketiga pada kitab beliau Tufhatul Maudud  ketika membahaskan galakan menukar nama kepada nama yang lain disebabkan maslahah. (Lihat Tuhfah al-Maududhlm. 129)

Antara dalil yang menunjukkan kepada galakan menukar nama yang kurang elok ialah hadith riwayat Abu Hurairah RA, katanya:

أَنَّ زَيْنَبَ، كَانَ اسْمُهَا بَرَّةَ، فَقِيلَ تُزَكِّي نَفْسَهَا‏.‏ فَسَمَّاهَا رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم زَيْنَبَ‏

Maksudnya: “Bahawanya pada asalnya nama Zainab ialah Barrah, maka dikatakan kepadanya “engkau memuji diri sendiri” maka Rasulullah SAW pun menukarkan namanya kepada Zainab.”

Riwayat al-Bukhari (6192)

Begitu juga hadith daripada Ibn al-Musayyib, di mana Nabi SAW telah menyarankan untuk menukar nama datuknya daripada Hazan kepada Sahl, sepertimana dalam hadis yang telah disebutkan di atas.

Berdasarkan hadith-hadith di atas dan juga hadith-hadith lain yang terkait sekitar pemberian nama ini, para ulama’ telah mencapai kepada beberapa rumusan, antaranya:

  • Kita dituntut untuk menukarkan nama seseorang kerana kejelekannya dan keburukannya. Contohnya ialah nama Abdul Ka’abah, kerana nama tersebut terdapat unsur syirik padanya. (Lihat Tuhfah al-Maududhlm. 133)
  • Begitu juga kita digalakkan untuk menukarkan nama kerana maslahah tertentu walaupun nama itu baik pada asalnya. Seperti nama Barrah dan Kharunnisa’. Ini kerana Barrah bermaksud yang banyak membuat baik manakala Khairunnisa’ bermaksud sebaik-baik wanita.
  • Kita dituntut untuk mengelakkan nama yang boleh membawa kepada mempercayai sial. Contohnya seperti nama hazanyang bermaksud kesedihan, nama sebegini boleh membawa kepada mempercai bahawa segala musibah yang ditimpa insan yang bernama hazan ini ialah kerana namanya yang membawa kepada kesedihan. (Lihat Syarh Muntaha al-Iradat1/615) Atas dasar ini Imam al-Nawawi memakruhkan untuk menamakan anak dengan nama yang jelek dan nama yang terdapat padanya unsur kecelakaan. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 8/417)

Mengambil Sikap Tafa’ul (Berharap ke Arah Kebaikan)

Terdapat sebuah hadis daripada Samurah bin Jundub, katanya: Rasulullah SAW bersabda:

لا تُسَمِّينَّ غُلامَكَ يَسارًا ولا رَباحًا ولا نَجيحًا، ولا أفلَحَ؛ فإنَّك تقولُ: أثَمَّ هو؟ فيقول: لا، إنَّما هنَّ أربَعٌ؛ فلا تَزيدُنَّ عَلَيَّ

Maksudnya: “Jangan kamu menamakan anak-anakmu dengan nama Yasar, Rabah, Najih, Aflah. Kerana sesungguhnya apabila kamu berkata, adakah dia di sana? Maka jika tiada, kamu akan jawab: ‘Tiada.’ Sesungguhnya mereka adalah nama yang empat, maka jangan kamu tambah ke atasku.”

Riwayat Muslim (2137) Abu Daud (4958) al-Tirmizi (2836) dan Ahmad  (20078)

Berdasarkan hadis di atass, terdapat persoalan bahawa adakah kita tidak boleh menamakan anak kita Yasar, Rabah, dan seumpamanya, sedangkan ia membawa maksud baik. Yasar dengan maksud mudah dan senang, manakala Rabah dengan maksud keberuntungan.

