Jumaat, 10 Oktober 2025

 

Benarkah Belakang Tapak Tangan Itu Aurat?



Persoalan mengenai aurat wanita tampak remeh namun saya percaya masih ramai di luar sana yang tidak tahu, salah faham atau mungkin keliru. Kenyataan ini dikuatkan lagi dengan dapatan kajian rawak yang saya lakukan di sosial media. Berikut dapatan kajian tersebut; 


Statistik menunjukkan majoriti SALAH menjawab soalan yang diberikan. Anggaran kasarnya adalah seramai 4400 orang daripada 7042 orang yang mengambil bahagian dalam poll ini. Angka ini menunjukkan bilangan yang serius dan tidak boleh diremehkan. Ternyata persoalan agama yang tampak remeh dan mudah, sentiasa perlu didedah dan diajar kepada masyarakat dari masa ke semasa.


Tidak Aurat

Kita selalu diajar atau didedahkan bahawa aurat wanita ialah seluruh tubuh kecuali muka dan tapak tangan. Ini bermakna belakang telapak tangan ialah aurat yang perlu ditutup. Mungkin kerana itu, kita dapati sebahagian wanita menutup belakang telapak tangan mereka dengan kain. Tambahan, kini sudah ada terjual sarung tangan (hand sock) yang menutup bahagian belakang tapak tangan.

Hakikat yang betul ialah aurat wanita ialah seluruh tubuhnya kecuali muka dan pergelangan tangan. Ya, seluruh pergelangan tangan tidak aurat. Ini bermakna bukan tapak tangan sahaja tidak aurat malah belakang tapak tangan juga termasuk bukan aurat wanita.

Bagaimana salah faham ini terjadi?

Antata faktornya ialah mungkin kerana pengajar atau penterjemah buku fiqah menterjemahkan secara zahir perkataan al-Kaffain sebagai tapak tangan. Perlu diingati bahawa tersalah menterjemah perkataan bahasa Arab ke dalam bahasa asing sangat memberi kesan besar kepada masyarakat terutama jika melibatkan teks-teks Al-Quran dan Hadith yang mengandungi hukum. Salah satu contoh ialah kes yang sedang dibincangkan ini.

Perkataan al-Kaffain secara zahir memang lah membawa maksud tapak tangan dalam bahasa melayu. Namun begitu, perkataan al-Kaffain menurut ulama' fiqh dan bahasa Arab ialah tapak tangan zahir dan batin. Telapak tangan yang zahir ialah bahagian luar manakalah telapak tangan batin ialah bahagian dalam.

Ini juga menunjukkan betapa pentingnya memahami teks-teks agama berdasarkan bahasa asal ia diturunkan. Untuk memahaminya, kita perlu merujuk pandangan ulama' fiqah dan bahasa Arab.

Had pergelangan tangan pula ialah dari jari sehingga tulang al-ku' (الكوع). Diatas tulang itu maka bukan lagi pergelangan, ia aurat yang perlu ditutup.