Dalam menjawab isu ini, Syeikh Dr. Aidh al-Qarni berkata: Makna hadis ini adalah apabila kamu menamakan dengan nama-nama ini, sebagai contoh, kamu kata, adakah di rumah terdapat Yasar (memberi maksud mudah), lantas dijawab: ‘Tiada.’ Maka di situ, boleh membawa kepada maksud berlaku kesusahan atau kesukaran. Atau kamu tanya, adakah Rabah (memberi maksud keuntungan) ada di rumah? Lalu dijawab: ‘Tiada,’ maka bertukarlah tempat rabah (keuntungan) kepada kerugian. Begitulah juga yang seumpamanya. (Lihat Mulhim al-‘Alam, hlm. 166-167)

Ini menggambarkan betapa Rasulullah SAW mengambil sikap tafa’ul iaitu berharap ke arah kebaikan dan menutup segala pintu yang membawa kepada kejatuhan, kehinaan, dan ketidakbaikan. Itulah sebab kenapa nama-nama tersebut tidak digalakkan walaupun kita dapati sebahagian ulama’ atau sesetengah orang menamakan anak-anak mereka dengan nama di atas.

Buat semua,


 

Larangan Mengkhianati amanah Allah dan Rasul,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَخُونُوا اللَّهَ وَالرَّسُولَ وَتَخُونُوا أَمَانَاتِكُمْ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya).[1]

Al-Maraghi menjelaskan bahawa larangan mengkhianati amanah Allah iaitu dengan mengabaikan perintah Allah, melanggar larangan-Nya serta melampaui batasan agama. Begitu juga larangan mengkhianati Rasulullah SAW dengan cara tidak mengikuti penjelasan yang diberikan oleh Baginda tetapi mengambil atau berpegang dengan penjelasan hawa nafsunya, pendapat gurunya, bapanya atau perintah pemerintahnya. Bukan itu sahaja, pengkhianatan kepada Rasulullah SAW juga adalah dalam bentuk tidak mengikuti sunnah Baginda, sebaliknya mengikuti sunnah bapanya atau pemimpinnya yang mendakwa mereka lebih mengetahui apa yang dikehendaki Allah dan Rasul-Nya.  (kau kau ...moga kau insaf)

Kemudian, dijelaskan juga akan larangan mengkhianati amanah sesama manusia dalam segala jenis urusan melibatkan urusan muamalat, akhlak dan aspek sosial. Begitu juga larangan mengkhianati pemerintah dalam perihal politik dan juga peperangan kerana perbuatan itu boleh memberi manfaat kepada pihak musuh. Justeru, dalam konteks larangan mengkhianati amanah sesama manusia, khianat terhadap amanah dalam pembelajaran dan pekerjaan turut dilarang oleh Allah SWT.[2]

Meniru dalam peperiksaan

Secara umumnya, perbuatan meniru dalam peperiksaan termasuk dalam perbuatan menipu dan perbuatan menipu adalah haram serta pelakunya dianggap berdosa. Hal ini adalah berdasarkan kepada sebuah hadith daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW melalui tempat timbunan makanan (yang dijual). Lalu Baginda memasukkan tangannya ke dalam timbunan tersebut. Tiba-tiba di dalamnya basah — yakni rosak.  Maka Baginda bertanya: “Apa ini wahai tuan makanan?” Dia menjawab: “Ia terkena hujan, Wahai Rasulullah.” Baginda bersabda:

أَفَلَا جَعَلْتَهُ فَوْقَ الطَّعَامِ كَيْ يَرَاهُ النَّاسُ، مَنْ غَشَّ فَلَيْسَ مِنِّي

Maksudnya: “Kenapa kamu tidak meletakkannya di atas supaya orang ramai boleh melihatnya? Sesiapa yang menipu, maka dia bukan daripada kalanganku.[3]

Dalam riwayat Muslim yang lain datang dengan lafaz:

وَمَنْ غَشَّنَا فَلَيْسَ مِنَّا

Maksudnya: “Dan sesiapa yang menipu kami, maka dia bukan daripada kalangan kami.”[4]

Syams al-Haq al-‘Azim Abadi menukilkan daripada al-Khattabi, beliau menyebutkan bahawa hadith di atas bermaksud bukan berada di atas jalan dan mazhab kami (yakni panduan Nabi SAW). Dalam erti kata lain, sesiapa yang menipu saudaranya dan meninggalkan untuk menasihatinya, maka sesungguhnya dia telah meninggalkan petunjuk Baginda dan tidak berpegang dengan sunnah Baginda. ( Catatanku: Daku tak mahu meninggalkan untuk menasihati kau kerana aku berpegang kepada Sunah Baginda Rasul)

 Namun, terdapat sebahagian ulama berpendapat maksudnya ialah menafikannya daripada Islam. Akan tetapi takwilan ini tidak benar kerana makna yang dikehendaki daripada hadith tersebut ialah mengikuti panduan dan sunnah Nabi SAW. Hal ini dikuatkan lagi melalui firman Allah SWT:

فَمَن تَبِعَنِي فَإِنَّهُ مِنِّي ۖ وَمَنْ عَصَانِي فَإِنَّكَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Oleh itu, sesiapa yang menurutku (dalam Islam yang menjadi peganganku) maka ia adalah daripada golonganku; dan sesiapa yang menderhaka kepadaku (dengan menyalahi agamaku), maka sesungguhnya engkau Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani (kiranya ia insaf dan bertaubat).[5]

Oleh itu, hadith ini menjadi dalil yang menunjukkan bahawa haramnya pebuatan menipu dan perkara tersebut telah disepakati.[6] Maka, jelaslah kepada kita bahawa perbuatan menipu itu bukan daripada ajaran Islam. Seseorang boleh mendakwa dan menganggap bahawa perbuatan meniru itu hanyalah perkara kecil yang tidak perlu diperbesarkan. Hakikatnya, perbuatan menipu itulah antara punca utama yang menyebabkan timbulnya pelbagai masalah dan barah dalam masyarakat seperti budaya rasuah yang berleluasa, penipuan sijil dan seumpamanya, sehingga akhirnya orang yang bukan berkeahlian memegang jawatan penting dalam masyarakat, lalu membawa kepada kebinasaan.

Tambahan pula, dengan beranggapan bahawa budaya meniru atau menipu dalam peperiksaan ini hanyalah suatu perkara kecil, dikhuatiri kelak ia dianggap sebagai suatu perkara yang biasa tanpa lagi ada rasa bersalah. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Abdullah R.A, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

إِنَّ الصِّدْقَ يَهْدِي إِلَى البِرِّ، وَإِنَّ البِرَّ يَهْدِي إِلَى الجَنَّةِ، وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَصْدُقُ حَتَّى يَكُونَ صِدِّيقًا. وَإِنَّ الكَذِبَ يَهْدِي إِلَى الفُجُورِ، وَإِنَّ الفُجُورَ يَهْدِي إِلَى النَّارِ، وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيَكْذِبُ حَتَّى يُكْتَبَ عِنْدَ اللَّهِ كَذَّابًا

Maksudnya: Sesungguhnya kejujuran itu membawa kepada kebaikan dan kebaikan itu membawa kepada syurga. Sesungguhnya seseorang itu sentiasa berlaku jujur sehingga dia ditulis di sisi Allah sebagai seorang yang jujur. Sesungguhnya pendustaan itu membawa kepada kejahatan, dan kejahatan itu membawa kepada Neraka. Sesungguhnya seseorang itu sentiasa berdusta sehingga dia ditulis di sisi Allah sebagai seorang pendusta.[7]

Al-Nawawi menyebutkan bahawa hadith di atas mengandungi galakan kepada setiap insan untuk bersifat dengan sifat benar dan melaziminya, serta larangan daripada berdusta dan bermudah-mudah dengannya. Hal ini kerana jika terlalu bermudah-mudah dengan sifat menipu ini, lama kelamaan akan menjadi biasa — sehingga layak ditulis sebagai seorang penipu.[8]

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan penghujahan di atas, meniru dalam peperiksaan termasuk dalam perbuatan menipu yang dilarang dalam agama dan berdosa. Lebih-lebih lagi, perbuatan meniru ini juga memberikan kesan buruk kepada diri sendiri, masyarakat dan negara.

Pada kesempatan ini, kami juga ingin menasihati buat mereka yang sudah terlanjur melakukannya untuk sama-sama menginsafi apa yang telah berlaku dan bertaubat kepada Allah SWT dengan sebenar-benar taubat, di samping memperbanyakkan zikir serta beristighfar kepada-Nya.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahu a‘lam.

Imam Ghazali. : Kualiti Puasa,

  Ahad, 10 Disember 2023 Imam Ghazali. : Kualiti Puasa Penyampai:Hajjah Norhafizah.  Imam Ghazali kata ada enam perkara untuk tolong kita pu...